Rabu, 25 November 2015 | 12:01am

Ahmad Shazili berdakwah menerusi seni

KE mana tumpahnya kuah, kalau tak ke nasi! Itulah yang menggambarkan bakat seni suara yang dimiliki Imam II Masjid Seksyen 7 Shah Alam, Ahmad Shazili Abdullah, 47.

Anak kelahiran Kampung Mahang, Kulim, Kedah itu bertuah kerana mewarisi bakat ibunya, Jamilah Mahmud atau lebih dikenali sebagai Hajah Norma, yang menjuarai tilawah al-Quran peringkat Kedah pada tahun 1963.

Bakat seninya bagaimanapun digilap apabila beliau yang bersuara lunak diminta pelajar senior ketika menuntut dalam jurusan dakwah di Universiti al-Azhar, Mesir pada tahun 1991 untuk menubuhkan kumpulan nasyid.

Sepanjang belajar di Mesir, beliau bersama kumpulannya, al-Wadi, berjaya menghasilkan tiga album siri Suara Perpaduan dan dua album Hari Raya.

Pada tahun 1997, Shazili kembali ke Malaysia dan nekad menjadi pendakwah seni dengan menghasilkan album bertajuk Kemenangan bersama kumpulan baharunya, Wadi el Jadid.

Bagaimanapun, album itu hanya dapat disiapkan pada tahun 2000. Pada tahun 2005, ketika menjadi Imam I Masjid As-Syakirin Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), beliau menerbitkan album kumpulannya bertajuk Bahana Cinta diikuti album Bicara Terakhir pada tahun 2010.

Pendakwah seni

Selain itu, Shazili menghasilkan album zikir munajat bertajuk Sentuhan Zikrullah, menerbitkan cakera padat (CD) bacaan juzuk Amma oleh adik Muhammad Al Hafiz pada tahun 2005 dan album kumpulan Dhuha bertajuk Jom Menyanyi Bahasa Arab pada tahun 2010.

Pada tahun 2013, bapa kepada tujuh anak itu menerbitkan mini album Imam Shazly bertajuk Cintaku Hanya Satu, yang mengandungi lima lagu dan satu doa.

Sehingga kini, beberapa zikir beliau masih kedengaran di Radio IKIM, manakala video klip Jejak Rasul Tercinta daripada album Bicara Terakhir turut disiarkan di TV1.

Lagu Cintaku Hanya Satu pernah mendapat tempat pertama dalam carta Nasyid Sepanjang Zaman terbitan Melaka FM.

Shazili berkata, sebagai pendakwah seni, beliau dapati banyak pihak berpandangan bahawa seni sebagai sesuatu yang tidak penting sedangkan ia adalah fardu kifayah dalam konteks pembangunan ummah.

"Jika dakwah seni ini diabaikan dan ia menjadi antara punca rosaknya masyarakat, maka kita akan berdosa dan dipertanggungjawabkan kerana tidak berbuat sesuatu," katanya.

Beliau berkata, seni adalah medium dakwah dan ia boleh disebarkan kepada orang ramai di seluruh dunia seperti yang dibuktikan oleh kumpulan Raihan, Maher Zain dan Yusof Islam.

Misi dakwah

"Bagi saya, nasyid bukan sekadar nyanyian tetapi ia satu misi dakwah untuk memartabatkan tekad dakwah dalam seni, budaya, hiburan dan penyiaran Islam.

"Oleh itu, saya terus berkarya walaupun tidak mendapat tempat dalam media arus perdana dan berdepan dengan kurangnya promosi," katanya yang mengakui mutu album yang dihasilkannya kurang memuaskan akibat kekangan bajet.

Shazili berkata, institusi agama seperti Baitulmal, Wakaf atau Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) sepatutnya menyokong pendakwah seni untuk terus berkarya seperti memberi geran penerbitan dan mempromosi album dan lagu pendakwah seni.

"Ia adalah perjuangan untuk memartabatkan pendakwah seni secara sistematik.

"Institusi ini juga boleh menyediakan geran kepada artis yang berhijrah sebagai sokongan untuk mereka terus berkarya atau melantik mereka sebagai tenaga pemikir dalam bidang seni, sama ada di peringkat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) atau kerajaan negeri," katanya.

Selain itu, beliau mencadangkan sebahagian wang zakat untuk golongan Fi Sabilillah digunakan untuk membangunkan dakwah seni atas nama hiburan yang mendidik, peperangan saraf untuk memerangi elemen yang tidak baik dan pembangunan ummah.

Artis Islam

"Dengan dana yang ada, kita boleh mengadakan konsert hiburan alternatif secara percuma dengan menjemput ikon artis Islam antarabangsa seperti Maher Zain, Sami Yusof atau kumpulan rap Native Deen untuk mengadakan hiburan syiar.

"Kita juga boleh membangunkan bakat pendakwah seni tempatan dan menyokong kegiatan mereka supaya boleh berkecimpung sepenuh masa dan mempunyai ruang berekspresi atas nama dakwah syiar," katanya.

Selain itu, Shazili berkata, dengan dana yang sama, institusi agama boleh menghasilkan produksi seni seperti drama, dokumentari atau rancangan kanak-kanak yang berbentuk mendidik.

"Jika setiap badan zakat meletakkan sasaran minimum menerbitkan lima rancangan kanak-kanak, lima drama pendek dan lima dokumentari setahun, bayangkan jika 10 badan zakat di seluruh Malaysia, maka kita akan mempunyai banyak bahan untuk disiarkan.

"Selain untuk siaran dalam negara, bahan ini boleh dijual kepada stesen penyiaran luar negara yang juga dahagakan bahan berbentuk demikian," katanya.

Shazili berkata, Malaysia sebenarnya mempunyai ramai tenaga yang boleh membabitkan diri sepenuh masa dalam kegiatan dakwah seni tetapi tiada mekanisme tersusun ke arah itu.

"Saya pernah menyuarakan pandangan ini kepada seorang pengurus zakat tetapi beliau mendakwa takut untuk melaksanakannya secara besar-besaran kerana bimbang diperkatakan pihak lain.

"Seni dakwah kalau dibuat dengan cantik, bukan sahaja dapat mendidik orang Islam tetapi mungkin ada bukan Islam yang berminat untuk mengucap dua kalimah syahadah atau melaksanakan nilai baik, selain berpeluang menangani isu Islamofobia," katanya.

Berita Harian X