Isnin, 21 September 2015 | 12:01am

BiotechCorp guna mesin layan diri pasar produk

PENGUNJUNG mencuba mesin layan diri yang dikenali sebagai BioShoppe.
PENGUNJUNG mencuba mesin layan diri yang dikenali sebagai BioShoppe.

MALAYSIAN Biotechnology Corporation (BiotechCorp) merevolusikan perniagaan penjagaan kesihatan menerusi pengenalan mesin layan diri dikenali sebagai BioShoppe, yang mana berpotensi memasarkan sehingga 300 produk keluaran tempatan.

Naib Presiden Sokongan Industri, Bahagian Pembangunan BioNexus, Nora Mohamed, berkata bagi tujuan itu, pihaknya kini mencari rakan usaha sama dan lokasi strategik yang berpotensi mempromosikan mesin layan diri itu.

Katanya, mesin itu adalah inisiatif proaktif biotech untuk membantu meningkatkan akses dan kehadiran pasaran produk BioNexus kepada pengguna di negara ini.

"Menerusi mesin ini pelaburan untuk memasarkan barangan berasaskan biotech adalah jauh lebih murah berbanding pelaburan yang diperlukan usahawan bioteknologi membuka kedai sendiri.

"Inisiatif kedai BioShoppe masih menjadi nadi pengkomersialan Biotech Corp, cuma mesin layan diri ini adalah alternatif terbaik meningkatkan jenama Bioshoppe di kawasan tumpuan ramai dan pusat belibelah," katanya kepada BH di Kuala Lumpur.

Mesin layan diri

BioShoppe menggunakan platform tercanggih dengan keupayaan skrin sesentuh, hubungan internet dan interaksi video bagi menyediakan maklumat penting mempromosikan setiap produk yang ditawarkan.

Sehubungan itu juga, Nora berkata, sebanyak enam syarikat berstatus BioNexus telah melancarkan 11 produk bioteknologi baharu bagi mengambil peluang potensi pasaran yang lebih luas dan mudah menerusi mesin layan diri BioShoppe.

Produk berkenaan adalah ElixirNoni Enzyme Extract, Clayzme, Bioactive MicroOrganism Enzymatic Surface, SP.I, Quddis, Dara Harumi, Josens Spirulina Whey Protein Powder dan empat produk mandian berjenama Avera.

Semua produk terbabit, jelas Nora, dibangunkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berasaskan produk semula jadi dan tidak menggunakan bahan kimia.

Berita Harian X