Ahad, 18 Oktober 2015 | 12:01am

Parang Ilang, simbol kegagahan pahlawan Iban

PARANG Ilang adalah simbol kepahlawanan dalam masyarakat Iban. - Foto Harun Yahya
PARANG Ilang adalah simbol kepahlawanan dalam masyarakat Iban. - Foto Harun Yahya

PARANG Ilang sememangnya berperanan penting dalam budaya masyarakat Iban, malah senjata warisan itu turut dianggap sebagai simbol kepahlawanan mereka.

Dalam Tarian Ngajat sendiri, senjata itu menjadi aksesori wajib bagi penari lelaki yang dipadankan dengan pakaian tradisional pahlawan Iban, Terabai atau Baju Perisai.

Bagi Johnny Barangan, 41, yang berpengalaman membuat Parang Ilang, nama senjata itu dipercayai berasal dari kegunaannya suatu ketika dulu iaitu untuk memenggal kepala musuh.

"Pahlawan Iban suatu ketika dulu sememangnya dikenali dengan semangat keberanian mereka menentang musuh. Malah, menjadi satu kewajipan setiap kali selepas bertempur untuk memenggal kepala musuh mereka, dengan ritual itu dikenali sebagai ngayau.

"Selepas dipenggal, kepala musuh akan dibawa pulang (ke rumah panjang) sebagai simbol kejayaan, manakala bahagian badan ditinggalkan. Dari situlah nama Parang Ilang dipercayai diperoleh, iaitu selepas dipenggal, maka hilang kepala musuh," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kilometer 26, Jalan Sibu - Bintulu.

JOHNNY Barangan menghunus Parang Ilang yang dibuatnya. - Foto Harun Yahya
JOHNNY Barangan menghunus Parang Ilang yang dibuatnya. - Foto Harun Yahya

Johnny mula berkecimpung dalam pembuatan senjata unik itu sejak remaja dengan mewarisi pengalaman dan kemahiran yang `diturunkan' oleh ayahnya.

Bagaimanapun, beliau bukan sekadar pembuat parang biasa yang boleh diperoleh dengan mudah, termasuk dijadikan cenderamata, sebaliknya Johnny satu-satunya individu di Sarawak yang diiktiraf sebagai Adiguru Pandai Kerja Besi oleh Perbadanan Kraftangan Malaysia.

Katanya, pengiktirafan itu diperolehnya selepas beliau memenangi pelbagai pertandingan membuat parang di peringkat negeri dan kebangsaan dalam kemahiran pembuatan kraftangan besi, khususnya Parang Ilang.

Beliau yang menjadikan pekerjaan itu sebagai sumber pendapatan utamanya bagi menyara keluarga menjelaskan senjata itu terdiri dari beberapa komponen.

MATA parang yang diperbuat daripada logam diambil dari bilah gergaji rantai atau besi 'spring' dari sistem suspensi van atau lori. - Foto Harun Yahya
MATA parang yang diperbuat daripada logam diambil dari bilah gergaji rantai atau besi 'spring' dari sistem suspensi van atau lori. - Foto Harun Yahya

"Yang utama ialah mata parang yang diperbuat daripada logam diambil dari bilah gergaji rantai atau besi 'spring' dari sistem suspensi van atau lori. Komponen kedua pula adalah hulu parang yang diperbuat dari kayu atau tanduk rusa, selain sarung parang menggunakan pelbagai jenis kayu.

"Hulu dan sarung parang diikat kemas menggunakan tali rotan. Bahagian ikatan pada sarung digelar Pusat Bedus, manakala pengikat di hulu parang digelar Temurak.

"Jika diteliti, di hulu parang ada helaian rambut yang pada zaman dulu, ia diperoleh dari kepala musuh yang dipenggal. Namun, sekarang kita menggunakan helaian rambut palsu," katanya.

Dua hari siapkan sebilah parang

JOHNNY Barangan menunjukkan Parang Ilang dan sarung yang dibuatnya. - Foto Harun Yahya
JOHNNY Barangan menunjukkan Parang Ilang dan sarung yang dibuatnya. - Foto Harun Yahya

Disebabkan legenda dan ciri-ciri itu, Parang Ilang amat digeruni sehingga kini walaupun penghasilannya kini lebih sebagai cenderamata sebagai simbol kunjungan ke Sarawak.

Beliau berkata, kebiasaannya masa diperlukan adalah dua hari untuk menyiapkan sebilah Parang Ilang, dengan purata 20 parang berjaya dihasilkannya setiap bulan, khususnya sebagai cenderamata.

"Namun, Parang Ilang yang ditempah khas akan mengambil masa lebih lama kerana kerumitan membuat hasil kerja yang lebih halus. Biasanya setiap bilah parang lengkap bersarung dijual antara RM200 hingga RM350 sebilah.

"Bagi yang ditempah khas menggunakan hulu daripada tanduk rusa, dengan sarung diperbuat dari kayu belian berukir rapi, harganya boleh mencecah RM1,000 hinggalah RM2,000 sebilah," katanya.

Johnny berkata, koleksi paling unik pernah dihasilkannya ialah Parang Ilang Gajah kerana saiznya yang besar dan dibuat khas untuk dipamerkan sempena Hari Kraf Peringkat Kebangsaan beberapa tahun lalu.

"Sehingga kini tiada sesiapa pun berani membelinya kerana harga terendah saya buka untuk dibida ialah RM15,000," katanya.

JOHNNY Barangan bersama Parang Ilang Gajah yang dibuatnya. - Foto Harun Yahya
JOHNNY Barangan bersama Parang Ilang Gajah yang dibuatnya. - Foto Harun Yahya

Beliau sering bergerak seperti ke Miri, Bintulu, Sarikei dan Kapit untuk menjual sendiri parang buatannya.

Selain mahu mencari pembeli, beliau turut menggunakan kesempatan itu untuk membeli pelbagai kayu berkualiti dan tanduk rusa dari penduduk rumah panjang di kawasan pedalaman dan luar bandar dikunjunginya.

"Saya sering diundang expo dan pameran Kraftangan Malaysia. Saya sangat menghargai jasa mereka yang telah banyak membantu dalam kerjaya ini dengan menghantar saya ke pelbagai kursus pertukangan, sekali gus membentuk saya menjadi tukang parang yang mampu menghasilkan parang berkualiti.

"Kini, saya juga sering menjadi penceramah di pelbagai seminar dan kursus anjuran pelbagai agensi," katanya.

Berita Harian X