Ahad, 29 November 2015 | 12:05am
PENGGUNAAN Peranti Penyisih Penyu (TED) berupaya menyelamatkan penyu apabila terperangkap dalam pukat tunda. - Foto Poliana Ronnie Sidom
PENGGUNAAN Peranti Penyisih Penyu (TED) berupaya menyelamatkan penyu apabila terperangkap dalam pukat tunda. - Foto Poliana Ronnie Sidom

Peranti penyelamat penyu


KIRA-KIRA 2,000 hingga 3,000 penyu mati dalam penangkapan tidak sengaja oleh pukat tunda di Sabah dalam setahun.

Angka itu direkodkan susulan kajian oleh Dana Penyelidikan Marin (MRF) baru-baru ini, sekali gus menunjukkan kadar kematian penyu agak tinggi.

Pelbagai ancaman seperti pencemaran laut, kematian akibat terperangkap dalam peralatan perikanan, pemburuan untuk tujuan komersil, eksploitasi telur penyu, kerosakan habitat pendaratan dan pembangunan di kawasan pantai menyebabkan populasi penyu berkurangan berbanding 20 atau 30 tahun lalu.

Antara ancaman menunjukkan kadar kematian penyu yang tinggi adalah kegiatan manusia menerusi aktiviti perikanan dan penangkapan tidak sengaja dengan setiap tahun dianggarkan ribuan penyu dewasa dan remaja ditangkap secara tidak sengaja di seluruh dunia.

Anggaran itu menunjukkan 150,000 penyu cedera dan mati dalam pukat tunda, 200,000 penyu tempayan dan 50,000 penyu belimbing tertangkap, tercedera atau dibunuh pukat rawai selain mati akibat lemas oleh pukat hanyut.

KERJA-kerja menyiapkan jaring untuk melindungi penyu daripada pelbagai ancaman. - Foto Poliana Ronnie Sidom
KERJA-kerja menyiapkan jaring untuk melindungi penyu daripada pelbagai ancaman. - Foto Poliana Ronnie Sidom

Bagi mengatasi masalah itu, Jabatan Perikanan dan MRF memperkenalkan penggunaan Peranti Penyisih Penyu (TED) yang berupaya menyelamatkan penyu apabila terperangkap dalam pukat tunda, sekali gus mengurangkan kematian spesies berkenaan.

Timbalan Pengarah Jabatan Perikanan Sabah, Dr Ahemad Sade, berkata kajian dan promosi TED ke atas nelayan pukat tunda bukan baharu iaitu bermula pada tahun 1984 oleh Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) Batu Maung yang menjalankan penyelidikan ke atas nelayan pukat tunda di Pantai Remis, Perak.

Di Sabah, katanya, kajian dilakukan pada tahun 2007 dan 2008 oleh MRF Kota Kinabalu menerusi program kesedaran dengan projek dilancarkan di daerah ini yang mana beribu-ribu penyu bertelur setiap tahun, manakala jumlah nelayan pukat tunda lebih 1,500.

Namun, penggunaan TED hanya mula disambut baik nelayan bermula tahun 2011 di Kemaman, Terengganu selepas kajian awal TED ke atas pukat nelayan pada musim tengkujuh memberi maklum balas positif.

"Penubuhan pasukan petugas penggunaan TED Jabatan Perikanan Malaysia pada September tahun lalu menunjukkan kita serius untuk menggalakkan nelayan menggunakan peranti atau kaedah menangkap ikan mesra alam yang boleh mengurangkan ancaman kepada spesies marin terancam," katanya.

ANTARA jaring yang sudah siap untuk melindungi penyu. - Foto Poliana Ronnie Sidom
ANTARA jaring yang sudah siap untuk melindungi penyu. - Foto Poliana Ronnie Sidom

TED adalah peranti diperbuat daripada aluminium atau gelvani yang diletakkan di bahagian depan keroncong pukat tunda. - Foto Poliana Ronnie Sidom
TED adalah peranti diperbuat daripada aluminium atau gelvani yang diletakkan di bahagian depan keroncong pukat tunda. - Foto Poliana Ronnie Sidom

TED adalah peranti diperbuat daripada aluminium atau gelvani yang diletakkan di bahagian depan keroncong pukat tunda bagi membolehkan tangkapan seperti udang dan ikan melepasi ke hujung pukat, manakala sampah dan hidupan marin lebih besar keluar daripada pukat menerusi sistem penutupnya.

Kos bagi sebuah TED dianggarkan antara RM500 hingga RM600.

TED asalnya dicipta pada tahun 1970-an oleh nelayan dari Amerika Syarikat, Sinkey Boone untuk menghalang obor-obor masuk ke pukat yang kemudian diubah suai oleh National Marine Fisheries Service (NMFS) untuk melindung penyu.

Dr Ahemad berkata, kajian ke atas TED turut mendapati penggunaan peranti itu tidak menjejaskan hasil tangkapan ikan dan udang, sebaliknya dianggarkan berlaku peningkatan antara tiga hingga lima peratus.

"Ia juga mengurangkan tangkapan ikan baja dan penggunaan bahan api iaitu diesel setiap kali tundaan kerana tiada sampah dan objek besar memasuki pukat yang boleh memberi bebanan kepada bot," katanya.

Pengusaha bot pukat tunda, Yusran Yusop, 28, dari Kampung Batu Putih, berkata sejak menjadi nelayan 15 tahun lalu, hanya dua atau tiga kali penyu terperangkap dalam pukat dengan satu daripadanya mati ketika ditemui dipercayai akibat obor-obor.

BOT antara pengangkutan yang digunakan untuk kerja-kerja menyelamatkan serta melindungi penyu. - Foto Poliana Ronnie Sidom
BOT antara pengangkutan yang digunakan untuk kerja-kerja menyelamatkan serta melindungi penyu. - Foto Poliana Ronnie Sidom

"Kami hanya sedar apabila pukat ditarik selepas tiga jam berada dalam air. Biasanya kalau jumpa penyu, kami cepat-cepatkan lepaskan ke laut. Kami tangkap ikan di kawasan perairan Tabangka dan di situ, ada kira-kira 50 pukat tunda pada satu masa.

"Apa yang merugikan kami apabila pukat dimasuki kayu besar atau sampah terutama tayar yang boleh menyebabkannya koyak," katanya.

Muslim Moksin, 44, dari Pulau Tanjung Aru yang berkecimpung dalam bidang itu sejak 29 tahun lalu berkata, nelayan pernah menemui penyu yang mati disebabkan terhimpit dengan sampah dalam pukat.

"Masalah bukan saja daripada pukat nelayan, tapi sikap masyarakat terutama penempatan atas air yang buang sampah sesuka hati ke laut menyebabkan dipenuhi sampah selain sisa buangan kilang," katanya.

Berita Harian X