Sabtu, 10 Oktober 2015 | 12:10am

Kolonoskopi terbaharu

SPEKTRUM Penuh Endoskopi (FUSE).
SPEKTRUM Penuh Endoskopi (FUSE).

MALAYSIA tampil sebagai negara pertama di rantau Asia memiliki kemudahan kamera kolonoskopi berteknologi baharu bagi mengesan ketumbuhan prabarah dengan lebih tepat.

  Kemudahan itu boleh didapati di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC), satu-satunya hospital yang memiliki peralatan dikenali sebagai Spektrum Penuh Endoskopi (FUSE).

FUSE memberikan medan pandangan di dalam bahagian usus yang lebih jelas dari sudut penglihatan sehingga mencapai 330 darjah.

Inovasi ini menggunakan tiga kamera pada hujung dan dua kamera pada sisi skop berbanding satu kamera yang terdapat pada kolonoskopi lama.

 Medan pandangan itu hampir dua kali ganda daripada medan pandangan kolonoskopi tradisional yang diperkenalkan sejak 20 tahun lalu dengan pandangan 170 darjah sahaja.

Tingkat ketepatan

  Ketua Eksekutif SJMC, Dr Vasuhi Murugiah, berkata SJMC melabur dalam teknologi inovatif yang mampu meningkatkan ketepatan kolonoskopi.

Penggunaan ini kata beliau, mengurangkan bilangan kegagalan mengesan ketumbuhan atau polip menggunakan kolonoskopi lama.

   "Walaupun kolonoskopi banyak mencegah kematian barah usus dan matlamat utamanya untuk mengesan barah.

"Prosedur itu tidak sepenuhnya sempurna dalam mencegah kes barah kerana standard kolonoskopi lama yang memberikan penglihatan di hadapan sahaja.

   "Ini menyebabkan banyak ketumbuhan yang terdapat di antara usus yang bahagian dalamnya berlipat gagal dikesan," katanya pada majlis penerangan media mengenai revolusi baru kolonoskopi di SJMC, di Subang Jaya, baru-baru ini.

Dr Vasuhi berkata, hasil penggunaan FUSE, doktor di pusat perubatan itu mampu menjalankan lebih daripada 1,000 kolonoskopi dengan peratus kejayaan mengesan ketumbuhan lebih tinggi.

Kesan bilangan polip

  Kajian diterbitkan Lancet Oncology baru-baru ini mendedahkan, FUSE menemui 76 peratus lebih polip dan mengesan lebih bilangan polip prakanser yang tidak dikesan apabila menggunakan kolonoskopi lama.

 Kolonoskopi lama terlepas 41 peratus ketumbuhan manakala FUSE mampu mengesan lebih 69 peratus ketumbuhan prabarah.

   Ketua Bahagian Penyakit Penghadaman, Pusat Perubatan Mount Sinai Beth, New York, Dr David Carr-Locke, berkata berdasarkan kajian pusat antarabangsa, daripada 88 orang yang menggunakan kolonoskopi lama terlebih dulu, sebanyak 29 ketumbuhan dikenal pasti.

   "Berbeza dengan FUSE yang menemui tambahan 20 lagi ketumbuhan ketika pesakit yang sama menjalani susulan kolonoskopi. 

   "Ini bermakna kolonoskopi lama terlepas 41 peratus ketumbuhan dalam kalangan pesakit. Ini menjadi kebimbangan utama doktor dan pesakit," katanya.

PERALATAN yang digunakan bagi mengesan ketumbuhan prabarah dengan lebih tepat.
PERALATAN yang digunakan bagi mengesan ketumbuhan prabarah dengan lebih tepat.

Lelaki 50 tahun berisiko

   Kajian itu juga menunjukkan lima pesakit yang menjalani kolonoskopi lama gagal mengesan sebarang ketumbuhan tetapi ketumbuhan berjaya dikesan selepas menggunakan FUSE.

  Sementara itu, Perunding Klinikal Onkologi SJMC dan Presiden Persatuan Onkologi Malaysia, Dr Ahmad Kamal, berkata terdapat 2,246 kes barah usus dilaporkan pada tahun 2007 di negara ini.

  Kebanyakan pesakit adalah lelaki berusia 50 tahun ke atas yang kebanyakannya adalah daripada etik Cina.

   Kira-kira 63 peratus pesakit kata beliau, hanya dikesan mengalami barah usus selepas berada pada peringkat yang lewat di mana barah sukar untuk disembuhkan.

Tiada gejala jelas

   "Ini disebabkan kurang kesedaran mengenai penyakit ini ditambah dengan ciri-ciri penyakit berkenaan yang tidak memberi gejala yang jelas," katanya.
 Katanya saringan barah usus amat penting dan sukar untuk mengesan ketumbuhan di dalam usus sepanjang kira-kira 189 sentimeter (cm) terutama sekiranya ketumbuhan terletak di selekoh usus.

 

Info

Apakah itu FUSE?

FUSE atau Endoskopi Spektrum Penuh adalah kemajuan terkini dalam kolonoskopi yang membolehkan pakar perubatan melihat dan mengesan lebih banyak keabnormalan dalam usus anda.

 

Adakah prosedur ini berbeza jika pakar menggunakan FUSE?

Pengalaman tetap sama.

Berita Harian X