Selasa, 17 November 2015 | 12:02am

Kena korban untuk 'Kita Juara'

DATUK Marina Chin.
DATUK Marina Chin.

SELEPAS 16 tahun, temasya sukan terbesar di Asia Tenggara, Sukan SEA kembali dianjurkan di Malaysia dalam masa dua tahun saja lagi. Dengan harapan menggunung untuk mengulangi pencapaian muncul juara keseluruhan pada temasya 2001, program 'Kita Juara 2017' diperkenalkan.

Persediaan lebih rapi dilakukan bagi meraih kejayaan itu dan buat julung kalinya pemilihan ketua kontinjen negara (CDM) ke Sukan SEA 2017 dilakukan lebih awal dengan pelantikan Datuk Marina Chin.

Bekas ratu trek negara itu bukanlah nama asing dalam kalangan atlet kerana bekas guru pendidikan jasmani dan Bahasa Inggeris yang pernah dilantik sebagai pengetua Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) selama tujuh tahun itu pernah bergelar atlet hebat pada 1970-an dalam acara pecut dan lari berhalangan. Dia memenangi pingat emas dalam acara pecut 100m dan 200m di Sukan SEA Kuala Lumpur 1977 serta pingat emas 100m berpagar Sukan SEA Jakarta 1979. Marina turut dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan dan Olahragawati Selangor dua tahun berturut-turut iaitu pada 1976 dan 1977 dan pada tahun 2013, menerima Anugerah Wanita Sukan MOM di atas sumbangannya kepada sukan tanah air.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia muncul juara keseluruhan pada temasya 2001 di Kuala Lumpur, kontinjen negara meraih 111 pingat emas, 75 perak dan 85 gangsa sementara temasya tahun ini di Singapura, negara mencatatkan keputusan terbaik dalam temasya di luar negara apabila menduduki tempat keempat dengan mengumpul 62 emas, 58 perak dan 66 gangsa.

Kini Marina buat kali pertamanya diberi kepercayaan memikul tugas berat itu untuk memastikan Malaysia muncul sebagai juara di laman sendiri. Mampukah dia melakukannya? Ikuti temubual wartawan BH Sukan, Jumiati Rosly dengan Marina untuk berkongsi perasaannya dalam memastikan program 'Kita Juara 2017' berjaya direalisasikan pada temasya itu nanti.

Soalan (S): Apakah perasaan Datuk apabila dimaklumkan mengenai pelantikan sebagai CDM kontinjen negara ke Sukan SEA Kuala Lumpur 2017?

Jawapan (J): Pada mulanya saya memang terkejut diumumkan sebagai CDM, namun dalam masa yang sama saya rasa bertuah diberi penghormatan ini. Saya akan cuba memikul tugas yang berat ini dengan sebaik mungkin. Saya juga akan melakukan perancangan teliti dengan pihak berkaitan bagi memastikan kejayaan pada temasya itu nanti.

SEBAHAGIAN atlet pada majlis perhimpunan Atlet Program Kita Juara yang diadakan baru-baru ini.
SEBAHAGIAN atlet pada majlis perhimpunan Atlet Program Kita Juara yang diadakan baru-baru ini.

S: Bagaimana impak nama program 'Kita Juara' dalam menaikkan semangat dan motivasi kontinjen negara?

J: Saya rasa nama program itu sendiri 'Kita Juara' akan memberi pandangan atau tanggapan yang positif kepada atlet. Dari sini kita sudah beritahu atlet yang kita tidak akan berpuas hati dengan keputusan kurang daripada juara. Jadi mereka sudah ada tanggapan iaitu apa pun juga mereka perlu jadi juara.

Seperti kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebelum ini bahawa atlet perlu tanya diri sendiri apa yang perlu dibuat untuk jadi juara. Bagi saya, ini juga adalah peranan saya sebagai CDM dan pengurus pasukan untuk mengingatkan mereka.

S: Dengan meletakkan matlamat 'Kita Juara' sebagai sasaran pada temasya 2017, adakah sasaran itu sendiri akan memberi tekanan kepada Datuk?

J: Tekanan itu pastinya ada. Namun saya bersyukur dilantik lebih awal dan memberi saya masa untuk berjumpa persatuan dan ada masa untuk bantu yang mana-mana aspek perlu dibantu.

S: Adakah Datuk yakin kontinjen negara mampu mencapai matlamat 'Kita Juara'?

J: Saya yakin kita mampu penuhi matlamat itu kerana lebih daripada 50 peratus daripada atlet saya kenal semasa di SSBJ. Saya yakin mereka ada semangat yang cukup kuat dan baik serta memberi fokus yang cukup baik untuk melakukan yang terbaik.

S: Apakah pendekatan yang bakal Datuk gunakan untuk menguruskan bilangan kontinjen negara yang begitu besar?

J: Saya ada memohon kepada Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail supaya memberi saya ruang atau tempat yang kecil di Kompleks MSN untuk saya. Ini bagi membolehkan saya datang dalam dua kali seminggu atau tiga kali seminggu berjumpa dengan atlet. Selepas itu saya akan memberitahu atlet yang saya akan berada di tempat disediakan pada masa yang ditetapkan.

Jadi selepas ini kalau mereka menghadapi apa-apa masalah, mereka boleh datang berjumpa saya dan saya akan tolong selesaikan sedaya upaya. Kalau saya berpeluang jumpa mereka secara bersemuka, saya yakin tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan.

S: Sebagai seorang bekas pendidik di SSBJ pastinya Datuk mempunyai pengalaman yang luas dan apakah masalah yang dijangka ditimbulkan atlet apabila berdepan dengan tekanan menghadapi pertandingan?

J: Katakanlah mereka mempunyai masalah dari segi keyakinan diri dan sebagainya, saya yakin Institut Sukan Negara (ISN) mempunyai sistem sokongan yang cukup lengkap. Kita boleh merujuk mereka untuk mendapatkan bantuan. Jika ada masalah penjadualan pelajaran dan latihan misalnya, saya ada cara-cara yang boleh diatasi.

Pada pandangan saya memang akan ada timbulnya masalah kelak, apa lagi kalau kita perlu menjaga satu pasukan yang besar seramai antara 600 hingga 700 individu. Ia pasti akan timbulkan masalah tetapi sekali lagi saya yakin tidak ada masalah yang tidak ada penyelesaiannya.

S: Apakah nasihat Datuk buat atlet yang akan memikul harapan tinggi buat negara?

J: Sudah tentu mereka adalah atlet yang majoritinya muda. Mereka kadang kala terkeluar sedikit daripada landasan dan menjadi tugas saya mengingatkan mereka untuk kembali ke landasan jika mahu jadi juara.

Seperti saya katakan sendiri kepada mereka, atlet itu sendiri perlu membuat keputusan, jika mereka mahu jadi juara pada 2017, orang lain tak boleh lakukan untuk mereka. Mereka perlu lakukan sendiri. Jika mereka mahu lakukan, mereka perlu buat keputusan sendiri dan bersedia untuk berkorban malah perlu melakukan apa saja untuk pastikan muncul juara.

Berita Harian X