Sabtu, 28 November 2015 | 12:08am

Gumpalan salur darah dalam otak

SAKIT kepala teruk, mual, muntah dan kejang pada bahagian leher mungkin disangka pada asalnya disebabkan oleh gejala migrain atau gastrik.

Pesakit lazimnya tidak mengambil berat mengenai gejala berkenaan dan tidak mendapatkan rawatan segera.

Namun, tidak ramai mengetahui mengenai penyakit Arteriovenous Malformation (AVM).

Serangan AVM ini mempunyai gejala seperti dinyatakan di atas dan boleh menyerang semua lapisan usia.

AVM disebabkan pembentukan tidak normal ketika bayi di dalam kandungan atau masalah kongenital.

Serangan itu tidak dapat dibuktikan ada hubung kait dengan keturunan dan tidak juga disebabkan oleh masalah persekitaran. Masalah itu juga tidak mempunyai kaitan dengan ketumbuhan atau kanser.

AVM disebabkan pembentukan tidak normal ketika bayi di dalam kandungan atau masalah kongenital.
AVM disebabkan pembentukan tidak normal ketika bayi di dalam kandungan atau masalah kongenital.

Jejas sistem badan

Pembentukan AVM ini berlaku pada sistem saraf manusia, namun kesan gumpalan itu boleh terbentuk dalam semua bahagian badan.

Menurut Pakar Kesihatan Awam Hospital Columbia, Dr Hanafiah Bashirun, AVM berpunca adalah pengumpulan saluran darah secara tidak normal di otak. Keadaan ini disusuli dengan pendarahan dalam otak atau serangan sawan.

Kebiasaannya rawatan untuk AVM kata beliau, sangat kompleks dan boleh membabitkan pelbagai kaedah. Diagnosis terhadap AVM boleh dilakukan dengan menjalankan prosedur angiogram dan imbasan MRI.

Meskipun AVM mempunyai gejala tertentu, namun katanya hampir 90 peratus mereka yang ada masalah pembentukan AVM tidak mempunyai sebarang gejala.

"Kebanyakan pesakit hanya mengetahui mereka mengalami masalah ini secara kebetulan apabila pemeriksaan ujian radiologi seperti CT scan dan MRI dilakukan atas sebab lain.

"Ini kerana simptom AVM bergantung kepada lokasi pembentukan itu terjadi. Oleh kerana selalu berhubung kait dengan saraf, keadaan ini boleh menyebabkan otot menjadi lemah dan lumpuh," katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Kesan pendarahan pada otak

Mengulas lanjut kesan serangan, Dr Hanafiah berkata, pesakit akan mengalami rasa kebas pada kawasan badan tertentu, pening, loya, gagal bertutur, hilang daya ingatan atau nyanyuk, keliru dan halusinasi.

Jika serangan ini berlaku di dalam otak manusia, beliau berkata, dianggarkan 45 peratus daripada kes berkenaan boleh menyebabkan pendarahan akibat pembentukan salur darah tidak normal.

Pendarahan itu, katanya, menyebabkan pesakit berasa sakit kepala yang teruk.

Selain itu, katanya, pesakit boleh mendapat sawan, sakit kepala berulang-ulang dan lemah anggota badan secara perlahan-lahan. Keadaan ini disebabkan kesan bengkak tidak normal atau malformasi salur darah yang berlaku di dalam otak.

"Jika dibiarkan tanpa rawatan pendarahan dalam otak yang berulang boleh mengancam nyawa. Pilihan rawatan bagi AVM termasuk pembedahan atau terapi radiasi," katanya.

Rawatan pembedahan, terapi radiasi

Katanya, embolisasi iaitu pemotongan peredaran darah ke AVM boleh digunakan sebagai tambahan kepada kaedah rawatan AVM.

Dalam kes tertentu, beliau berkata, pesakit akan memerlukan kombinasi kaedah pembedahan, terapi radiasi atau embolisasi.

"Bagi mengesahkan masalah AVM pula, ujian Computed Tomography atau CT scan boleh dijalankan. Ujian imbasan seperti Magnetic Resonanse Imaging atau MRI atau Magnetic Resonance Angiogram, membantu mengenal pasti lokasi dan saiz malformasi.

"Dalam kebanyakan kes, tidak ada rawatan khas untuknya. Ini bergantung kepada gejala, lokasi dan saiz malformasi. Rawatan berkala oleh pakar saraf penting untuk mengetahui perkembangan saiz AVM," katanya.

Kesan kemerahan bawah kulit

Tambahnya lagi, satu lagi kategori gangguan pembentukan salur darah adalah cavernous haemangioma atau gelembung pada pembuluh darah.

Antara contoh klasik cavernous haemangioma adalah keadaan bawah kulit kelihatan kebiru-biruan yang boleh dilihat pada permukaan kulit.

Keadaan kemerahan-merahan yang serata di bawah kulit dikenali sebagai capillary hemangioma. Seperti juga AVM, 'cavernous hemangiomas' boleh terjadi di mana-mana bahagian badan.

Bagaimanapun, sekiranya ia berlaku kepada kanakkanak, ini mungkin merunsingkan ibu bapa kerana boleh menjejaskan muka atau kepala bayi.

Carvernous hemangiomas yang besar saiznya mungkin menyebabkan ketidakseimbangan pada wajah. Bila saiznya terlalu besar keadaan itu sukar dirawat.

INFO
AVM

  • Gumpalan saluran darah yang tidak normal dan tidak mempunyai kapilari di antara arteri dan vena.
  • Ini menyebabkan pertukaran tekanan yang tidak terurus secara berkala di antara arteri dan vena.
  • Tekanan yang tinggi daripada arteri menyebabkan pengembangan salur vena yang tidak terkawal dan tidak normal.
  • Pengembangan ini, jika tidak dibendung, akan menipis dan akhirnya pecah disebabkan tekanan darah yang tinggi.
  • Faktor usia adalah antara sebab risiko AVM kerana semakin berusia, urat semakin menipis disebabkan aliran darah yang semakin banyak. Ini mengakibatkan urat berkenaan bergumpal. Secara tidak langsung boleh mengganggu proses peredaran darah yang normal.
  • Apabila salur darah pecah, keadaan ini menyebabkan pendarahan dalam otak.
  • Penyakit ini boleh berlaku kepada sesiapa dan kebiasaannya dalam kalangan mereka berusia 10 hingga 55 tahun.
  • Tidak ramai menyedari mereka penghidap penyakit AVM kerana menganggap sakit kepala atau pening yang dialami dikaitkan dengan migrain. Tanda penghidap AVM seperti sakit kepala di bahagian kiri atau kanan. Mereka perlu mendapatkan rawatan imbasan CT scan atau MRI.
  • Penyakit AVM dikategorikan sebagai pembunuh senyap kerana serangan terdiri daripada penyakit kronik.

SUKAR untuk mengesan simptom penyakit AVM.
SUKAR untuk mengesan simptom penyakit AVM.

Gejala AVM terhadap kanak-kanak dan orang dewasa

Gejala fizikal

  • Titisan darah keluar daripada gusi.
  • Bunyi aliran darah daripada arteri dan vein begitu bising.
  • Bengkak lembut atau bengkak yang menimbulkan kecacatan.
  • Rasa panas pada bengkak.

Gejala mental

  • Sakit kepala
  • Mual dan loya
  • Masalah pertuturan
  • Hilang daya ingatan
  • Keliru dan halusinasi

Faktor risiko AVM

  • Tekanan
  • Semakin berusia, semakin tinggi risiko menghidap AVM
  • Kekerapan melakukan aktiviti fizikal
  • Pernah berlaku kecederaan di bahagian kepala

Gejala masalah pembuluh darah (carvernoush mangiomas)

  • Perubahan pada kulit yang berwarna biru atau ungu merah.
  • Bengkak yang lembut.

Jenis gangguan pembentukan saluran darah

  • Saluran tidak normal iaitu arteri dan pembuluh darah (vein) bersambung Arteriovenous Malformation atau AVM.
  • Gelembung pada pembuluh darah (cavernous haemangioma).

Rawatan

Pembentukan salur darah yang tidak mendatangkan kesakitan tidak bahaya dan tidak perlu dirawat. Tetapi, ada juga pesakit melakukan rawatan dengan menjalani embolisasi dan pembedahan. Ini disebabkan gangguan pembentukan saluran darah mengganggu penampilan.

Berita Harian X