Ahad, 6 Disember 2015 | 12:01am
CENGKERANG kima gergasi di pulau Selakan.
CENGKERANG kima gergasi di pulau Selakan.
LAMBAKAN tuna di lantai pelantar kayu kerana tiada tempat khas untuk menempatkan hasil tangkapan nelayan.
LAMBAKAN tuna di lantai pelantar kayu kerana tiada tempat khas untuk menempatkan hasil tangkapan nelayan.

Warna-warni kehidupan di Semporna

TARIKAN alam semula jadi gamit pelancong, destinasi akuamarin utama di Sabah.
TARIKAN alam semula jadi gamit pelancong, destinasi akuamarin utama di Sabah.

SEMPORNA, antara daerah produk pelancongan terbesar di Sabah. Ia menjadi destinasi utama pelancong yang dari merata tempat kerana kedudukan geografinya begitu kaya dengan keindahan alam semula jadi, selain gugusan pulau yang cantik dengan hamparan air laut jernih.

Antara pulau yang tersohor yang menjadi idaman pengunjung ialah Mabul, Bohey Dulang, Sipadan, Selakan dan Bum Bum. Semuanya mempunyai keistimewaan tersendiri serta mampu menggamit kedatangan pelancong.

Namun, Semporna lebih sinonim dengan Bajau Laut dan juga hasil marin. Kedua-dua aset itu menjana ekonomi dan pendapatan utama kepada penduduk tempatan.

Bajau Laut tetap menjadi ikon utama Semporna. Mereka mendiami hampir keseluruhan pulau kecil kecuali Sipadan dengan menjadikan aktiviti perikanan sebagai kerja utama.

Kepakaran mereka menangkap ikan begitu jelas. Kaum Bajau mampu menyelam berjam-jam lamanya menangkap ikan tanpa menggunakan bekalan gas oksigen.

Sebaliknya, mereka hanya menggunakan enjin pam yang disambung ke paip getah sambil menyedutnya ketika menyelam.

MENUAI rumpai laut di perairan Kunak.
MENUAI rumpai laut di perairan Kunak.

Jeti Semporna sebagai pangkalan utama untuk membeli serta menjual hasil tangkapan. Tepung ubi kayu pula menjadi pilihan utama serta menjadi makanan ruji selain daripada ikan.

Suatu keunikan terserlah jika berada di pasar besar Semporna di waktu pagi.

Penjual sayur atau ikan begitu ramah menegur pelanggan untuk meraih simpati melariskan jualan. Barangan jualan memang murah terutama sayuran atau ikan.

Ikan kembung segar atau selayang dijual sekitar RM8 dan RM4 sekilogram berbanding purata harga di Semenanjung melebihi RM10.

Menariknya, terdapatnya perkhidmatan pengangkut barang menggunakan kereta sorong di pasar berkenaan. Pengusaha terbabit terdiri daripada kanak-kanak Bajau berusia sekitar lapan hingga 12 tahun. Manakala caj yang dikenakan cukup berbaloi, hanya RM2 bagi setiap trip.

Maklumat yang diperolehi, mereka tidak pernah ke sekolah berikutan kemiskinan atau tiada pengenalan diri.

Produk perikanan utama di sini ialah tuna. Justeru, Semporna muncul sebagai pusat pendaratan ikan tuna sirip kuning terbilang negara.

Menariknya, nelayan tuna hanya menggunakan bot gentian kaca menangkap ikan di sempadan perairan Indonesia dan juga Filipina. Mereka sanggup bermalam selama dua atau tiga malam tanpa menghiraukan risiko keselamatan untuk mencari rezeki.

Berkat kegigihan mereka, kini Sabah muncul sebagai negeri paling banyak mendaratkan tuna negara. Mengikut perangkaan Jabatan Perikanan Malaysia, pada tahun 2011, sebanyak 1,329 tan metrik tuna berjaya didaratkan atau 69.51% daripada jumlah ikan tuna yang didaratkan di di Malaysia.

Anehnya, tiada jeti pendaratan ikan yang disediakan di situ. Nelayan bebas mendaratkan hasil di mana-mana jeti usang milik persendirian. Ini bermakna, tiada inisiatif dari mana-mana jabatan berkaitan atau kerajaan bagi meningkat prasarana keperluan serta menjaga kualiti hasil tangkapan nelayan.

Paling menyedihkan, mereka terpaksa melambakkan hasil tuna di atas lantai kotor yang menjadi tempat laluan ramai untuk dijual kepada taukeh atau peraih.

KETAM kelapa Pulau Selakan antara tarikan di Semporna.
KETAM kelapa Pulau Selakan antara tarikan di Semporna.

Produk kedua terbesar akua marin dari sini ialah rumpai laut terutama di Pulau Selakan dan Sibuan. Lawatan ke ladang rumpai laut juga mampu menjadi tarikan pelancong.

Keluasan ladangnya terbentang luas di perairan Kunak pasti menarik minat pelancong yang bertandang ke sana jika ia diuruskan dengan baik.

Situasi paling menarik untuk lawatan ialah semasa aktiviti pengusaha sedang memilih benih di pelantar, mengikat benih untuk ternakan pada tali dan semasa menuai hasil.

Untuk ke Pulau Selakan atau Sibuan, pengunjung boleh menempah bot di jeti Semporna. Jaraknya sekitar satu jam perjalanan, tetapi bergantung kepada keadaan pasang surut air laut.

Jika tidak, bot gagal mendarat di tepian pantai dan kita terpaksa berjalan meredah air. Di Pulau Selakan jika air surut, kita terpaksa memanjat tangga tinggi untuk naik ke pelantar.

Ketika ini, kebiasaannya ramai penduduk kampung keluar mencari siput dan menangkap ikan untuk dijadikan hidangan.

Selakan adalah pulau jadian dikatakan wujud daripada timbunan fosil kerang-kerangan dan batu karang. Keadaan ini boleh dilihat dengan jelas di bahagian tebingnya kelihatan susunan struktur fosil batu karang yang berlapis-lapis .

Malah, di beberapa bahagian daratan masih kedapatan berselerakan kulit kima gergasi yang separuh terbenam muncul di permukaan tanah.

Jika bermalam di Selakan, jangan lepaskan peluang mengintai kemunculan ketam kelapa (Coconut crab). Spesies ketam gergasi ini hanya muncul pada waktu malam. Kekuatannya mampu mengopek serta membelah buah kelapa menggunakan sepit untuk dimakan isinya.

Kini, ia menjadi spesies terancam yang perlu dilindungi agar ia mampu membiak dengan bebas di situ.

Namun, di kepulauan Indonesia dan Filipina ia dikatakan semakin pupus akibat diburu secara berleluasa untuk dijual sebagai makanan eksotik.

Spesies ini dikatakan berasal dari pulau Tasmania, Australia. Kemungkinan telurnya di bawa arus dan hanyut ke pulau terpencil di daerah Semporna.

Keindahan Pulau Sibuan juga amat terserlah. Pantainya cukup cantik, bersih serta dihiasi dengan panorama kebiruan air laut yang cukup menawan.

Tetapi, tiada kemudahan asas seperti penginapan disediakan di situ berikutan kedudukannya agak terpencil dari tanah besar. Mungkin juga ia mengundang bahaya kepada pelancong jika bermalam di situ. Hanya terdapat lebih kurang 10 rumah Bajau laut mendiami di pulau berkenaan.

Berita Harian X