Khamis, 17 September 2015 | 12:01am

Pergolakan negara Asia selepas merdeka

ANGGOTA pengawal keselamatan Kashmir berkawad di Manigam, Ganderbal. - Foto EPA
ANGGOTA pengawal keselamatan Kashmir berkawad di Manigam, Ganderbal. - Foto EPA

OGOS bulan istimewa untuk beberapa negara kerana pada tarikh inilah mereka meraikan kemerdekaan tanda bebas daripada belenggu penjajah. Walaupun merdeka namun ada di antara negara terbabit masih tidak `merdeka' dalam erti kata sebenar.

Meskipun selepas puluhan tahun menikmati kebebasan, tidak dinafikan masih ada yang gagal mengekalkan kestabilan politik di negara sendiri dan di sempadan.

Pakistan dan India, dua negara seteru yang baharu saja meraikan kemerdekaan ke-69 masing-masing pada 14 Ogos dan 17 Ogos lalu.

Sambutan tetap diadakan bagi memperingati ulang tahun kemerdekaan, tetapi agak menyedihkan pengisian sambutan disulami dengan peperangan di sempadan wilayah bertelingkah kedua-dua negara di Kashmir.

Pada 16 Ogos lalu kedua negara saling berbalah apabila tercetusnya pertempuran di sempadan menyebabkan lapan orang awam terkorban manakala berpuluh yang lain cedera.

Kemerdekaan tidak membawa apa-apa erti kepada kedua-dua negara apabila gagal mengekalkan kerukunan. Tidak sedikit nyawa yang terkorban sejak perang saudara meletus angkara penjajah.

Berdasarkan laporan kerajaan India, pada tahun 2008 atau dalam tempoh 20 tahun perang saudara kedua-dua negara, kira-kira 47,000 nyawa terkorban.

Pakistan pula mendakwa antara tahun 1990-1999, seramai 4,501 orang awam di Kashmir terkorban akibat tindakan tentera India dan sekutunya, kumpulan militia.

Wanita dirogol

Pertelagahan antara India dan Pakistan bermula sejak 22 Oktober 1947, genap dua bulan selepas kedua-dua negara berpecah.

Sepanjang tempoh itu, kedua-dua negara terbabit dengan tiga peperangan besar dan beberapa siri pertelingkahan kecil di sempadan.

Antaranya peperangan Indo-Pakistan pada tahun 1947 dan 1965 diikuti pemberontakan di Jammu dan Kashmir sejak tahun 1990-an serta Perang Kargil pada tahun 1999.

Sejak tahun 1984, pertembungan meletus berhubung kawalan ke atas Siachen Glacier. India menuntut keseluruhan negeri Jammu dan Kashmir dan sehingga tahun 2010, mentadbir kira-kira 43 peratus daripada rantau itu termasuk sebahagian besar Jammu, Lembah Kashmir, Ladakh dan Siachen Glacier.

Tuntutan India dicabar oleh Pakistan yang mentadbir kira-kira 37 peratus Kashmir iaitu Azad Kashmir dan kawasan utara di Gilgit-Baltistan.

Konflik akar umbi antara pemberontak Kashmir dan kerajaan India berkait dengan pertelingkahan berhubung kuasa autonomi tempatan.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon, melahirkan kekecewaannya berhubung pembatalan rundingan peringkat agensi keselamatan antara India dan Pakistan pada 23 hingga 24 Ogos lalu serta berharap pemimpin kedua-dua negara akan menggunakan semua peluang bagi menyambung semula perbincangan.

SETIAUSAHA Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki-moon. - Foto AP
SETIAUSAHA Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki-moon. - Foto AP

Jiran Pakistan, Afghanistan pula meraikan Hari Kebangsaan pada 19 Ogos lalu. Negara itu juga tidak terkecuali dibelenggu masalah kumpulan pengganas Taliban yang mahu menguasai negara terbabit.

Serangan diperhebat sejak Amerika Syarikat (AS) dan NATO menamatkan operasi tempurnya di negara itu Disember lalu.

Taliban Afghanistan yang kini diketuai Mullah Akhtar Mansoor dan Taliban Pakistan yang mempunyai kekuatan 60,000 pejuang (anggaran tahun 2014) serta rangkaian militan Al-Qaeda, mengambil kesempatan pengunduran terbabit untuk menghuru harakan negara.

ANGGOTA keselamatan Afghanistan melihat mayat pemberontak Taliban yang ditembak. - Foto AFP
ANGGOTA keselamatan Afghanistan melihat mayat pemberontak Taliban yang ditembak. - Foto AFP

Selain India dan Pakistan, dua negara yang merdeka namun tidak pernah menunjukkan tanda perdamaian sebaliknya bertukar seteru ialah Korea Selatan dan Utara.

Kedua-duanya mendapat kemerdekaan pada 15 Ogos 1945. Korea Utara diisytiharkan sebagai sebuah negara republik pada tarikh itu manakala Korea Selatan memperoleh kemerdekaan daripada Jepun.

LAKONAN semula peperangan antara Korea Selatan yang dibantu tentera Amerika Syarikat dan PBB menentang Korea Utara yang dibantu China dan Russia di Sungai Naktong, Korea Selatan. - Foto AP
LAKONAN semula peperangan antara Korea Selatan yang dibantu tentera Amerika Syarikat dan PBB menentang Korea Utara yang dibantu China dan Russia di Sungai Naktong, Korea Selatan. - Foto AP

Perang Korea tercetus

Perbezaan ideologi antara keduanya mencetuskan Perang Korea yang bermula pada 25 Jun 1950 hingga 27 Julai 1953. Perang yang dikenali sebagai `Perang Pembebasan Tanah Air' itu berlarutan selama tiga tahun.

Korea Utara dibantu Russia dan China manakala Korea Selatan mendapat sokongan AS serta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Perang yang tercetus rentetan Perang Dunia Kedua dan Perang Dingin, berlaku sejurus berakhirnya Perang Dunia Kedua iaitu ketika Korea Selatan masih dijajah Jepun pada tahun 1910-an.

Peperangan antara Seoul dan Pyongyang menyebabkan jutaan rakyatnya menderita dengan ramai berusaha melarikan diri daripada kekejaman rejim negara terpencil kuasa nuklear itu.

Sejak tahun 1953, antara 100,000 hingga 300,000 rakyat Korea Utara berpaling tadah, kebanyakannya melarikan diri ke Russia atau China manakala kira-kira 27,000 pula memilih ke Korea Selatan.

Elak pertumpahan darah

Pemimpin Korea Selatan mengambil pendekatan tegas dengan Utara sejak dua serangan utama ke atas Selatan pada tahun 2010, mengorbankan 50 orang.

Baru-baru ini, kedua-dua negara bersetuju menghentikan isu kemungkinan untuk berperang dengan satu perjanjian yang membolehkan mereka mengelak pertumpahan darah.

Selain negara yang disebutkan, ada beberapa negara lain meraikan hari kemerdekaan atau hari kebangsaan negara dalam keadaan bergolak.

Apalah ertinya kemerdekaan jika kebebasan yang diharapkan menyebabkan rakyat menderita dan menjadi mangsa di negara sendiri.

Berita Harian X