Selasa, 22 Disember 2015 | 12:01am
ANTARA babak cemas filem The 33.
ANTARA babak cemas filem The 33.

Terperangkap dalam perut bumi



INSIDEN lombong emas runtuh dan menimbuskan 33 pelombong di San Juan, Chile, pada 2010 pernah menggemparkan dunia.

Bayangkan mereka terperangkap sedalam 609.6 meter di bawah tanah.

Walau masih bernyawa dan hanya mengalami cedera ringan, pelombong yang terperangkap berhadapan kesukaran meneruskan hidup apabila bekalan makanan serta air hanya mampu menampung tiga hari keperluan.

Lebih parah apabila pada peringkat awal kejadian, pemilik lombong itu cuba menutup kes kemalangan berkenaan daripada pengetahuan keluarga dan orang ramai hingga kerajaan Chile mengambil alih kes terbabit.

Diangkat daripada kisah benar, pasti kronologi cerita membuatkan air mata penonton mengalir tanpa dapat ditahan, apatah lagi selepas memikirkan nasib mangsa yang seakan-akan dikebumi secara hidup-hidup.

FILEM 33 mengisahkan insiden lombong emas runtuh dan menimbuskan 33 pelombong di San Juan, Chile, pada tahun 2010.
FILEM 33 mengisahkan insiden lombong emas runtuh dan menimbuskan 33 pelombong di San Juan, Chile, pada tahun 2010.

Lebih menyedihkan apabila melihatkan kerenah birokrasi yang menimpa pekerja yang dianggap golongan bawahan ini. Mujur Menteri Perlombongan ketika itu, Laurence Golborne (Rodrigo Santoro), mendesak Presiden melaksanakan misi menyelamat.

Biarpun peluang menemui mangsa agak tipis apabila bongkah batu sebesar bangunan Empire State menutup laluan keluar masuk lombong, pihak penyelamat tidak berputus asa.

Filem arahan Patricia Riggen ini antara lain dilihat sebagai pembuka mata kepada pihak di luar sana yang memperjudikan nasib pekerja lombong tanpa memikirkan aspek keselamatan.

Bukan hanya dibayar rendah dan berdepan risiko kematian yang besar, menerusi filem ini, ia jelas menunjukkan langkah keselamatan tidak dipedulikan apabila berlaku bencana.

Selepas kejadian, stok makanan kering hanya sedikit, bekalan ubat di kotak kecemasan pula hampir tiada, malah lebih mengejutkan apabila telefon kecemasan sekadar perhiasan.

POSTER filem The 33.
POSTER filem The 33.

Terdahulu, segala-galanya bermula apabila pengurusan lombong berkenaan enggan mempedulikan rungutan ketua pekerja, Don Lucas (Lou Diamond Philips), yang menemui tanda keretakan.

Menganggap ia sebagai tanda biasa, tiada langsung tindakan daripada pihak pengurusan, sebaliknya dengan selamba meminta Don Lucas memaksa pekerja melipatgandakan lagi usaha cari gali.

Menariknya The 33 ialah gabungan antara kejadian nyata dan fiksyen yang digarap sempurna apabila setiap watak pelombong mempunyai permasalahan masing-masing.

Drama atau sub plot yang diketengahkan secara tidak langsung menunjukkan kehidupan hakiki dilalui pelombong bersama keluarga masing-masing. Semuanya penuh suka dan duka.

Watak Alex (Mario Casas) yang menunggu kelahiran bayi sulung ketika kejadian berlaku misalnya, adalah perlambangan seorang insan yang sanggup menyabung nyawa demi kelangsungan hidup.

FILEM 33 menerapkan elemen semangat setia kawan, kasih sayang saudara sedarah serta pengorbanan dalam merealisasikan misi yang sukar.
FILEM 33 menerapkan elemen semangat setia kawan, kasih sayang saudara sedarah serta pengorbanan dalam merealisasikan misi yang sukar.

Walau didesak bapanya mencari pekerjaan lain, lelaki muda itu enggan menerima sebarang cadangan orang tuanya disebabkan upah melombong lebih tinggi daripada mekanik.

Lakonan Antonio Banderas sebagai Mario yang mengetuai rakan lain sepanjang 69 hari terperangkap itu juga antara rencah cerita. Beliau digelar Super Mario kerana keberanian dan semangat juangnya.

Menyusuri perjalanan 33 individu itu di layar perak, jelas memperlihatkan semangat setia kawan, kasih sayang saudara sedarah serta pengorbanan dalam merealisasikan misi sukar terbabit.

Penuh drama dan air mata, kaki wayang tidak mungkin berasa bosan walau sedetik pun memandangkan setiap saat sarat dengan satu persatu kejutan yang menunggu.

INFO
Judul: The 33
Pengarah: Patricia Riggen
Pelakon: Antonio Banderas, Juliette Binoche, Cote de Pablo, Rodrigo Santoro, Martin Sheen, Gabriel Byrne, Kate Del Castillo, Lou Diamond Phillips, Mario Casas, Juan Pablo Raba, Tenoch Huerta, Jacob Vargas, Adriana Barraza, Bob Gunton, Marco Trevino
Genre: Drama
Tayangan: Mulai 31 Disember 2015

Berita Harian X