Ahad, 18 Oktober 2015 | 12:10am
SEBAHAGIAN penghuni Rumah Pengasih mengaminkan doa pada satu majlis di situ.
SEBAHAGIAN penghuni Rumah Pengasih mengaminkan doa pada satu majlis di situ.
ANTARA rutin harian penghuni di Rumah Pengasih. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
ANTARA rutin harian penghuni di Rumah Pengasih. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
PENGHUNI Rumah Pengasih berpakaian baju Melayu bersamping dan baju kurung pada setiap hari Jumaat.- Foto Muhd Zaaba Zakeria
PENGHUNI Rumah Pengasih berpakaian baju Melayu bersamping dan baju kurung pada setiap hari Jumaat.- Foto Muhd Zaaba Zakeria

Curi wang bapa buat modal proses pil kuda

 


"BUKAN setakat sendiri 'layan'....jual pil kuda pada budak darjah satu pun pernah," kata Azmi bukan nama sebenar, remaja berusia 14 tahun yang mula terbabit dalam kancah menjual dadah pada usia 11 tahun.

  Terkedu saya seketika selepas mendengar jawapan 'famili' (penghuni) paling muda di Rumah Pengasih sewaktu melakukan penyamaran di pusat rawatan dan pemulihan itu, baru-baru ini.

  Selain mengedar dan menagih pil kuda, remaja itu mengakui turut mempunyai masalah penagihan jenis dadah seperti morfin, ganja dan Erimin 5.

  "Mulanya terjadi (terbabit)  masa saya darjah empat, seronok merokok...ponteng sekolah lepak rumah kawan... rumah dia pula ada abang yang hisap dan jual dadah.

  "Ada masa saya tengok dia buat (proses).  Ada satu hari, dia perlukan modal, saya bagi dia RM50, sejak hari itu saya menjadi rakan niaganya kerana seronok dapat duit," katanya yang mengakui memperoleh modal dengan mencuri wang ayahnya.

  Tidak sampai beberapa bulan, rakan niaga Azmi ditahan polis dan kesempatan itu diambil olehnya dengan membuat pil kuda dan menjual kepada penagih semuda tujuh tahun dan yang paling tua berusia lebih 50 tahun.

  "Tak susah bang nak dapatkan pelanggan...yang mana beli dengan kawan saya dulu tu beli dengan saya pula," katanya yang akhirnya ditahan polis awal tahun ini.

PENGHUNI Rumah Pengasih menceritakan kisah silam kepada wartawan BH.
PENGHUNI Rumah Pengasih menceritakan kisah silam kepada wartawan BH.

PENGHUNI Rumah Pengasih memberi tumpuan dalam satu majlis .- Foto Muhd Zaaba Zakeria
PENGHUNI Rumah Pengasih memberi tumpuan dalam satu majlis .- Foto Muhd Zaaba Zakeria

  Bapanya seorang ahli perniagaan cuba memulihkannya kembali dengan menghantar ke pondok pemulihan di Kelantan sebelum menghantarnya ke Pengasih beberapa bulan kemudian.

  Di Pengasih, Azmi cukup dikenali ramai 'famili' kerana agak nakal selain dua kali melarikan diri sebelum ditahan semula oleh kakitangan rumah pemulihan berkenaan.

  "Kali pertama saya melarikan diri dengan rakan ke rumahnya di Cheras. Tidak sampai sehari saya diambil Pengasih.

  "Kedua, pada rumah terbuka Aidilfitri, saya cuma sempat lari sehingga jalan berdekatan sahaja," katanya yang baru sahaja pulang dari berkongsi pengalaman di sebuah sekolah di Melaka.

  Ditanya sama ada akan melarikan diri lagi, Azmi berkata, tidak kerana dia sekarang sudah dapat menerima hakikat keputusan keluarganya menghantar ke Pengasih adalah untuk memulihkannya.

  "Saya lari kerana marah pada ayah, saya rasa tindakan sebelum ini (mengedar dan menghisap dadah) adalah betul.

  "Saya semakin ok disini, saya sentiasa berdoa agar tidak mengulangi kesilapan lepas dan berharap dapat pulih sepenuhnya untuk kembali ke sekolah yang sudah lama saya tinggalkan," katanya.

 

Ikuti penjelasan Presiden PENGASIH, Datuk Mohd Yunus Pathi mengenai punca jumlah penagih dadah semakin ramai, esok.

Berita Harian X