Sabtu, 28 November 2015 | 12:07am

Keenakan keli bakar

MASAKAN ikan keli bakar dari restoran De Cuisine Hotel Seri Pacific, Jalan Putra. - Foto Nik Hariff Hassan
MASAKAN ikan keli bakar dari restoran De Cuisine Hotel Seri Pacific, Jalan Putra. - Foto Nik Hariff Hassan

KELI atau nama saintifiknya clarias gariepinus, sejenis ikan air tawar banyak terdapat di benua Afrika dan Asia.

Di negara kita, ia dipanggil keli, di Indonesia dikenali lele, di Afrika (mali), Thailand (Plamond), Jepun (namazu) dan Sri Lanka (gura magura).

Ikan air tawar ini mempunyai pelbagai jenis, termasuk keli kayu, bunga, eksotik, limbat, mata kati, Russia, Afrika, jeram dan hutan.

Sesetengah masyarakat tidak suka ikan ini kerana habitatnya yang kotor.

Ikan keli ini perlu dibersihkan dengan cara betul, antaranya bagi menghilangkan rasa lumpur.

Seelok-eloknya, buang semua isi dalam badan ikan dan keluarkan darah bekunya bagi mengelakkan bau hanyir yang kuat.

Kemudian, lumur ikan itu dengan asam jawa, garam dan limau nipis bagi menghilangkan lendir dan bau. Lakukan sebanyak tiga kali, bagi memastikan ia benar-benar bersih.

Isinya lembut. Ia mengandungi Omega-3 pada kadar 0.51 gram (gm) bagi setiap 100 gm, kadar lemak sembilan peratus hingga 12 peratus tertinggi berbanding ikan lain.

Ia juga mengandungi asid docosahexaenoic (DHA) yang baik untuk tumbesaran otak kanak-kanak.

Ikan ini amat enak, walaupun disediakan secara ringkas seperti bakar atau panggang semata-mata dan dimakan bersama air asam.

Dipaparkan resipi dan cara menyediakan ikan keli bakar serta air asam, sumbangan Chef De Cuisine Hotel Seri Pacific, Chef Saad Othman. Selamat mencuba.

Ikan keli bakar

ANTARA bahan utama bersama ikan keli sebelum dibakar. - Foto Nik Hariff Hassan
ANTARA bahan utama bersama ikan keli sebelum dibakar. - Foto Nik Hariff Hassan

Bahan:

  • 2 ekor ikan keli (200-350 g)
  • 50 g minyak masak
  • 5 g serbuk kunyit
  • Garam secukup rasa
  • Cara penyediaan:

    1. Bersihkan ikan dengan membuang perutnya. Basuh dan gaul ikan dengan garam dan kunyit sehingga rata.

    2. Balut ikan dengan daun pisang dan bakar sehingga ikan masak, di atas kuali.

    3. Hidangkan ikan bersama air asam.

    Air asam

    SEBAHAGIAN ramuan utama untuk dijadikan air asam. - Foto Nik Hariff Hassan
    SEBAHAGIAN ramuan utama untuk dijadikan air asam. - Foto Nik Hariff Hassan

    Bahan:

    • 250 g air asam jawa
    • 20 g cili merah
    • 20 g cili hijau
    • 10 g cili padi
    • 50 g tomato
    • 30 g bawang merah
    • Garam dan gula secukup rasa

    Cara penyediaan:

    1. Masukkan semua bahan ke dalam mangkuk dan gaul sehingga rata.

    INFO

    Ciri keli

    • Kepala berbentuk 'U'.
    • Bentuk badan tirus.
    • Berwarna hitam kelabu dan tidak berkilat
    • Bahagian bawah badan berwarna putih kelabu.
    • Tiada warna kuning kelihatan di bahagian antara bawah kepala dan badan.
    • Tidak meletup apabila digoreng.
    • Tempoh matang dalam masa tiga bulan.
Berita Harian X