X
Isnin, 19 Oktober 2015 | 12:06am
ANTARA rutin harian penghuni di Rumah Pengasih. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
ANTARA rutin harian penghuni di Rumah Pengasih. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
PENGHUNI mendapat makanan secukupnya semasa berada di Rumah Pengasih. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
PENGHUNI mendapat makanan secukupnya semasa berada di Rumah Pengasih. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Penagih cecah 3 juta menjelang 2020


NEGARA dikhuatiri akan mempunyai dua juta hingga tiga juta penagih menjelang tahun 2020 jika punca penyalahgunaan dadah terus dibiarkan dan tidak ditangani secara serius.

Presiden Pengasih, Datuk Mohd Yunus Pathi, berkata jumlah penagih bagi tempoh lima tahun akan datang itu dikira berdasarkan rekod semasa Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), yang mencatatkan hampir 400,000 penagih dan ditambah empat kali ganda daripada jumlah sebenar, mengikut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Katanya, secara logiknya penagih akan menghisap dadah secara berkumpulan dan ini bermakna jumlah sebenar penagih di negara ini ketika ini melebihi satu juta orang berdasarkan pengiraan oleh WHO.

Berdasarkan pengalaman Pengasih menguruskan 7,000 penghuni sejak 25 tahun lalu, katanya, masalah yang berlaku di rumah dikesan sebagai penyebab individu itu menagih dadah.

"Sebagai ibu bapa, adakah kita sepanjang hari berada di rumah? Adakah kita memberi perhatian secukupnya? Jangan kita ingat bagi makan, pakaian dan tempat tinggal itu sudah mencukupi.

PRESIDEN Pengasih, Datuk Mohd Yunus Pathi. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
PRESIDEN Pengasih, Datuk Mohd Yunus Pathi. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

KEPERLUAN emosi dan psikologi anak perlu dipenuhi. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
KEPERLUAN emosi dan psikologi anak perlu dipenuhi. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

"Jangan biarkan anak-anak terabai. Jangan cetuskan suasana tidak selesa. Keperluan emosi dan psikologi anak perlu dipenuhi," katanya sambil mengingatkan ibu bapa jangan terlalu selesa kerana ancaman dadah boleh berlaku pada bila-bila masa.

Mohd Yunus berkata, keadaan ekonomi semasa juga membimbangkan kerana ia berpotensi menyebabkan ramai penagih baharu muncul jika institusi keluarga gagal mengawalnya.

"Kita bimbang dalam keadaan kegawatan ekonomi global, ada yang diberhentikan kerja, berlakunya perceraian kemudian melepaskan masalah dan tekanan mereka di rumah," katanya.

Mengulas faktor lain yang menjadi penyebab masalah penagihan dadah terus berlaku, beliau berkata, 70 peratus jumlah penagih yang ada disebabkan kes penagih berulang.

PENGHUNI di Rumah Pengasih lengkap berpakaian baju Melayu pada setiap Jumaat. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
PENGHUNI di Rumah Pengasih lengkap berpakaian baju Melayu pada setiap Jumaat. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

"Apabila sudah bebas dan kembali ke pangkuan masyarakat, mereka disisihkan, dilabel dengan pelbagai gelaran dan lebih memburukkan keadaan, mereka tidak diterima bekerja.

"Ia menyebabkan mereka tertekan dan kembali memilih jalan yang salah," katanya sambil mengakui bukan semua bekas penagih mampu berniaga.

Mengakhiri perbualan, Mohd Yunus berharap, kerajaan mengkaji semula rekod jenayah atas kesalahan dadah terhadap bekas penagih, yang menjadi faktor golongan itu tidak diterima bekerja.

"Bukan semua penagih adalah penjenayah. Kita sokong hukuman dan tindakan yang dikenakan ke atas penjual dan pengedar dadah. Kita harap perkara ini dikaji semula kerana faktor tidak bekerja menjadi punca mereka kembali menagih.

"Di Pengasih, kita membuktikan yang bekas penagih juga boleh bekerja. Kita menguruskan segala-galanya, termasuk kewangan," katanya.

Berita Harian X