Selasa, 17 November 2015 | 12:05am

Penduduk Sungai Besi 'mangsa' saman parkir


'MANGSA saman parkir'. Mungkin itu gambaran tepat untuk penduduk dan peniaga di pekan Sungai Besi, Kuala Lumpur yang terpaksa berdepan tindakan penguatkuasaan atau menerima 'surat cinta' daripada pihak berkuasa hampir setiap hari kerana gagal meletakkan kenderaan di tempat ditetapkan.

Mereka bukannya menolak atau menafikan hak pihak berkuasa seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan polis trafik dalam menjalankan tugas, tetapi terpaksa melanggar peraturan kerana kekurangan tempat meletak kenderaan.

Ditemui BH Plus baru-baru ini, penduduk di Pekan Warisan itu mendakwa kekurangan tempat meletak kenderaan berpunca daripada akibat pembangunan tidak seimbang dan masalah terbabit juga menyebabkan perniagaan segelintir peniaga terjejas.

Seorang daripada peniaga di pekan Sungai Besi, Shahrin Shaharani, 34, mempertikaikan bagaimana dua agensi iaitu DBKL dan polis bertindak mengeluarkan dua saman atas kesalahan trafik ke atas mereka pada setiap hari yang dilihat tidak memberi sebarang langkah penyelesaian.

KEKURANGAN tempat meletak kenderaan dikatakan berpunca daripada pembangunan yang tidak seimbang di pekan Sungai Besi. - Foto Izhari Ariffin
KEKURANGAN tempat meletak kenderaan dikatakan berpunca daripada pembangunan yang tidak seimbang di pekan Sungai Besi. - Foto Izhari Ariffin

PENIAGA, Shahrin Shaharani. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
PENIAGA, Shahrin Shaharani. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

"Satu hari sampai dua atau tiga orang datang hendak saman... bila ditanya di mana boleh kami letak kenderaan, mereka tidak tahu pula hendak jawab.

"Habis itu, macam mana mereka boleh ambil tindakan tetapi dalam masa sama tidak beri sebarang jalan penyelesaian, sepatutnya kena ada barulah kami tidak langgar peraturan lagi," katanya.

Bagi seorang pemilik bengkel motosikal di pekan berkenaan, Lee Sang, 64, kekurangan tempat meletak kenderaan sedikit sebanyak menjejaskan perniagaannya kerana orang ramai sukar untuk ke kedainya bagi membaiki kenderaan.

PEMILIK bengkel motosikal, Lee Sang. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
PEMILIK bengkel motosikal, Lee Sang. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

"Sekarang dapat cari makan sikit-sikit, tidak boleh lagi untung macam dulu kerana tidak ramai pelanggan hendak datang sini.

"Mereka (pelanggan) bagi alasan susah hendak datang ke sini kerana pekan jadi sesak, banyak sebab pekan menjadi begini antaranya banyak perniagaan baru buka tetapi kemudahan (jalan raya atau tempat meletak kenderaan) tidak ditingkatkan," katanya.

Peniaga percetakan baju T, Zulkeflee Abu pula membangkitkan kekeliruan petak kuning yang sebelum ini dikhaskan untuk meletakkan kenderaan tetapi tidak lagi dibenarkan oleh pihak berkuasa kini.

"Setiap hari ada saja pihak berkuasa datang hendak saman walaupun kenderaan diletakkan di petak kuning...tepi jalan ini banyak garisan tetapi ia sudah tidak lagi kelihatan dan samar-samar.

ZULKEFLEE Abu menunjukkan garisan kotak meletak kenderaan yang tidak lagi kelihatan dan samar-samar. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
ZULKEFLEE Abu menunjukkan garisan kotak meletak kenderaan yang tidak lagi kelihatan dan samar-samar. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

"Anggota datang saman semua yang baru-baru dan tidak tahu asal usul pekan Sungai Besi ini bagaimana. Bila kami kata ada kotak meletak kenderaan di sini mereka cakap tidak tahu.

"Mereka hanya ikut arahan untuk saman, kami sudah buat aduan kepada pihak berkenaan dan wakil rakyat tetapi tiada tindakan diambil... kami harap masalah itu dapat diselesaikan secepat mungkin.

"Ada parkir bertingkat pun seperti tak membawa sebarang perubahan kerana parkir itu hanya dipenuhi oleh pengguna LRT. Bila penduduk atau pengunjung yang mahu datang ke sini untuk membeli, kena tawaf satu pekan berjam-jam pula untuk cari parkir," katanya.

Sementara itu, Menteri wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, ketika dihubungi BH Plus bagi mengulas isu berkenaan, berkata pihaknya akan menyelesaikan permasalahan itu secepat mungkin bagi membolehkan penduduk di pekan Sungai Besi dapat menikmati kehidupan lebih selesa dan harmoni.

MASALAH parkir perlu diselesaikan secara menang-menang antara semua pihak di pekan Sungai Besi. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
MASALAH parkir perlu diselesaikan secara menang-menang antara semua pihak di pekan Sungai Besi. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Katanya, pihaknya sudah meluluskan peruntukan untuk melakukan kerja naik taraf kemudahan meletak kenderaan di lokasi yang sudah dikenal pasti bermasalah.

"Berhubung parkir bertingkat...kerajaan membina kompleks parkir berkenaan berkonsepkan 'park n ride'. Sesiapa saja boleh guna.

"Ia termasuk pengguna LRT dan penduduk yang mahu ke pekan Sungai Besi...mereka boleh letak kenderaan di situ dan berjalan kaki ke kedai untuk membeli.

"Kita harap penduduk dapat bersabar sehingga kerja naik taraf selesai," katanya.

MENTERI Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. - Foto Aizuddin Saad
MENTERI Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. - Foto Aizuddin Saad

Berhubung kekeliruan petak meletak kenderaan, Tengku Adnan berkata pihaknya akan menyelesaikan masalah berkenaan secepat mungkin dengan meminta kerjasama daripada DBKL dan polis trafik.

"Kita akan kenal pasti lokasi bermasalah dan lakukan kerja naik taraf, penduduk serta peniaga diminta beri kerjasama kepada pihak berkuasa dan tidak meletak kenderaan sewenang-wenangnya hingga merumitkan lagi masalah kesesakan yang ada di pekan berkenaan," katanya.

Berita Harian X