Sabtu, 2 Januari 2016 | 12:06am

Sakit tulang belakang

POSISI bergerak, duduk tidak betul meningkatkan risiko serangan sakit belakang.
POSISI bergerak, duduk tidak betul meningkatkan risiko serangan sakit belakang.

SERANGAN sakit belakang lazimnya berlaku berikutan aktiviti seharian sehingga menyebabkan gangguan saraf di belakang anggota badan.

Aktiviti seperti membongkok ketika menyapu sampah, mengangkat sebaldi air dalam jarak jauh ataupun berdiri, berjalan, malah tidur dengan posisi salah menjadi faktor seseorang mendapat sakit belakang.

Dalam sistem badan manusia, tulang belakang bersifat lentur dan kuat. Ini membolehkan manusia berdiri tegak dan menampung hampir dua pertiga berat badan serta membantu pergerakan seseorang.

Ketua Pengarah Klinik Kiropraktik, Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Dr Omar Pervez, berkata ketidakprihatinan terhadap tekanan pada tubuh mengakibatkan kesakitan dan kecederaan berpanjangan.

Sakit belakang termasuk slip disc, sendi dan lutut kata beliau, adalah masalah biasa dihadapi berpunca daripada gaya hidup.

SAKIT tulang belakang berpunca daripada penyakit tertentu atau akibat peralihan susunan tulang.
SAKIT tulang belakang berpunca daripada penyakit tertentu atau akibat peralihan susunan tulang.

Faktor usia, bersukan.

Katanya, faktor lain juga disebabkan posisi badan yang tidak betul ketika pergerakan dan bekerja (ergonomik) seperti bersukan, main golf, tenis, berlari dan peningkatan usia.

"Mengambil ubat penahan sakit ibarat memakai topeng yang menutup kesakitan sementara tetapi tidak membantu mengubati penyakit.

"Rawatan kiropraktik menjurus kepada mencari punca sebenar masalah," katanya dalam seminar `Masa Depan Kiropraktik di Malaysia' di IMU di Seri Petaling, baru-baru ini.

Beliau berkata, tulang perlu dijaga seperti kereta dipandu dengan diberikan penyelenggaraan supaya anda dapat bergerak dengan selesa.

Katanya, apabila otot, sendi dan tulang berasa sengal, sakit atau kekejangan tanpa sebab, ini menandakan pelarasan semula jadinya tidak seimbang.

Peralihan susunan tulang

"Ini mungkin berpunca daripada penyakit tertentu atau akibat peralihan susunan tulang, kekuatan otot dan keanjalan sendi," katanya yang pernah merawat selebriti Hollywood terkenal termasuk Angelina Jolie dan penyanyi Lenny Kravtiz.

Berbeza dengan fisioterapi, Dr Omar memberitahu pakar kiropraktik akan membuat penilaian dan rawatan masalah tulang, otot badan terutama tulang belakang dan kesan kepada keadaan sistem saraf serta kesihatan secara menyeluruh.

Pengamal kiropraktik memerlukan kemahiran tinggi untuk mengawal penolakan atau penekanan pada tulang bagi membetulkan fungsi saraf serta pergerakan sendi.

Selain sejarah kesihatan, pemeriksaan awal rawatan termasuk fisioterapi menggunakan imbasan bunyi, beg panas, beg sejuk dan mesin stimulasi elektrik.

Rehatkan ketegangan otot

Beliau berkata, prosedur ini membantu merehatkan, mengurangkan ketegangan otot yang menyokong beban masalah susunan tulang.

"Tulang juga seperti otot apabila digunakan menjadi semakin kuat dan penyempurnaan tulang belakang berlaku pada usia 20 hingga 30 tahun.

"Tulang terdiri daripada protein dan mineral. Keperluan kalsium untuk kekuatan tulang sebenarnya ialah 1,000 miligram (mg) sehari.

Bagaimanapun, kalsium tidak berfungsi tanpa vitamin D. Menunggang kuda dan berenang adalah riadah berkesan membentuk tulang kuat di samping aktiviti berjalan kaki selama 20 minit sehari," jelasnya.

INFO: Punca sakit tulang belakang

1. Lumpuh - Sebahagian tubuh menjadi lemah mengakibatkan keadaan menjadi semakin teruk.

2. Kecederaan sewaktu bersukan - Boleh berlaku perubahan kedudukan tulang akibat gerakan kuat.

3. Jatuh ketika kecil (baru berjalan) - Kesan jatuh masa kecil akan mula dirasai kemudian hari.

4. Kemalangan - Kesan kemalangan menyebabkan kecederaan tulang belakang.

5. Kurang air dalam badan - Kekurangan air menyebabkan tulang sentiasa kering dan kehausan tulang boleh berlaku.

6. Ibu hamil - Posisi tulang belakang dalam keadaan tidak normal kerana mengimbangi berat kandungan. Semakin lama kandungan menjadi semakin berat. Dibetulkan selepas melahirkan anak.

7. Kecederaan/ kesakitan sebelah kaki - Berjalan dalam keadaan berat sebelah juga memberikan kesan kepada tulang belakang.

8. Duduk lama terutama diatas kenderaan - Berlaku ketegangan ligamen yang menarik ruas tulang belakang.

9. Duduk atau tidur dalam posisi tidak betul - Tulang bergerak dari kedudukan normal.

Berita Harian X