Jumaat, 13 November 2015 | 12:30am
PERGERAKAN di Tebing Barat (dari satu kawasan ke kawasan lain) amat sukar kerana ada 'checkpoint' (pusat pemeriksaan) Israel.
PERGERAKAN di Tebing Barat (dari satu kawasan ke kawasan lain) amat sukar kerana ada 'checkpoint' (pusat pemeriksaan) Israel.

Bawa isteri, anak mula hidup baharu di Malaysia


SEPANJANG hayat menjadi pelarian, namun itu tidak menghalang pelarian Palestin dari Syria memulakan hidup baharu selepas negara itu dilanda peperangan pada 2011.

Itu azam Abu Hamza (bukan nama sebenar) yang berusia awal 50-an, memasuki negara ini bersama isteri dan lima anaknya selepas seorang kenalan memberitahu hanya Malaysia menerima baik pelarian Palestin.

Ahli perniagaan itu mengeluarkan semua wang simpanannya selepas rumahnya di Homs, barat Syria, musnah dibedil pihak bertelagah sebelum memasuki Malaysia secara sah pada hujung tahun 2013.

"Saya dilahirkan di Syria, hidup kami baik di sana. Saya ada kerja, rumah dan segala-galanya sehinggalah perang meletus.

"Semua pihak terkesan termasuk kami pelarian Palestin," katanya.

KEADAAN di Kem Pelarian Yarmouk, Damsyik, Syria ketika kemuncak krisis kemanusiaan.
KEADAAN di Kem Pelarian Yarmouk, Damsyik, Syria ketika kemuncak krisis kemanusiaan.

Abu Hamza yang kelihatan uzur ketika ditemui BH di sebuah kondominium di Ampang, Selangor, yang didiami keluarganya dengan sewa RM1,400 sebulan, tidak termasuk bayaran bil elektrik dan air.

Pelarian Palestin dari Syria itu mengalami sakit belakang dan berjalan menggunakan tongkat, namun penulis berasa amat sebak apabila kehadiran kami disambut dengan senyuman.

"Lebih baik kami tinggal di sini, kami adalah 'tetamu'. Rakyat Malaysia amat baik kepada kami, begitu juga kerajaan," katanya sambil meminta penulis memakan kek kelapa dimasak isterinya.

Tidak seperti pelarian Palestin lain yang hanya menggunakan dokumen perjalanan terhad dari Syria untuk memasuki Malaysia, Abu Hamza memasuki Malaysia menggunakan pasport Palestin.

"Keluarga saya keluar ke Mesir dulu dari Syria. Kami mendapatkan pasport (Palestin) di Mesir sebelum terbang ke Malaysia," katanya sambil menunjukkan pasportnya kepada penulis dan jurugambar.

Penulis sebak apabila melihat pasport Abu Hamza kerana hanya ada cop masuk ke Malaysia - yang menunjukkan bahawa negara ini satu-satunya negara luar dilawatinya.

Lebih setengah juta pelarian Palestin di Syria terseret dalam kancah peperangan apabila penempatan mereka, khususnya Kem Pelarian Al-Yarmouk, Damsyik, turut menjadi medan pertempuran.

Abu Hamza berkata, beliau dilahirkan di Syria selepas keluarganya dihalau zionis Israel dari Palestin pada 1948 dan sepanjang hidupnya beliau tidak pernah menjejakkan kakinya di bumi Palestin.

"Selama 50 tahun saya menjadi pelarian," katanya dengan nada suram namun menegaskan matlamatnya kini adalah mencari masa depan untuk anaknya yang kini berlindung sementara di Malaysia.

Abu Hamza adalah antara lebih 1,000 pelarian Palestin dari Syria, termasuk dari Kem Pelarian Al-Yarmouk, yang berlindung di Malaysia selepas konflik perang saudara meletus di Syria sejak Mac 2011.

Sekalipun kehidupannya sukar, Abu Hamza yang berdaftar sebagai pelarian dengan Pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR), tidak mengalah.

"Saya harap dapat pulang ke Syria atau ke mana-mana tempat atau negara yang bersedia menerima kami," katanya yang menyerahkan takdir perjalanan hidupnya kepada Allah SWT.

MEDIUM bahasa Inggeris yang digunakan di universiti awam dan swasta di Malaysia menjadikan negara ini negara pilihan pelajar dari Palestin untuk melanjutkan pengajian.

Selain itu, tahap pendidikan di Malaysia yang dilihat lebih di depan berbanding sistem pendidikan di negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menjadi faktor penarik pelajar asing.

Ketika ini, lebih separuh daripada 4,000 warga Palestin yang berada di Malaysia terdiri daripada golongan pelajar di peringkat ijazah sarjana muda hinggalah ke peringkat doktor falsafah (PhD).

PELAJAR Palestin dari Hebron, Mohamed Bitar, 23. - Foto Yazit Razali
PELAJAR Palestin dari Hebron, Mohamed Bitar, 23. - Foto Yazit Razali

Penuntut dari Palestin, Mohamed Bitar, 23, daripada Hebron, berkata menyambung pengajian di peringkat ijazah dan ke atas menjadi "trend" dalam kalangan pelajar Palestin dari Gaza atau di Tebing Barat.

"Kami (warga Palestin) melanjutkan pengajian di luar negara. Saya dengar tentang Malaysia yang membangun dan saya juga tahu Malaysia menyokong (perjuangan) Palestin," kata Mohamed.

Mohamed antara ribuan pelajar Palestin yang memilih Malaysia sebagai destinasi pengajian selepas konflik dan peperangan menghambat masa depan anak muda berasal dari Tebing Barat itu.

Ketika Mohamed memasuki Malaysia pada 2011, bapanya masih dipenjarakan Israel, namun itu tidak menghalang beliau untuk melanjutkan pengajian di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Malaysia.

"Kami datang ke sini untuk menjadi orang terpelajar," kata Mohamed yang turut menerima diskaun yuran dari UIA dalam melanjutkan pengajiannya dalam Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan.

PEMILIK restoran dan rakyat Palestin, Zaher Al-Barrawi, 37 (kanan) bersama pekerjanya di Taman Melati, Kuala Lumpur. - Foto Zulfadhli Zulkifli
PEMILIK restoran dan rakyat Palestin, Zaher Al-Barrawi, 37 (kanan) bersama pekerjanya di Taman Melati, Kuala Lumpur. - Foto Zulfadhli Zulkifli

BH sejak beberapa hari lalu menyiarkan laporan khas bersiri mengenai kehidupan warga Palestin di Malaysia, termasuk pelarian Palestin dari Syria yang melarikan diri dari konflik peperangan.

Ketika ini, terdapat lebih 1,000 pelarian Palestin dari Syria turut berlindung di Malaysia selepas negara Asia Barat itu dicengkam konflik perang saudara yang berlarutan sejak empat tahun lalu.

Mohamed menyifatkan kehidupan di bawah penjajahan Israel amat sukar, terutama dalam melanjutkan pengajian dan mencari pekerjaan kerana semua perkara di bawah kawalan rejim Israel.

"Pergerakan di Tebing Barat (dari satu kawasan ke kawasan lain) amat sukar kerana ada 'checkpoint' (pusat pemeriksaan) Israel," katanya bersyukur kerana dapat melanjutkan pengajian di sini.

Mohamed amat berterima kasih kepada UIA kerana memberi sokongan kepada pelajar sepertinya selain bersyukur dengan sikap positif rakyat dan Kerajaan Malaysia kepada pelajar Palestin.

"Hidup saya di sini ok sebab ada pelajar antarabangsa dan tempatan," katanya yang menampung pengajian melaluin sokongan keluarga dan bekerja secara sambilan sebagai tutor universiti.

Kali terakhir Mohamaed pulang ke Palestin adalah pada 2013 dan beliau tidak berhasrat pulang selagi pengajiannya tidak tamat memandangkan proses keluar masuk di sana, dikawal Israel.

MUSA'AB Yunus 25 memotong lapisan daging kebab untuk pelanggannya di Taman Melati, Kuala Lumpur. - Foto Zulfadhli Zulkifli
MUSA'AB Yunus 25 memotong lapisan daging kebab untuk pelanggannya di Taman Melati, Kuala Lumpur. - Foto Zulfadhli Zulkifli

"Jika saya pulang, keluarga saya semua akan mati," demikian menurut seorang warga Palestin yang kini menetap di Malaysia selepas memasuki negara ini, lebih lima tahun lalu.

Zaher Al Barawi, 37, merujuk kepada keluarganya yang berada di Beit Lahiya, utara Gaza, yang kini bergantung penuh kepada pendapatannya yang mengusahakan restoran makanan Arab di sini.

Bapa kepada empat anak itu menyara keluarganya dari jauh dengan mengusahakan restoran makanan Arab hasil perkongsian dengan seorang rakan perniagaan di sini sejak beberapa tahun lalu.

Zaher pada awalnya memasuki Malaysia pada 2010 untuk melanjutkan pengajiannya di peringkat siswazah sebelum membuat keputusan untuk berniaga di sini dengan bantuan seorang rakannya.

"Jika saya pulang tiada apa yang menanti saya di Gaza (tiada pekerjaan), kehidupan keluarga saya tentunya lebih teruk," katanya kepada BH ketika ditemui di restorannya di Taman Melati Utama.

Zaher keluar dari Gaza untuk menyambung pengajian dan mencari kehidupan baru, kira-kira dua tahun selepas wilayah konflik itu diserang Israel dalam operasi ketenteraan pada penghujung 2008.

RAKYAT Palestin, Musa'ab Yunus, 25 (kiri) dan Hamid Abu Shahla, 25, di hadapan restoran mereka di Taman Melati, Kuala Lumpur. - Foto Zulfadhli Zulkifli
RAKYAT Palestin, Musa'ab Yunus, 25 (kiri) dan Hamid Abu Shahla, 25, di hadapan restoran mereka di Taman Melati, Kuala Lumpur. - Foto Zulfadhli Zulkifli

"Kehidupan amat sukar di Gaza," katanya menjelaskan ada dalam kalangan warga Palestin di Gaza sukar meneruskan kehidupan, hatta tidak mempunyai keupayaan untuk membeli sekeping roti.

Zaher berkata beliau terpaksa hidup berjauhan dengan keluarga untuk menampung kehidupan anak, isteri dan keluarga besarnya supaya mereka mendapat kehidupan lebih baik di wilayah konflik itu.

"Saya mengorbankan diri untuk mereka," katanya.

Zaher mengakui walaupun lebih lima tahun di Malaysia, ada pihak yang mengambil kesempatan ke atas individu sepertinya yang berniaga secara sah di Malaysia untuk mencari kelangsungan hidup.

"Kehidupan di sini lebih baik jika dibandingkan di Palestin," katanya menjelaskan kepungan berterusan ke atas Gaza sejak 2007 oleh Israel menafikan hak kemanusiaan warga Palestin yang tersepit.

Musaab Yunus, 25, dari Gaza, yang memasuki Malaysia sejak tahun lalu menyifatkan Malaysia sebagai rumah keduanya selepas beliau berkelana di beberapa negara Eropah, antaranya di Greece.

"Jika diberi pilihan saya mahu berada di sini untuk memulakan kehidupan baru," katanya yang turut mengusahakan restoran makanan Palestin di ibu negara bersama seorang rakan kongsi.

Zaher dan Musaab antara lebih 4,000 warga Palestin yang kini berada di Malaysia, negara yang mereka anggap "syurga" mencari rezeki dengan keamanan dan kestabilan yang dikecapinya.

IKUTI siri ketiga esok mengenai pelarian Palestin dari Syria yang kebanyakannya golongan profesional dan tenaga kerja mahir yang berdepan kesukaran mencari pekerjaan di Malaysia.

Berita Harian X