Jumaat, 27 November 2015 | 12:07am
SEBAHAGIAN pekerja warga asing yang ditahan dalam Operasi Ikrar oleh anggota penguatkuasa Jabatan Imigresen Kelantan di tapak pembinaan. - Foto Nik Abdullah Nik Omar
SEBAHAGIAN pekerja warga asing yang ditahan dalam Operasi Ikrar oleh anggota penguatkuasa Jabatan Imigresen Kelantan di tapak pembinaan. - Foto Nik Abdullah Nik Omar
ORANG ramai dan NGO diminta melaporkan sebarang maklumat berhubung sindiket pas pekerjaan bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut. - Foto Muhammad Sulaiman
ORANG ramai dan NGO diminta melaporkan sebarang maklumat berhubung sindiket pas pekerjaan bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut. - Foto Muhammad Sulaiman

Prosedur urus kemasukan pekerja asing perlu dipinda


MALAYSIA bakal berhadapan dengan lambakan pekerja asing jika garis panduan atau prosedur operasi standard (SOP) bagi semua agensi yang menguruskan kemasukan mereka tidak diwujudkan.

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim, berkata setakat ini tiada satu garis panduan jelas ditetapkan bagi pengurusan kemasukan pekerja asing dalam pelbagai sektor pekerjaan sehingga menimbulkan beberapa masalah, termasuk menjejaskan peluang pekerjaan rakyat tempatan.

Beliau yang juga Presiden Majlis Belia Selangor berkata, kemasukan pekerja asing bagi sektor perkilangan atau binaan misalnya perlu mengambil kira keperluan tenaga kerja dalam sektor itu bagi mengelakkan berlaku penyelewengan kemasukan pekerja asing sehingga mengurangkan peluang pekerjaan kepada golongan muda.

"SOP yang dicadangkan juga tidak harus meminggirkan hak dan peluang rakyat tempatan untuk bekerja dalam sektor berkenaan.

"Contohnya, majikan hanya dibenarkan memohon tenaga kerja asing selepas tawaran dibuka kepada penduduk tempatan dan tidak mendapat sambutan.

"Tanpa garis panduan yang betul, akan wujud lambakan pekerja asing dalam sektor tertentu seperti pusat urut, restoran dan pengawal keselamatan," katanya kepada BH.

AHLI Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
AHLI Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

BH Bongkar Selasa lalu mendedahkan lebih 20,000 warga Bangladesh yang tidak memenuhi syarat kemasukan dipercayai dibawa masuk sejak dua tahun lalu, menggunakan EP bagi ekspatriat dengan butiran palsu.

Kemasukan mereka diuruskan sindiket yang dikatakan mengenakan bayaran mencecah RM6,000 untuk setiap seorang.

Irmohizam berkata, undang-undang khusus juga perlu bagi mengawal dan membanteras salah guna kuasa dalam urusan kemasukan warga asing ke negara ini.

"Kami ada terima aduan mengatakan adalah lebih sukar bagi majikan jika mahu mengemukakan permohonan mengikut cara yang betul. Contohnya, jika mereka minta 10 pekerja asing, hanya tiga orang yang lulus. Bagaimanapun, jika ia dilakukan menerusi ejen, semua tenaga kerja yang dimohon boleh lulus.

"Cadangan garis panduan khusus dan sistem semakan permohonan secara atas talian juga perlu bagi menentukan supaya syarikat sama tidak memohon tenaga asing berulang dalam satu tempoh yang ditetapkan," katanya.

ANTARA warga asing dari Bangladesh dan Nepal yang berkerja di sebuah pusat cuci kereta di sekitar Kuala Terengganu. - Foto Mohd Syafiq Ambak
ANTARA warga asing dari Bangladesh dan Nepal yang berkerja di sebuah pusat cuci kereta di sekitar Kuala Terengganu. - Foto Mohd Syafiq Ambak

Sementara itu, Presiden Pertubuhan IKHLAS, Ridzuan Mohd Abdullah ketika dihubungi BH memaklumkan pihaknya akan membuat laporan mengenai kewujudan sindiket berkenaan kepada pihak berkuasa pada minggu depan bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Shukri Abdull meminta orang ramai dan persatuan bukan kerajaan (NGO) melaporkan sebarang maklumat berhubung sindiket pas pekerjaan bagi membolehkan pihaknya menjalankan siasatan lanjut.

"Isu ini ada dimaklumkan kepada pihak SPRM dan kami harap masyarakat memberi kerjasama bagi membantu agensi membanteras penyelewengan dalam urusan kemasukan warga asing," katanya.

Berita Harian X