Rabu, 30 September 2015 | 12:13am
PENGUNJUNG melihat hasil seni bertajuk 'Divine Proportion' (kanan) dan 'The Punishment' (kiri) pada Pameran EY di London, baru-baru ini. - Foto AP
PENGUNJUNG melihat hasil seni bertajuk 'Divine Proportion' (kanan) dan 'The Punishment' (kiri) pada Pameran EY di London, baru-baru ini. - Foto AP
HASIL seni di atas batu bata bertajuk 'Fragments' oleh artis Jimmy C yang memaparkan potret penduduk tempatan Shoreditch.
HASIL seni di atas batu bata bertajuk 'Fragments' oleh artis Jimmy C yang memaparkan potret penduduk tempatan Shoreditch.

Seni halus tawan ekonomi dunia

PENGGIAT seni visual tempatan tidak seharusnya berpuas hati dengan kejayaan menawan hati penggemar tempatan, sebaliknya mereka perlu merebut peluang daripada perkembangan pasaran seni halus global.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Dzulkifli Mahmud dalam temu bual dengan Sastera BH menyebut, seni halus berupaya membantu menjana pendapatan sesebuah negara kerana sifatnya yang universal dan merentas sempadan.

"Seni visual boleh membantu meningkatkan pendapatan negara jika dipromosikan dengan sebaiknya. Sejak tahun 2012, MATRADE mula membantu mempromosikan seni visual di luar negara dan menggalakkan eksport hasil karya tempatan.

"Seni halus ialah cabang baru dalam hasil eksport negara dan mempunyai potensi untuk dikembangkan," katanya.

Tambah Dzulkifli, penampilan pada peringkat antarabangsa juga memberi peluang kepada seniman dan pelukis tanah air untuk lebih dikenali.

"Dalam hal ini, kami bekerjasama dengan Balai Seni Visual Negara (BSVN) dan galeri seni tempatan, termasuk baru-baru ini dengan menjalinkan kerjasama strategik dengan Galeri Chandan untuk mengadakan pameran di START Art Fair di Galeri Saatchi London.

KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) MATRADE, Datuk Dzulkifli Mahmud. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) MATRADE, Datuk Dzulkifli Mahmud. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

"Perlu diketahui, London ialah pusat seni Eropah yang pada tahun lalu menduduki tempat ketiga selepas Amerika Syarikat (AS) dan China yang merekodkan jualan seni dunia tertinggi," katanya.

Sejak tahun 2013, sebanyak 277 karya seni daripada 126 artis tempatan sudah dipamerkan di pasaran antarabangsa. Tahun lalu sahaja, jumlah eksport seni visual Malaysia, termasuk lukisan mencecah RM11.4 juta.

Kesungguhan MATRADE dalam mempromosikan seni halus juga menyaksikan pihak itu menyediakan program promosi yang berasingan daripada rombongan perdagangan yang lain.

Sehingga kini, MATRADE menyertai kebanyakan festival seni halus utama dengan yang terbaharu akan menyertai pameran di Melbourne, Australia pada Oktober nanti.

"Industri seni Malaysia semakin berkembang seiring dengan peningkatan kesedaran dalam kalangan golongan muda dan profesional dalam industri seni tanah air.

"Malaysia ialah negara berbilang kaum yang mempunyai kepelbagaian budaya, sekali gus menawarkan hasil karya yang bukan saja luar biasa, bahkan berupaya mencetuskan minat dan permintaan di antarabangsa," katanya.

A Latiff Mohidin antara pelukis Malaysia yang dikenali di peringkat antarabangsa. - Foto Muhammad Akmal Awani
A Latiff Mohidin antara pelukis Malaysia yang dikenali di peringkat antarabangsa. - Foto Muhammad Akmal Awani

Sejajar dengan perkembangan itu juga, MATRADE bakal membuka galeri seni di Menara MATRADE bagi mempamerkan karya pelukis dan artis muda dalam usaha memberi impak dalam peningkatan kerjaya mereka.

Pelukis dan artis yang berminat disaran menghubungi MATRADE bagi mendapat peluang mengadakan pameran. Penilaian untuk pemilihan akan dibuat oleh panel yang dilantik.

Ironinya ketika ini, ramai ibu bapa di negara ini masih ragu-ragu dan curiga apabila anak mereka memilih jurusan seni halus khususnya atau seni umumnya sebagai pilihan untuk melanjutkan pengajian sedangkan pasaran seni global terus mencanak naik.

Untuk rekod, nilai pasaran seni dunia pada tahun 2010 mencecah hingga RM206.1 bilion, meningkat daripada RM135.8 bilion pada tahun sebelumnya.

Peningkatan itu terus berlaku apabila pada tahun 2013 pula, ia meningkat kepada RM228.4 bilion, manakala pada tahun lalu pula mencecah RM245.7 bilion.

Februari lalu, catan artis Perancis, Paul Gaugin, Will You Marry Me, terjual pada harga RM1.22 bilion, sekali gus menjadikan karya itu mencipta rekod sebagai harga tertinggi setakat ini untuk sebuah catan.

Berita Harian X