X
Isnin, 23 November 2015 | 12:09am
NORHAYATI Abdullah menceritakan pengalamannya memeluk Islam. - Foto Syarafiq Abd Samad
NORHAYATI Abdullah menceritakan pengalamannya memeluk Islam. - Foto Syarafiq Abd Samad

Lari daripada keluarga demi agama Islam


"TIGA bulan hidup saya seperti dalam neraka, tetapi saya tetap dengan pendirian mahu terus menjadi orang Islam.

"Keluarga tidak merestui keputusan saya menyebabkan saya nekad meninggalkan mereka," kata Catherin Casby atau Norhayati Abdullah, 54, mengenai dugaan dihadapi apabila membuat keputusan menukar agama.

Kisah pilu yang dihadapi tidak pernah padam dalam ingatan suri rumah ini meskipun ia sudah lama berlalu.

Beliau kini hidup dengan lebih tenang melayari kehidupan bersama keluarga tercinta dan bersyukur pilihannya memeluk Islam amat tepat.

Tokoh Maal Hijrah 2015 Daerah Batu Pahat, Johor ini yakin jalan yang penuh berliku pada usia awal hidupnya adalah ujian Allah bagi menguatkan imannya sebagai saudara baharu sekali gus menjadikannya Muslimah yang lebih tabah, beriman dan bertakwa. 

CATHERIN Casby atau Norhayati Abdullah. - Foto Syarafiq Abd Samad
CATHERIN Casby atau Norhayati Abdullah. - Foto Syarafiq Abd Samad

Walaupun Norhayati dari suku kaum Iban mahu melupakan semua kenangan sedih, beliau bersedia berkongsi pengalaman yang ditempuhi bagi memberi inspirasi dan iktibar kepada umat Islam khususnya saudara baharu.

"Saya anak tunggal perempuan daripada lima beradik. Bapa saya ketua paderi di sebuah kampung di Sibu, Sarawak. Ibu bapa saya meninggal dunia, pada usia 13 tahun dan kemudian saya dijaga oleh ibu saudara," katanya mengimbau zaman silamnya ketika ditemui di rumahnya di Batu Pahat, baru-baru ini.

Bercerita lanjut, Norhayati berkata, beliau berasa tertekan di rumah menyebabkannya menjadi seorang yang panas baran, pemarah dan pendendam.

"Saya juga amat benci dengan rakan sekolah yang beragama Islam sehingga sanggup mengoyakkan buku rakan jika mereka lebih cemerlang daripada saya dalam peperiksaan.

"Malah, saya juga sering membuli mereka dengan mengambil bekal makanan yang dibawa dan membuangnya berkenaan ke longkang jika ia tidak menepati selera saya. 

"Namun apa yang pelik, rakan yang beragama Islam sedikit pun tidak marah, malah tetap bersabar dengan kelakuan saya. Lebih mengejutkan mereka turut membawa bekal makanan khas untuk diberi kepada saya dan masih mahu terus berkawan dengan saya," katanya.

Tahap kesabaran rakan beragama Islam melayan kelakuan buruk beliau menyebabkan Norhayati mula tertarik hati dengan keikhlasan mereka menerima beliau seadanya sehingga nekad untuk mengenali dan mendalami Islam secara diam-diam.

Beliau mula mencari bahan bacaan untuk mengetahui mengenai Islam, selain memberanikan diri pergi sendiri ke Jabatan Agama Islam Sibu untuk mendalami agama itu.

Beliau juga mempunyai keluarga angkat beragama Islam, yang turut membimbingnya mendalami Islam berikutan usianya masih muda. 

Yang nyata, kehidupannya penuh dengan ujian. Tragedi paling melekat di dalam jiwanya ialah apabila beliau diminta berhenti sekolah walaupun mencatat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Lower Certificate of Education (LCE) dan disuruh menjadi menjadi rahib di gereja. 

"Hati saya hancur kerana satu-satunya perkara yang seronok ketika remaja ialah ketika di alam persekolahan. Tetapi keseronokan itu dirampas. Ketika di sekolah, saya dapat melupakan sebahagian daripada kisah sedih di rumah," katanya.

NORHAYATI Abdullah membaca al-Quran di rumahnya di Batu Pahat. - Foto Syarafiq Abd Samad
NORHAYATI Abdullah membaca al-Quran di rumahnya di Batu Pahat. - Foto Syarafiq Abd Samad

Berikutan itu, beliau memberontak dan melarikan diri ke rumah keluarga angkatnya di Sibu bagi menenangkan fikiran.

"Perkara paling saya ingin elakkan ialah dipaksa menjadi rahib.  Selepas puas berfikir, tanpa pengetahuan keluarga, saya nekad memeluk Islam secara senyap pada usia 15 tahun dengan bantuan keluarga angkat," katanya.

Pada awalnya beliau mahu merahsiakan keputusannya memeluk Islam, tetapi selepas dua minggu pulang ke kampung, hatinya tidak mampu lagi menyimpan rahsia.

"Akhirnya memberitahu keluarga supaya mereka merestui. Bagaimanapun, saat permulaan mimpi paling ngeri dalam hidup saya. Keluarga membantah keras keputusan saya," katanya.

Beliau nekad melarikan diri ketika semuanya ahli keluarganya sedang tidur dan menumpang di rumah kawan.

Dengan bantuan rakannya itu, Norhayati mula bekerja di sebuah restoran dan di situ jugalah, beliau bertemu jodoh. Beliau dilamar seorang pegawai kerajaan, yang menyatakan kesudian untuk menjaganya.

Pada usia 15 tahun, Norhayati bergelar isteri kepada Mohd Meras Ishak, yang 14 tahun lebih tua daripadanya.

Ketika baru berkahwin, saya sangat polos dan tidak tahu apa-apa. Sehingga ketika suami pergi kerja, saya yang menetap di kawasan kuarters kerajaan akan keluar bermain bersama anak jiran, bermain guli dan bermain sembunyi-sembunyi sehinggalah suami panggil untuk pulang.

"Suami banyak membimbing dan mengajar saya banyak perkara, termasuk cara bersolat dan berpuasa, selain menguruskan rumah tangga. 

"Kami bahagia sehingga saya melahirkan enam cahaya mata. Namun, umur suami tidak panjang kerana dijemput Ilahi selepas 15 tahun berumahtangga," katanya.

Selepas menjadi balu, Norhayati memutuskan untuk berpindah di kampung halaman suaminya di Batu Pahat dan meneruskan kehidupan dengan bekerja di kilang elektronik bagi membesarkan anak yang masih kecil.

"Dengan duit pampasan peninggalan arwah suami, saya membeli sebuah rumah dan membesarkan semua anak hasil dengan bekerja kilang selama lebih 18 tahun. Anak meminta saya berhenti bekerja selepas mereka semua sudah tamat belajar di  universiti dan bekerja," katanya.

NORHAYATI Abdullah bergambar bersama keluarganya di Batu Pahat. - Foto Syarafiq Abd Samad
NORHAYATI Abdullah bergambar bersama keluarganya di Batu Pahat. - Foto Syarafiq Abd Samad

Kelapangan masa selepas berhenti kerja itu membolehkan Norhayati mendalami agama Islam. Beliau memasuki kelas agama di Badan Kebajikan Saudara Kita sehingga sekarang.

Saya berpeluang memperbetulkan bacaan al-Quran, bacaan dalam solat dan ilmu pengetahuan Islam lainnya, malah kerana berasakan kelas ini amat penting sebagai pembimbing hidup, saya tidak pernah sekali pun tidak hadir ke kelas yang diadakan tiga kali seminggu ini.

"Alhamdulillah, selepas gigih mengikuti kelas sejak tahun 2010, saya mendapat rezeki dan terpilih mengerjakan haji bersama rombongan kerajaan negeri Johor pada tahun 2013, yang menjadi hadiah paling bermakna dalam hidup saya," katanya.

Kini, beliau nekad meningkatkan lagi ilmunya dalam bidang agama. Beliau mahu menuntut dengan guru agama sebagai persiapan mencapai cita-citanya, bergelar guru agama.

Beliau berazam kembali ke kampungnya di daerah Song, Sibu, Sarawak untuk berdakwah kepada keluarga dan masyarakat di sana.

"Sebelum ini, mereka cuba mencari saya dan berita kehilangan saya juga turut pernah disiarkan televisyen dan akhbar, namun ketika itu saya belum bersedia apatah lagi ilmu agama masih tidak cukup di dada," katanya. 

Beliau bercadang membawa ibu saudaranya tinggal bersama di Batu Pahat dan menjaganya, selain mahu mengajaknya memeluk Islam.

Norhayati mengakui, cabaran sebagai seorang saudara baharu amat hebat. Jika iman tidak cukup di dada, kemungkinan untuk kembali kepada agama asal amat tinggi.

"Alhamdulillah, saya dikelilingi sahabat, masyarakat yang baik, amat memahami malah langkah ke kelas agama juga banyak membimbing saya untuk terus bertakwa dan bersabar jika berdepan ujian.

"Sokongan rakan saudara baharu lain yang saling memberi sokongan dan galakan sesama kami juga menjadi pembakar semangat serta motivasi kepada saya untuk terus berjihad ke jalan Allah," katanya. 

Berita Harian X