Ahad, 20 Disember 2015 | 12:25am
MARSHALL membantu Nur Akmar Asyikin yang terjatuh ke dalam gaung setinggi 100 meter.
MARSHALL membantu Nur Akmar Asyikin yang terjatuh ke dalam gaung setinggi 100 meter.
LALUAN trek ATV di Hulu Langat, Selangor.
LALUAN trek ATV di Hulu Langat, Selangor.
CABARAN yang dihadapi oleh peserta ATV di trek Hulu Langat, Selangor.
CABARAN yang dihadapi oleh peserta ATV di trek Hulu Langat, Selangor.
PENGENDALI sukan ATV di Hulu Langat, Selangor, Kamal Mohamed.
PENGENDALI sukan ATV di Hulu Langat, Selangor, Kamal Mohamed.
ANTARA laluan di trek Congkak ATV di Hulu Langat, Selangor.
ANTARA laluan di trek Congkak ATV di Hulu Langat, Selangor.
PESERTA juga dapat menikmati keindahan air terjun ketika menjalani aktiviti Congkak ATV di Hulu Langat, Selangor.
PESERTA juga dapat menikmati keindahan air terjun ketika menjalani aktiviti Congkak ATV di Hulu Langat, Selangor.

Penunggang ATV `diganggu' makhluk halus, nampak laluan lain

"SAYA memang ingat lagi waktu itu, saya nampak laluan berada di sebelah kanan walaupun sedar rakan lain berada di laluan hadapan."

Itulah kejadian yang dialami sendiri oleh peminat sukan lasak, Nur Kamar Asyikin, ketika menceritakan pengalamannya menyertai aktiviti all-terrain vehicle (ATV).

Akibatnya, ATV yang dinaikinya terjunam ke dalam gaung setinggi 100 meter. Beliau tidak bercerita punca dia terbabas kepada rakan sehinggalah selesai aktiviti.

Katanya, pada mulanya, dia bersama rakan bercadang untuk melakukan aktiviti ATV pada waktu malam kerana ingin merasakan kelainan tetapi ia terpaksa ditukar ke sesi pada sebelah petang.

"Saya tidak dapat bayangkan jika kejadian berlaku ketika sesi malam. Saya memang ingat lagi waktu itu saya nampak laluan berada di sebelah kanan.

"Memang ada rakan di hadapan tapi saya seolah-olah terleka seketika... Saya hanya sedar bila saya sudah jatuh ke dalam gaung. Berdasarkan cerita rakan-rakan mereka menyatakan saya hanya mendiamkan diri selama beberapa minit, ia memang pengalaman yang menarik tapi pada masa yang sama ia sesuatu yang pelik," katanya.

Tidak dapat dinafikan setiap aktiviti yang dijalankan selalunya mempunyai cabaran tidak kiralah dari segi cuaca, masalah mekanikal, kecuaian manusia ataupun mainan kuasa mistik.

Pengamal perubatan Islam, Datuk Dr Engku Ansaruddin Agus, berkata tempat yang biasa menjadi kediaman jin adalah tempat sunyi yang tidak diganggu orang ramai seperti di dalam hutan, gunung, lautan, gua dan padang pasir.

Juusteru, beliau berkata, tidak pelik apabila sering berlaku kejadian orang tersesat di dalam hutan tebal setelah memasuki satu kampung padahal itu adalah mungkin perkampungan jin, yang juga kadang-kadang dipanggil perkampungan bunian.

Begitu juga jika ada yang mengatakan ternampak hantu di kuburan atau di pokok besar yang kononnya keras mempunyai penunggu.

"Sebenarnya, jin inilah yang menyerupai pelbagai bentuk hantu yang menakutkan...seolah-olah lagak seorang dewasa yang cuba menakutkan budak balik mengaji dengan aksi menakutkan atau sergahan.

"Jika orang yang ditakutkan itu lari lintang-pukang, makan jin akan bersorak gembira kerana berjaya menakutkan manusia," katanya.

Engku Ansaruddin menerusi laman sesawangnya menjelaskan, gangguan itu juga mungkin berlaku di jalan raya atau lebuh raya dan menyebabkan kemalangan sehingga orang ramai beranggapan laluan itu berpuaka.

Beliau berkata, sebenarnya istilah rumah hantu, pokok berpenunggu, kubur berpuaka, kubur keramat dan jambatan maut mungkin menunjukkan terdapat jin jahat yang selalu mengganggu, menipu dan cuba menyesatkan manusia di sesuatu kawasan itu.

Ada juga pendapat yang menyatakan iblis dan syaitan menyukai kawasan yang menjadi sempadan antara terang dan gelap seperti laluan di dalam hutan.

Jelasnya, gangguan jin itu tidak lain daripada supaya manusia lebih takutkan hantu daripada takutkan Allah dan jika berjaya, ia boleh mendatangkan syirik kepada orang Islam.

Persoalannya, adakah benar ia mainan kuasa mistik ataupun ia hanyalah kelalaian diri sendiri sehingga menyebabkan ATV yang dinaiki terjunam ke dalam gaung.

Di sebalik semua ini, keseronokan bermain ATV tidak dapat disangkalkan lagi. Ia aktiviti yang memberikan keseronokan fizikal dan mencabar mental, tambahan pula sepanjang laluan terpaksa berperang dengan lumpur dan juga pacat.

Sukan ATV ini sudah lama popular di Malaysia serta memiliki peminatnya tersendiri terutama dalam kalangan generasi muda yang mengambil kesempatan hujung minggu atau cuti umum untuk beriadah dan paling penting menikmati keindahan flora serta fauna.

Ini berikutan kebanyakan lokasi dipilih adalah kawasan pedalaman dan pinggir hutan serta kawasan kampung, yang memiliki khazanah alam yang indah serta menakjubkan.

Pengendali sukan ATV di Hulu Langat, Selangor, Kamal Mohamed, berkata khazanah alam seperti hutan, sungai dan air terjun yang berada di Malaysia ketika ini amatlah bernilai dan ia perlu di jaga, memandangkan potensinya yang besar dalam menarik perhatian pelancong baik dalam dan luar negara.

"Di kawasan Hulu Langat saja contohnya, kita memiliki sungai semula jadi dan tidak tercemar seperti Sungai Congkak, Sungai Lui, Sungai Pangsun serta Sungai Gabai, yang airnya masih tidak tercemar dan bersih.

"Semua ini adalah aset yang cukup bernilai bukan saja kepada masyarakat serta pengunjung setempat, malah kumpulan pengkaji dan peminat sukan lasak seperti ATV sendiri," katanya ketika ditemui BH Plus.

Kamal berkata, dengan menggunakan ATV juga, penjelajahan akan menjadi lebih mudah, lebih pantas dan tidak perlu berjalan atau mendaki bagi mengunjungi sesuatu lokasi itu, termasuk ke sungai dan air terjun.

"Trek ATV yang kita sediakan di sini (Congkak ATV) contohnya, bukan saja akan melalui kawasan mencabar seperti berlopak, berbatu serta laluan berbukit, malah pengunjung akan dapat melihat sendiri keindahan rumpun buluh serta dusun buah-buahan.

"Bagi pelancong luar, pengalaman ini sesuatu yang asing apatah lagi menikmati keenakan buah tempatan seperti manggis, duku, durian dan nangka," katanya yang kini memiliki 32 buah ATV dan pengunjung diberi pilihan untuk melakukan pengembaraan pada tiga sesi iaitu pagi, petang atau waktu malam.

Penjelajahan di kawasan hutan gelap pada waktu malam dengan hanya berbekalkan lampu picit, sesuatu yang pasti menghiburkan, apatah lagi juadah set barbeku kambing dan ayam bakal menanti sebaik selesai pengembaraan.

Berita Harian X