Khamis, 19 November 2015 | 12:02am
JULAIHI Narawi (tengah) bergambar kenangan bersama wakil Press Metal Berhad di Taman Perindustrian Samalaju. - Foto Hardi Effendi Yaakob
JULAIHI Narawi (tengah) bergambar kenangan bersama wakil Press Metal Berhad di Taman Perindustrian Samalaju. - Foto Hardi Effendi Yaakob

Dulu belantara, kini tumpuan pelabur dunia


BINTULU: Dari sebuah kawasan belantara terpencil dan tidak berpenghuni, siapa sangka berlaku transformasi hebat hingga muncul Taman Perindustrian Samalaju yang kini menjadi tumpuan pelabur asing dari seluruh dunia.

Di peringkat awal pembangunannya, ada pihak tertentu bersikap skeptikal, malah menganggap usaha itu mustahil untuk dilaksanakan atas beberapa faktor berkaitan, terutama kekangan logistik dan sistem perhubungan.

Bagaimanapun, kekangan itu berjaya diatasi melalui perancangan strategik kerajaan negeri, selain kerjasama baik diberikan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) melalui dua agensi tulang belakangnya - Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Ia juga seiring dengan usaha Kerajaan Persekutuan ke arah mewujudkan wilayah ekonomi baharu dan makmur di Malaysia Timur melalui pelaksanaan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) pada 2008.

Dalam tempoh kurang 10 tahun, Taman Perindustrian Samalaju berkembang dengan begitu pesat, malah lebih awal mencapai objektif pelaksanaannya dari jangkamasa disasarkan kerajaan negeri, sekali gus menjadi komponen terpenting SCORE yang bertumpu di wilayah tengah Bumi Kenyalang.

JULAIHI Narawi (tiga dari kiri) bergambar kenangan bersama wakil Press Metal Berhad yang juga pelabur tempatan terbesar di Taman Perindustrian Samalaju. - Foto Hardi Effendi Yaakob
JULAIHI Narawi (tiga dari kiri) bergambar kenangan bersama wakil Press Metal Berhad yang juga pelabur tempatan terbesar di Taman Perindustrian Samalaju. - Foto Hardi Effendi Yaakob

Ini sekali gus menarik perhatian pelbagai firma tempatan mahupun antarabangsa untuk menanam modal dalam pelbagai sektor industri, terutama berasaskan teknologi tinggi dan kejuruteraan berat, termasuk segmen penjanaan tenaga boleh diperbaharui.

Jika dulu, kebanyakan pelabur memilih Pulau Pinang, Johor dan Selangor sebagai destinasi pelaburan pilihan mereka, namun mereka kini beralih ke Sarawak. Malah kewujudan Taman Perindustrian Samalaju turut diperakui menyumbang kepada peningkatan mendadak jumlah pelaburan langsung asing (FDI) di negeri ini.

Keseluruhannya, Taman Perindustrian Samalaju mencatatkan perolehan nilai pelaburan mencecah RM30 bilion melalui 20 projek yang diluluskan setakat ini membabitkan sektor petrokimia, peleburan aluminium, pemprosesan besi dan logam berat, selain polisilikon.

Untuk rekod, loji peleburan aluminium milik Press Metal Berhad di taman perindustrian ini juga diiktiraf antara yang terbesar di dunia, malah lebih membanggakan ia diusahakan oleh anak tempatan, sekali gus membuktikan keupayaan syarikat Malaysia untuk bersaing di peringkat global.

Selain China dan Jepun, negara lain yang turut mencatatkan pelaburan besar di Taman Perindustrian Samalaju ialah Hong Kong, Singapura, Norway dan Afrika Selatan.

Perkembangan Taman Perindustrian Samalaju turut merangsang pertumbuhan sosio-ekonomi setempat melalui kewujudan sekurang-kurangnya 15,000 peluang pekerjaan, khususnya bagi anak tempatan, seterusnya membantu melahirkan lebih ramai sumber tenaga kerja mahir di Sarawak.

Ia turut diakui Menteri Muda Pembangunan Perindustrian Sarawak, Datuk Julaihi Narawi yang bertanggungjawab terhadap portfolio pelaburan dan promosi perdagangan negeri ini.

MENTERI Muda Pembangunan Perindustrian Sarawak, Datuk Julaihi Narawi. - Foto Jeakqleyn Yacho
MENTERI Muda Pembangunan Perindustrian Sarawak, Datuk Julaihi Narawi. - Foto Jeakqleyn Yacho

Beliau berkata, Taman Perindustrian Samalaju menawarkan suasana pelaburan yang cukup kondusif, selain menyediakan pelbagai kemudahan prasarana diperlukan pelabur.

Katanya, ia tidak hanya merangkumi pembangunan infrastruktur, malah penyediaan bekalan elektrik mencukupi pada harga cukup kompetitif, masing-masing dari sumber penjanaan tenaga hidro yang boleh diperbaharui di Bakun dan Murum.

"Sebenarnya, banyak faktor lain yang menyumbang kepada peningkatan pelaburan di Sarawak, khususnya FDI. Ini bukan hanya membabitkan soal tenaga elektrik mencukupi dan kadar tarif yang kompetitif bagi menampung keperluan industri, bahkan kos tenaga buruh yang murah, terutama membabitkan pekerja mahir.

"Namun, faktor utama kejayaan ini ialah kestabilan politik dan kerajaan memerintah. Sarawak mempunyai sebuah kerajaan negeri yang kukuh di bawah kepemimpinan Barisan Nasional (BN) sehingga menyumbang kepada kemakmuran ekonomi negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mewakili Menteri Pembangunan Perindustrian Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan pada Program Lawatan Media Ke Taman Perindustrian Samalaju, Bintulu.

Ia sebahagian daripada usaha meneliti perkembangan SCORE selepas hampir lapan tahun dilaksanakan dengan objektif utama meningkatkan pertumbuhan sosio-ekonomi di Malaysia Timur.

Selain Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA), Tan Sri Wilson Baya Dandot, turut serta pada sesi lawatan itu ialah Pengarah MITI Sarawak, Griffith Jones Gobal; Pengarah Wilayah MATRADE Sarawak, Leany Mokhtar dan Timbalan Pengarah MIDA Sarawak, Yusmarizana Mohd Yusof.

TOKUYAMA Corporation dari Jepun, antara pelabur asing terbesar di Taman Perindustrian Samalaju. - Foto Hardi Effendi Yaakob
TOKUYAMA Corporation dari Jepun, antara pelabur asing terbesar di Taman Perindustrian Samalaju. - Foto Hardi Effendi Yaakob

Kedudukan Taman Perindustrian Samalaju yang strategik turut menjadikannya sebagai aset utama bagi menarik pelaburan ke Sarawak. Selain terletak di lubuk atau telaga gas cecair asli (LNG) terbesar negara, Taman Perindustrian Samalaju juga berada dalam jaringan Lebuhraya Pan Borneo yang kini sedang dalam pembinaan, malah turut mempunyai kemudahan pelabuhannya sendiri dikenali sebagai Pelabuhan Samalaju bernilai kira-kira RM1.9 bilion.

"Ia sekali gus memudahkan akses ke kawasan perindustrian ini. Dalam konteks pelaburan dan perdagangan, keperluan logistik amat penting, malah kerajaan negeri cukup komited dalam usaha penyediaan sistem perhubungan yang cekap.

"Kita juga peka terhadap rungutan segelintir pelabur mengenai kekurangan penerbangan terus ke Bintulu, selain khususnya dari Kuching yang dianggap sebagai pintu masuk utama ke Sarawak. Kita sedang meneliti perkara itu dan berusaha mencari jalan penyelesaian terbaik," katanya.

Mengulas mengenai prestasi SCORE yang dilancarkan pada 2008, Julaihi berkata ia mencatatkan pertumbuhan signifikan, malah turut diperakui sebagai wilayah pembangunan ekonomi paling progresif selepas Iskandar Malaysia di Johor.

Beliau turut menjelaskan prestasi cemerlang itu turut didorong oleh pembangunan Taman Perindustrian Samalaju yang kini bertumpu kepada fasa pengembangannya, dengan usaha menarik lebih banyak pelabur asing menanam modal di situ melalui misi perdagangan kerajaan negeri di luar negara.

JULAIHI Narawi mendengar taklimat mengenai projek pembangunan Pelabuhan Samalaju bernilai RM1.9 bilion yang juga komponen terpenting SCORE. - Foto Hardi Effendi Yaakob
JULAIHI Narawi mendengar taklimat mengenai projek pembangunan Pelabuhan Samalaju bernilai RM1.9 bilion yang juga komponen terpenting SCORE. - Foto Hardi Effendi Yaakob

"Berkeluasan 8,000 hektar, masih banyak kawasan berpotensi dibangunkan di Taman Perindustrian Samalaju. Bagi kerajaan negeri sendiri, kita memberi fokus utama terhadap kesinambungan pembangunannya kerana peranan pentingnya dalam membantu misi menjadikan Sarawak sebagai negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030.

"Ia juga antara komponen terpenting dalam usaha memperkukuhkan kedudukan Sarawak sebagai destinasi pilihan utama FDI di Malaysia selepas Johor, selain turut membantu melahirkan lebih ramai sumber tenaga kerja mahir dalam kalangan anak tempatan," katanya.

Dalam melaksanakan pembangunan taman perindustrian itu, aspek pemuliharaan alam sekitar tidak sesekali diabaikan, dengan komitmen itu jelas dilihat melalui penggunaan sumber tenaga boleh diperbaharui yang lebih mesra alam.

Taman Perindustrian Samalaju juga antara projek perintis konsep 'taman perindustrian hijau', dengan pelan pembangunannya dirancang secara lestari bertujuan mengurangkan kadar pencemaran terhadap alam sekitar.

Bagi pandangan pihak tertentu pula, pembangunan taman perindustrian itu sebagai simbol keakraban hubungan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, khusus dalam membawa lebih kemajuan ke Sarawak.

Berita Harian X