Ahad, 6 Disember 2015 | 12:09am
HASPAN menunjukkan langkah pergerakan silat kepada pelajarnya. - Foto Jeakqleyn Yacho
HASPAN menunjukkan langkah pergerakan silat kepada pelajarnya. - Foto Jeakqleyn Yacho
Perguruan Seni Silat Betawi Kampung Panglima Seberang Hilir menerapkan konsep 3S, 'Silat, Solat dan Silaturahim'. - Foto Jeakqleyn Yacho
Perguruan Seni Silat Betawi Kampung Panglima Seberang Hilir menerapkan konsep 3S, 'Silat, Solat dan Silaturahim'. - Foto Jeakqleyn Yacho

Silat Betawi terap konsep 3S


FUNGSI seni silat bukan sekadar mempertahankan diri. Ia perlu dilihat dalam konteks lebih meluas termasuk sebagai khazanah budaya yang perlu dipulihara demi generasi masa depan.

Biarpun diadaptasi dari negara jiran, Indonesia, kewujudan silat Betawi diterima baik terutama dalam kalangan masyarakat Melayu Sarawak.

Ramai mengamalkan seni mempertahankan diri ini hingga menjadi budaya setempat.

Penyelaras Perguruan Seni Silat Betawi Kampung Panglima Seberang Hilir, Ahmad Firdaus Yusuf, berkata seni mempertahankan diri warisan itu harus diperluaskan dalam kalangan masyarakat terutama golongan muda agar tidak lapuk ditelan zaman.

"Usaha Pengasas Seni Silat Betawi di Sarawak, Allahyarham Zainudin Adenan atau lebih dikenali sebagai Tok Guru Haji Jambak, yang memperkenalkan kemahiran itu kepada masyarakat terutama komuniti Melayu Sarawak perlu diteruskan bagi memastikan khazanah itu terus terpelihara.  

PELAJAR silat Betawi Kampung Panglima Seberang Hilir. - Foto Jeakqleyn Yacho
PELAJAR silat Betawi Kampung Panglima Seberang Hilir. - Foto Jeakqleyn Yacho

PELAJAR silat Betawi Kampung Panglima Seberang Hilir. - Foto Jeakqleyn Yacho
PELAJAR silat Betawi Kampung Panglima Seberang Hilir. - Foto Jeakqleyn Yacho

"Seni silat ini turut menerapkan adat Melayu Sarawak. Ini kerana ia diamalkan melalui tradisi dan adat masyarakat sekali gus menjadikannya sebahagian daripada identiti kaum seperti yang dipaparkan dalam persembahan silat terutama dalam majlis keramaian," katanya.

Perguruan Seni Silat Betawi Kampung Panglima Seberang Hilir adalah antara pusat pengajaran di Sarawak di bawah kendalian anak pengasas seni mempertahankan diri terbabit iaitu Alli Zainudin, 56, yang berpusat di Siol Kandis.

 

Ahmad Firdaus berkata, perguruan itu mengamalkan konsep '3S' iaitu 'Silat, Solat dan Silaturahim' bagi memupuk amalan disiplin dalam kalangan anak didik, termasuk membabitkan aspek kerohanian dan pembentukan sahsiah diri.

 

"Kita tidak hanya bertumpu kepada kemahiran mempertahankan diri, malah turut membentuk keperibadian dalam kalangan pelajar. Ini selari dengan budaya Melayu Sarawak yang sentiasa mementingkan pegangan adat dan nilai ketimuran," katanya.

Ditubuhkan sejak setahun lalu, Perguruan Seni Silat Betawi Kampung Panglima Seberang Hilir membuka peluang kepada penduduk setempat untuk mendalami kemahiran dan ilmu seni silat itu sebagai antara warisan budaya masyarakat.

Jurulatih Perguruan Seni Silat Betawi Kampung Panglima Seberang Hilir, Haspan Junaidi, berkata pada awal penubuhan pusat terbabit, masih ramai penduduk setempat yang tidak menyedari kewujudannya.

JURULATIH Perguruan Seni Silat Betawi Kampung Panglima Seberang Hilir, Haspan Junaidi. - Foto Jeakqleyn Yacho
JURULATIH Perguruan Seni Silat Betawi Kampung Panglima Seberang Hilir, Haspan Junaidi. - Foto Jeakqleyn Yacho

PELAJAR silat Betawi membaca doa sebelum memulakan latihan. - Foto Jeaklqleyn Yacho
PELAJAR silat Betawi membaca doa sebelum memulakan latihan. - Foto Jeaklqleyn Yacho

"Kita bermula dengan hanya empat murid pada awal penubuhan pusat ini pada tahun lalu. Namun, disebabkan reaksi positif diterima daripada penduduk setempat, kita sudah ada 60 pelajar yang berusia antara tujuh tahun dan 25 tahun.

"Daripada jumlah itu, 18 pelajar adalah perempuan," katanya.

Haspan optimis masyarakat sudah mula menerima seni silat Betawi sebagai warisan yang perlu dipertahankan.

"Masyarakat mula menerima seni silat itu sebagai tradisi yang perlu dipelihara terutama apabila terpaksa berdepan saingan daripada pelbagai seni mempertahankan diri moden," katanya.

Haspan berkata, kepentingan seni silat Betawi perlu dititikberatkan dalam masyarakat agar terus diwarisi.

"Sudah menjadi suatu keperluan kepada masyarakat untuk mempelajari seni mempertahankan diri bagi melindungi diri dan keluarga daripada ancaman bahaya yang boleh menggugat keselamatan mereka.  

"Pemilihan silat Betawi sebagai kaedah mempertahankan diri adalah langkah tepat kerana ia bukan sekadar membantu melengkapkan diri dengan kemahiran, malah memelihara budaya dan warisan masyarakat Melayu Sarawak," katanya.

Berita Harian X