Khamis, 12 November 2015 | 12:29am
NASIB pelarian Palestin masih tidak menentu berikutan konflik di negara Asia Barat belum berakhir. - Foto NSTP
NASIB pelarian Palestin masih tidak menentu berikutan konflik di negara Asia Barat belum berakhir. - Foto NSTP
RAKYAT Palestin dari Syria mendapat perlindungan sementara di kem Yarmouk. - Foto NSTP
RAKYAT Palestin dari Syria mendapat perlindungan sementara di kem Yarmouk. - Foto NSTP
RUNTUHAN bangunan menuju ke Yalda di Kem Yarmouk. - Foto Syed Azwan Syed Ali
RUNTUHAN bangunan menuju ke Yalda di Kem Yarmouk. - Foto Syed Azwan Syed Ali

Nasib pelarian Palestin, Syria di bumi Malaysia


MEREKA lari menyelamatkan diri dari tanah air sendiri sambil mengharapkan sinar baru di negara asing.

Namun inilah nasib lebih 1,000 pelarian Palestin dari Syria kini berlindung di Malaysia dengan masa depan masih tidak menentu selepas persengketaan di negara Asia Barat itu.

Daripada jumlah itu, lebih 450 pelarian, termasuk dari Kem Pelarian Al-Yarmouk belum mendaftar dengan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR).

Keadaan ini menjadikan mereka pendatang asing tanpa izin kerana tinggal lebih masa walaupun memasuki Malaysia secara sah menggunakan dokumen perjalanan Syria yang hanya diiktiraf beberapa negara, termasuk Malaysia.

Mana-mana warga Palestin boleh memasuki Malaysia menggunakan visa ketibaan (VOA) yang sah laku bagi tempoh 30 hari dan boleh diperbaharui mengikut kes sebelum keluar dari Malaysia.

KANAK-KANAK pelarian mengikuti pembelajaran dalam kelas di kem pelarian di sempadan Lubnan-Syria. - Foto Syed Azwan Syed Ali
KANAK-KANAK pelarian mengikuti pembelajaran dalam kelas di kem pelarian di sempadan Lubnan-Syria. - Foto Syed Azwan Syed Ali

Sumber memberitahu, kebanyakan pelarian mencari perlindungan di negara ini untuk sementara waktu, malah ada dalam kalangan mereka menjadikan Malaysia sebagai transit ke negara ketiga.

"Pelarian Palestin (dari Syria) hanya mempunyai dokumen perjalanan terhad.

Kurang daripada lima negara mengiktiraf dokumen khas dikeluarkan Kerajaan Syria, termasuk Malaysia dan Lubnan.

"Mereka masuk Malaysia dengan harapan tinggi, mencari perlindungan dari perang di Syria yang merampas segala-galanya daripada mereka. Merampas kehidupan, harta benda dan ahli keluarga.

"Mereka datang ke sini kerana rakyat dan Kerajaan Malaysia menerima mereka," kata sumber itu kepada BH yang menjelaskan bahawa kebanyakan pelarian datang ke Malaysia sejak penghujung tahun 2011.

KEADAAN tidak terurus di kem pelarian di Damsyik, Syria. - Foto NSTP
KEADAAN tidak terurus di kem pelarian di Damsyik, Syria. - Foto NSTP

Konflik Syria yang bermula dengan penentangan sivil terhadap Presiden Bashar Al-Assad sejak Mac 2011 menyebabkan lebih 4.1 juta penduduknya bertukar menjadi pelarian dengan lebih 250,000 daripadanya terkorban.

Lebih setengah juta pelarian Palestin di Syria (pelarian sejak 1948) dengan majoritinya dari Kem Pelarian Al-Yarmouk turut terheret dalam konflik itu sehingga memaksa mereka keluar dari Syria.

Ratusan ribu pelarian menjadikan negara jiran Syria seperti Turki, Lubnan dan Jordan sebagai destinasi perlindungan dengan sebahagian menuju ke Eropah dan sebilangan kecil pula ke rantau ini.

Tinjauan BH mendapati seperti kebanyakan pelarian negara lain, pelarian Palestin dari Syria hidup dalam serba kekurangan, khususnya di Lembah Klang, kerana kekangan peluang untuk pekerjaan.

Kesemua pelarian itu terikat dengan undang-undang Imigresen Malaysia dan sekiranya tinggal melebihi masa mereka akan dianggap sebagai pendatang asing tanpa izin (PATI).

Malaysia tidak menandatangani Konvensyen Mengenai Status Pelarian 1951 dan Protokol Status Pelarian 1967, namun tidak menyekat kemasukan pelarian di atas dasar kemanusiaan.

MAHMUD, 31, berkelulusan diploma kejuruteraan berhasrat berlindung di Malaysia kerana negara lain mengenepikan mereka. - Foto Yazit Razali
MAHMUD, 31, berkelulusan diploma kejuruteraan berhasrat berlindung di Malaysia kerana negara lain mengenepikan mereka. - Foto Yazit Razali

Tidak boleh kembali ke Syria

"Saya tidak boleh kembali ke Syria kerana keadaan makin teruk, tapi lebih parah di sini apabila saya menjadi tidak sah (pendatang asing)," demikian rintihan seorang pelarian Palestin dari Damsyik, Syria.

Mahmud, 31, berkelulusan diploma kejuruteraan berkata, hasratnya berlindung di Malaysia kerana negara ini satu-satunya negara yang membuka pintunya kepada warga Palestin ketika negara lain mengenepikan mereka.

Mahmud meninggalkan ibu, ayah dan empat adik beradiknya berkata, beliau menaruh harapan tinggi untuk kembali ke pangkuan keluarga dengan penuh maruah, namun kehidupannya kini semakin rumit dari hari ke hari.

"Malaysia bukan negara pertama pilihan saya, malah selepas keluar ke Lubnan dari Syria, saya berhasrat ke negara teluk seperti Dubai untuk memulakan kehidupan baharu selepas peperangan mencengkam Syria.

"(Ketika itu) ia amat sukar untuk ke negara teluk, malah mereka menyekat kami (warga Palestin dari Syria) memasuki negara mereka. Di Lubnan, saya cuba memasuki negara Eropah namun semua permohonan ditolak.

PASPORT pelarian Syria. - Foto Yazit Razali
PASPORT pelarian Syria. - Foto Yazit Razali

"Semua permohonan saya ditolak kecuali Malaysia, kerana itu saya datang ke Malaysia," katanya yang tiba di Malaysia pada November 2012 menggunakan dokumen perjalanan terhad dikeluarkan pihak berkuasa di Syria.

Mahmud mengakui rasa kagumnya pada Malaysia yang disifatkan sebuah negara Islam membangun ketika pertama kali menjejakkan kaki di sini sambil menyimpan hasrat memulakan kehidupan baru.

"Kemudian segala-galanya berubah," katanya mengakui kehidupan sebagai pelarian menyukarkannya untuk mendapat kerja walaupun mempunyai kelulusan.

Malah, Mahmud terpaksa hidup menganggur selama lebih setahun.

Selama tempoh itu, Mahmud yang bertutur dalam bahasa Arab memberitahu beliau hanya menumpang simpati warga Palestin yang sedia ada di Malaysia selain rakyat tempatan yang menolongnya dari semasa ke semasa.

KEADAAN pelarian di Yarmouk, Syria. -Foto NSTP
KEADAAN pelarian di Yarmouk, Syria. -Foto NSTP

Mahmud berkata, situasi semakin teruk apabila beliau berada di Malaysia melebihi masa dibenarkan sebelum dinasihatkan supaya memohon status pelarian dari Pejabat Suruhanjaya Tinggi PBB Mengenai Pelarian (UNHCR).

"Apabila kamu duduk secara tak sah, kamu tak ada peluang. Kamu tiada kerja, tak boleh buka akaun bank, tak boleh kahwin. Apabila masa berlalu, keadaan semakin parah apabila kamu menjadi pendatang haram," katanya.

Mahmud yang berasal dari Kem Pelarian Al-Yarmouk, Damsyik, Syria, adalah antara lebih 1,000 pelarian Palestin dari Syria yang kini mencari perlindungan di Malaysia selepas konflik perang saudara meletus di Syria pada Mac 2011.

Setakat September 2015, rekod UNHCR menunjukkan 550 pelarian Palestin berdaftar di Malaysia. Jumlah itu termasuk pelarian Palestin dari Iraq yang memasuki Malaysia selepas tentera bersekutu menyerang Iraq pada 2003.

"Saya tiada lagi apa-apa harapan kecuali memikirkan cara untuk meneruskan hidup ketika ini," demikian kata Mahmud ketika ditanya perancangannya selepas beliau masih gagal menerima status pelarian dari UNHCR.

Mahmud mendakwa sudah menunggu lebih setahun untuk mendapatkan temu duga dengan UNHCR bagi proses permohonan sebagai pelarian namun masih belum menunjukkan tanda positif.

IKUTI siri kedua esok susah senang Abu Hamza, pelarian Homs, Syria yang keluarkan wang simpanan untuk membawa isteri dan lima anaknya memulakan hidup baharu di Malaysia.

Berita Harian X