Isnin, 21 September 2015 | 12:06am
PEMILIK kenderaan tanpa pelekat OKU (dua dari kanan) tidak menunjukkan sifat prihatin apabila parkir di tempat khusus untuk golongan itu di sebuah pusat membeli-belah. - Foto Salhani Ibrahim
PEMILIK kenderaan tanpa pelekat OKU (dua dari kanan) tidak menunjukkan sifat prihatin apabila parkir di tempat khusus untuk golongan itu di sebuah pusat membeli-belah. - Foto Salhani Ibrahim
KENDERAAN tanpa pelekat OKU (kiri) yang diletakkan di tempat khusus untuk golongan itu di sebuah pusat membeli-belah. - Foto Salhani Ibrahim
KENDERAAN tanpa pelekat OKU (kiri) yang diletakkan di tempat khusus untuk golongan itu di sebuah pusat membeli-belah. - Foto Salhani Ibrahim
 TINJAUAN tempat letak kereta OKU di Restoran Jejantas Sungai Buloh. - Foto Sairien Nafis
TINJAUAN tempat letak kereta OKU di Restoran Jejantas Sungai Buloh. - Foto Sairien Nafis

Rakus ceroboh kemudahan OKU


KUALA LUMPUR: Meskipun orang kurang upaya (OKU) dianggarkan mewakili 10 peratus daripada 28 juta rakyat negara ini, namun banyak kemudahan khas disediakan untuk mereka, gagal dihormati sesetengah pihak.

Sikap mementingkan diri tanpa memikirkan kesulitan OKU, menyaksikan orang yang sempurna sifat fizikal, mengambil kesempatan menggunakan kemudahan disediakan kepada golongan itu.

Situasi itu menyaksikan kemudahan awam seperti petak letak kereta, laluan pejalan kaki, tandas serta tempat duduk khas dalam pengangkutan awam untuk OKU, sering disalah guna oleh golongan tidak bertanggungjawab.

Lebih malang, OKU umpama dibuli apabila golongan sempurna fizikal yang menggunakan kemudahan khas untuk mereka, enggan beralih atau mengalihkan kenderaan.

Alasan yang sering diberikan termasuklah parkir penuh kecuali petak khas untuk OKU saja yang kosong atau tiada golongan itu ketika mereka sampai di situ.

Golongan yang menyalah gunakan kemudahan khas itu bukan setakat enggan beralah, malah sanggup bergaduh jika ditegur mereka yang prihatin.

Tinjauan BH selama beberapa hari pada beberapa lokasi sekitar ibu negara, mengesahkan sikap tidak bertanggungjawab itu memerlukan tindakan pihak berkuasa seperti polis, pihak berkuasa tempatan atau Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat.

SANTHI Bangadasalam. - Foto Mohd Yusni Ariffin
SANTHI Bangadasalam. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Restoran Jejantas Sungai Buloh arah utara baru-baru ini, hampir 10 kereta dikesan meletak kenderaan mereka pada petak khas OKU pada waktu yang berlainan.

Tanpa menyedari gambar sudah dirakam, wartawan BH pantas mengekori pemandu terbabit bagi mendapatkan komen terhadap perbuatan itu.  

Pemandu dari Ipoh, yang mahu dikenali sebagai Razlan, 30, memberi alasan tidak dapat menahan lapar dan parkir sudah penuh, terutama waktu puncak.

"Saya bukan OKU, tapi hanya petak khas itu saja yang kosong, kebetulan pula dekat dengan kedai makan. Saya fikir tidak menjadi masalah sebab jarang nampak golongan OKU letak kenderaan di sini.

"Abang tengok sendiri, kosong sahaja lagi dua petak itu. Bukan saya seorang sahaja yang melakukan kesalahan macam ni," katanya mempertahankan kesalahan itu.

Petugas pembersihan di hentian itu, Sarkim, 39, mengakui tandas khas OKU di situ sering digunakan orang awam terutama pada waktu puncak.

"Tandas penuh antara alasan popular mereka. Tindakan orang awam yang mengambil masa terlalu lama di dalam kemudahan khas itu, secara tidak langsung menyusahkan OKU yang mahu menggunanya," katanya.

"Awak mahu ambil gambar saya, awak tahu saya siapa? Awak tak ada kerja lain? Saya boleh buat awak dipecat tau?" itu antara herdikan diterima wartawan dan jurugambar BH ketika merakam tindakan seorang pemandu menyalah guna parkir OKU di sebuah pusat membeli belah di sini.

TINJAUAN tempat letak kereta OKU di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). - Foto Sairien Nafis
TINJAUAN tempat letak kereta OKU di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). - Foto Sairien Nafis

 Dia mendakwa perbuatannya meletakkan kereta pada petak khusus OKU itu tidak salah kerana tiada lot biasa yang kosong.

 "Awak tahu berapa lama saya pusing (untuk cari petak kosong)? Sekarang sudah ada, awak dua mau tunjuk baik pula," tengking pemandu itu yang jelas berang.

  "You (awak) tau sekarang susah mau cari `parking'. OKU ini pun bukan selalu ada, apa salah saya 'parking' sini," kata seorang lelaki di kawasan meletak kereta Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

 Lelaki berusia lingkungan 30-an itu terburu-buru masuk semula ke keretanya dan enggan memberitahu nama selepas menyedari perbuatannya itu dirakam jurugambar.

Pesara, BT Lim, 85, pula memuji langkah pengurusan pusat membeli belah Midvalley di sini, kerana menyediakan petak meletak kereta yang luas dan mudah buat OKU.

"Isteri saya seorang OKU yang menggunakan kerusi roda, kami sangat selesa ke sini. Ada banyak petak khusus untuk OKU di sini," katanya yang tidak menafikan kecewa apabila kemudahan untuk OKU disalah gunakan pengguna normal.

  "Tadi kami menunggu lama sebelum isteri saya dapat mengguna tandas khas OKU. Kami sangka ada OKU lain di dalamnya, sebaliknya seorang wanita bersama troli penuh muatan keluar dari tandas itu," katanya.

B T Lim (kiri) membantu isterinya dengan menggunakan kemudahan tempat letak kenderaan OKU untuk memudahkan pergerakan di sebuah pusat membeli-belah. - Foto Salhani Ibrahim
B T Lim (kiri) membantu isterinya dengan menggunakan kemudahan tempat letak kenderaan OKU untuk memudahkan pergerakan di sebuah pusat membeli-belah. - Foto Salhani Ibrahim

Tahap kesedaran rakyat Malaysia berhubung kemudahan dan keperluan golongan OKU masih jauh ketinggalan berbanding negara lain.

 Pedih untuk diterima, namun itu hakikat yang perlu diakui oleh semua pihak, termasuk kerajaan dan agensi berkaitan.

 Presiden Persatuan Cerebral Palsy Malaysia (MyCP), Zatul Hejanah Abdulila, berkata masih banyak lompong perlu diperbaiki khususnya apabila bercakap mengenai dua aspek berkenaan.

 Kebanyakan kemudahan OKU disediakan katanya, seolah-olah melepas batuk di tangga, apabila pelaksanaannya tidak menyeluruh.

 "Seperti sebuah hentian Rehat dan Rawat (RnR) di Terengganu baru-baru ini, tandas untuk OKU yang dibina tidak menepati spesifikasi apabila tiada besi pemegang dan butang kecemasan jika berlaku apa-apa kejadian tidak diingini," katanya kepada BH.

Zatul Hejanah, 38, yang juga ibu kepada seorang anak OKU, berkata sikap ambil lewa terhadap keperluan OKU dikenal pasti antara punca senario itu.

  "Mereka fikir, tandas OKU cuma perlu besar dan diasingkan dari tandas lain. Mereka tak tahu, atau mungkin tak ambil tahu ciri lain yang perlu ada pada kemudahan terbabit," katanya.

PELEKAT OKU pada kenderaan di parkir yang dikhaskan untuk golongan itu di sebuah pusat membeli-belah. - Foto Salhani Ibrahim
PELEKAT OKU pada kenderaan di parkir yang dikhaskan untuk golongan itu di sebuah pusat membeli-belah. - Foto Salhani Ibrahim

 Kelemahan ini katanya, jelas kelihatan pada pengangkutan awam, khususnya bas persiaran dan bas sekolah.

  "Banyak kali kami terpaksa menggunakan pengangkutan jenis lain setiap kali menganjurkan majlis untuk MyCP.

  "Mahu sewa bas persiaran tetapi boleh dikatakan semua pengangkutan itu tidak ada kemudahan pelantar khas untuk pengguna OKU. Ini amat mengecewakan," katanya.

 Sementara itu Pengarah Jabatan Pembangunan OKU di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Nik Omar Nik Abdul Rahman, berkata garis panduan khas perlu diperluaskan kepada semua agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO).

 Perluasan itu katanya, adalah jaminan yang membolehkan semua kemudahan termasuk pengangkutan awam, bangunan dan jalan raya diklasifikasikan sebagai mesra OKU.

  "Kita mahu golongan ini tidak merasa terpinggir atau dianaktirikan. Dari 28 juta rakyat Malaysia, 10 peratus daripadanya adalah OKU. 

  "Ketika ini, dari 10 peratus itu, hanya 400,000 sahaja yang berdaftar dengan JKM. Ini mungkin kerana mereka takut untuk menghadapi dunia luar, atau menyangkakan persekitaran di luar tidak selamat untuk mereka," katanya.

 Fenomena itu jelas Nik Omar, boleh diubah jika semua prasarana dibina dengan mengambil kira keperluan golongan berkenaan.

 "Kita mahu dan harap semua pihak khususnya pihak berkuasa tempatan (PBT), arkitek dan pihak lain terbabit diberi pendedahan menyeluruh berhubung aspek ini," katanya.

Berita Harian X