Sabtu, 7 November 2015 | 12:06am
HETTY ketika ditemubual wartawan pada sidang media konsert Satu Suara Volum 2. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
HETTY ketika ditemubual wartawan pada sidang media konsert Satu Suara Volum 2. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Keroncong bukan muzik orang tua - Hetty Koes Endang



SEJAK beberapa tahun kebelakangan ini, Hetty Koes Endang sudah memperlahankan rentak nyanyiannya selepas 45 tahun memperhambakan diri sebagai anak seni. Beliau tidak ralat dengan keputusan itu kerana baginya beliau sudah mengecapi kemasyhuran dan memperoleh banyak kejayaan demi kejayaan.

Namun, penyanyi kelahiran Bandung, Indonesia ini masih meneruskan perjuangan memartabatkan irama keroncong yang begitu sinonim dengan dirinya. Bagi Hetty, irama asli itu harus diwarisi generasi muda baik di Indonesia atau pun Malaysia kerana keroncong bukan muzik untuk orang tua.

PULUHAN tahun memperhambakan diri sebagai anak seni, Hetty tetap kekal merendah diri. - Foto Nurul Syazana Rose Razman.
PULUHAN tahun memperhambakan diri sebagai anak seni, Hetty tetap kekal merendah diri. - Foto Nurul Syazana Rose Razman.

"Kalau ditanya genre lagu apa yang saya minati, saya sukakan semua rentak lagu. Keroncong antara yang saya gemari. Menyanyi lagu keroncong ini juga bukan asal boleh kerana ia memerlukan teknik. Keroncong pun ada pelbagai jenis lapisan antaranya seperti keroncong asli dan pop keroncong. Lagu Kasih ialah jenis lagu pop keroncong.

"Saya sebenarnya mahu memberikan semangat kepada anak muda supaya menghargai muzik tradisi. Saya tak suka kalau orang skeptikal terhadap irama keroncong sebagai muzik untuk orang tua. Saya mahu hapuskan bayangan itu. Sebut lagu keroncong atau irama asli lain, ramai anak muda tak berminat dan kata mereka sudah ketinggalan. Itu yang silap.

"Lagu genre lama seperti keroncong itu harus terus diwarisi. Ia kepunyaan dan kebanggaan orang Melayu...tak kira di Indonesia atau Malaysia kerana kita serumpun.

"Cuma untuk menjadikan lagu irama tradisi termasuk keroncong ini diminati, kita kena nyanyikan jangan sampai susah nak dibawakan. Faham-fahamlah anak muda ini gemar mendengar muzik yang 'easy listening'," katanya ketika ditemui pada sidang media sempena Konsert Satu Suara Volum 2 bersama Datuk Siti Nurhaliza dan Datuk Ramli Sarip di ibu kota.

HETTY amalkan pengambilan jamu sejak muda hingga sekarang dan elakkan minuman berais serta masakan bergoreng bagi menjaga kecantikan dan suara. - Foto Nurul Syazana Rose Razman.
HETTY amalkan pengambilan jamu sejak muda hingga sekarang dan elakkan minuman berais serta masakan bergoreng bagi menjaga kecantikan dan suara. - Foto Nurul Syazana Rose Razman.

Pertemuan dengannya juga tak dilepaskan untuk ditanya mengenai petua kecantikan dan menjaga suara. Ternyata biar sudah di usia larut, Hetty masih mempunyai vokal yang mantap.

"Berat badan saya sudah naik tiga kilogram sebenarnya. Pening ini nak pakai baju menjelang konsert bersama Siti dan Ramli Sarip. Berat susah turun," selorohnya.

Kata Hetty, beliau tidak mempunyai rutin khusus untuk menjaga kesihatan dan kecantikan.

"Cuma sebagai seorang suri rumah, saya menjalankan tanggungjawab mengejutkan anak untuk bangun solat Subuh. Saya juga siapkan makanan untuk suami dan anak. Itu saya anggap sebagai senaman harian. Malahan bilik tidur saya juga di tingkat dua jadi saya biasakan guna tangga untuk turun naik. Rumah saya tiada lif.

"Sesekali saya curi masa berjogging atau berenang sahaja di rumah. Kalau bab suara, saya saat ini memang tak ada pantang larang. Iyalah sejak tidak aktif mahupun terbabit dalam pertandingan. Kalau dahulu ya, saya elak minum minuman berais dan masakan bergoreng. Pendek kata kena eat clean. Seiring dengan pertambahan usia juga, suara saya sekarang dan dahulu pasti ada bezanya.

"Kalau dahulu menyanyi nada tinggi itu bukan satu masalah besar. Kalau sekarang, saya akan turunkan satu key lagu. Dahulu saya sempat juga belajar vokal soprano. Paling penting dalam menyanyi ini kita kena tahu teknik pernafasan. Kalau penjagaan muka pula, memang ramai yang bertanya. Paling penting di usia sebegini, saya kena selalu positif, banyak ketawa dan gembira selalu. Saya juga amalkan jamu sejak muda lagi hingga sekarang. Jamu memang pahit tapi khasiatnya baik," katanya.

HETTY bersama pengurus yang juga anak sulungnya, Amir Saatari ketika sidang media konsert Satu Suara Volum 2. - Foto Nurul Syazana Rose Razman.
HETTY bersama pengurus yang juga anak sulungnya, Amir Saatari ketika sidang media konsert Satu Suara Volum 2. - Foto Nurul Syazana Rose Razman.

Hetty memberitahu selain anak sulungnya Amir Saatari, 22, menjadi pengurus kerjayanya, anak perempuan Afifah, 19, juga mengisi waktu senggang dengan menjadi juru solek peribadi kepadanya. Malah kedua-dua mereka itu juga minat menyanyi dan mengikuti jejak Hetty.

"Cuma dalam hal ini, saya mahu mereka utamakan pelajaran dahulu. Saya sendiri dibesarkan oleh ibu yang tegas dan sangat disiplin. Amir akan melanjutkan pelajar di luar negara dalam bidang pengurusan strategi beberapa tahun lagi.

"Afifah sebenarnya tidak belajar mekap secara formal dan sekadar belajar sendiri. Jadi sesekali dapat juga dia menata rias saya," katanya yang menyambut ulang tahun perkahwinan ke 25 pada Julai lalu.

Mengenai perkembangan terkininya di Indonesia, Hetty ketika ini menjadi juri pertandingan pencarian bakat program Everybody Superstar sejak Ogos lalu.

"Biar sudah tidak lagi seaktif dahulu, saya bersyukur dan masih dihargai kerana suara dan bakat artis lama seperti saya masih diperlukan. Contohnya diundang menjadi juri. Bererti kelangsungan bakat yang ada itu terus dikongsi termasuk pengalaman saya bergelar anak seni.

"Dalam hal menjadi mentor ini saya lebih suka membimbing mereka dan bukannya mengajar atau menjadi guru. Saya juga sudah lama mengajar vokal kepada mereka yang berminat menerusi kelas persendirian," katanya.

HETTY (kanan) yang sinonim dengan lagu keroncong bersyukur kerana dididik menjadi penyanyi yang benar, serius dan bagus. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
HETTY (kanan) yang sinonim dengan lagu keroncong bersyukur kerana dididik menjadi penyanyi yang benar, serius dan bagus. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Di akhir bicara, Hetty sempat menitipkan pesan buat artis muda.

"Buat anak seni di luar sana, jangan cepat puas dengan apa yang diperoleh. Menurut saya, kalau baru setahun atau kurang daripada 10 tahun itu mereka tidak layak dipanggil artis. Jika sudah melepasi sedekad lainlah. Tempoh 10 tahun itu dilihat satu proses mematangkan dan bergelut. Seni itu diukur pada karyanya dan bukan pada baju dan aksesori.

"Itu hanya imej. Yang penting sebagai pelakon atau penyanyi, kita menjual suara dan bakat. Tapi itu tidak bererti saya anti kepada mereka yang sebegitu. Itu pilihan masing-masing. Sesuai atau tidak, ia yang ditentukan anda. Saya sendiri dididik menjadi penyanyi yang benar, serius dan bagus," katanya.

Berita Harian X