LEBIH 4,000 keluarga daripada 41,438 keluarga asnaf fakir dan miskin dari sembilan daerah di Selangor, yang menerima zakat tahun ini, dikesan tidak 'asli' kerana menyembunyikan maklumat sebenar.
Walaupun jumlahnya kecil iaitu 10 peratus daripada penerima zakat, helah mereka mengemukakan maklumat palsu bagi melayakkan menerima zakat boleh menjejaskan persepsi masyarakat terhadap institusi zakat, yang sepatutnya hanya membantu asnaf yang benar-benar memerlukan bantuan.
Mendedahkan perkara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS), Hussin Mohd Ali, berkata ada antara penerima zakat yang tidak 'asli' ini memohon dan menerima zakat dengan menampilkan dokumen palsu mengenai masalah kesihatan mereka.
Bagaimanapun, katanya, mereka sebenarnya sudah memiliki aset, wang simpanan atau dibantu secara berterusan oleh pertubuhan bukan kerajaan atau secara persendirian.
"Ada kes seorang lelaki yang sihat tetapi tidak bekerja, memohon dan menerima zakat kerana tidak mengemukakan dokumen lain seperti pendapatan isteri. Hasil siasatan mendapati dia memiliki dua isteri bekerja sepenuh masa yang menyara diri dan anak mereka.
"Ada juga kes penerima zakat memaklumkan kepada umum yang dirinya tidak menerima sebarang bantuan zakat hinggalah ramai yang memberi sumbangan sedangkan mereka sebenarnya sudah diberikan bantuan zakat sejak lebih sedekad lalu," katanya kepada BH.
Hussin berkata, LZS akan bertindak tegas dengan menyenaraihitamkan nama penerima 'tidak asli' daripada senarai penerima zakat dan menghentikan bantuan serta-merta.
Golongan fakir dan miskin adalah tergolong dalam lapan asnaf yang wajib dibantu, selain amil, mualaf, riqab, gharimin, fisabilillah dan Ibnu Sabil.
Bagi asnaf miskin, katanya, ia dipecahkan pada tiga kategori iaitu miskin kekal, miskin sementara dan miskin bermusim.
"Golongan miskin kekal adalah mereka yang mewariskan kemiskinan kepada anak cucu kerana tiada tempat tinggal, dikelilingi hutang berpanjangan serta tiada pendidikan dan warga emas yang sudah tidak mampu bekerja atau orang kurang upaya kekal.
"Kategori kedua pula ialah golongan miskin sementara yang hilang pekerjaan sehingga jatuh miskin manakala kategori ketiga, miskin bermusim iaitu tidak memiliki sumber kewangan bagi persiapan ke sekolah atau musim perayaan," katanya.
Hussin berkata, adalah menjadi matlamat LZS untuk membantu golongan ini supaya dapat keluar daripada kepompong kemiskinan dan boleh berdikari.
Malangnya, kata beliau, golongan yang tidak 'asli' ini didapati sengaja enggan bekerja walaupun sudah diberi modal perniagaan dan diberi peluang bekerja di sektor tertentu kerana mereka sudah selesa menerima wang mudah hingga berpuluh tahun lamanya.
"Ada yang diberi rumah tetapi enggan berpindah walaupun sudah boleh berdikari. Malah, ada yang ubah suai kediaman masing-masing," katanya.
Bagi mengatasi perkara ini, katanya, LZS akan menyiasat latar belakang penerima zakat menerusi ahli keluarga, jiran dan nazir masjid bagi memastikan pemohon adalah mereka yang betul-betul layak.
"Perlu diingatkan amanah kami adalah mengagihkan wang zakat pihak yang mahu membersihkan jiwa dan harta mereka supaya dapat dimanfaatkan sebaik mungkin.
"Bagaimanapun, LZS juga menyediakan kaunter ekspres bagi memberi sumbangan kecemasan RM500 bagi pemohon yang mempunyai masalah tunggakan bayaran pinjaman rumah dan persekolahan," katanya.
Situasi serupa juga dikesan di Pahang. Majlis Agama Islam Pahang (MAIP) berjaya mengenal pasti segelintir pemohon zakat di negeri itu yang cuba memperdayakan organisasi berkenaan untuk mendapat bantuan kewangan.
Antara kesalahan dikesan ialah permohonan dibuat atas nama suami dan isteri sedangkan hanya seorang layak memohon iaitu ketua isi rumah, permohonan dibuat di dua daerah berasingan serta membuat permohonan baharu sedangkan bantuan kewangan belum diberikan.
Timbalan Yang Dipertua MAIP, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan, berkata pihaknya terpaksa menolak permohonan berkenaan kerana lebih ramai golongan asnaf perlu dibantu untuk membolehkan mereka menjalani kehidupan lebih baik.
"Memang kita ada terima permohonan yang agak meragukan, antaranya ada suami isteri memohon walaupun hanya seorang sahaja yang layak mengikut peraturan ditetapkan.
"Selain itu, ada yang memohon di daerah berasingan. Contoh, dia sudah memohon di Kuantan tetapi pada masa sama hantar juga permohonan ke Pekan.
"Ada juga yang kita belum keluarkan cek tetapi sudah buat permohonan baharu. Ini agak meragukan dan kita akan membuat siasatan terperinci sebelum meluluskan sesebuah permohonan," katanya.
Wan Abdul Wahid berkata, pihaknya mempunyai pangkalan data untuk membuat semakan terhadap permohonan dan pada masa sama merujuk kepada ketua kampung atau Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bagi pengesahan.
"Pengesahan ini penting bagi memastikan mereka yang benar-benar layak mendapat bantuan. Sebab itu juga kita periksa dengan teliti untuk menghalang cubaan penipuan.
"Ada pemohon tidak menipu tetapi kita anggap tidak layak kerana berpendapatan antara RM7,000 dan RM8,000 sebulan. Kita ada terimanya dan kita lihat jenis permohonan, mungkin kalau untuk melanjutkan pengajian Islam, kita beri sedikit," katanya.
Beliau turut menasihatkan pemohon bantuan zakat supaya jujur dalam membuat permohonan terutama tidak menyembunyikan sebarang fakta yang diperlukan MAIP.
"Kita ada macam-macam cara untuk memeriksa setiap permohonan bagi mengelak berlaku penipuan dan memastikan bantuan diberi kepada kumpulan asnaf yang asli dan benar-benar memerlukan," katanya.
Wang zakat 'lesap' dan ada `orang tengah' yang mengambil kesempatan menjejaskan penyaluran bantuan kepada golongan yang memerlukan. Ikuti siri seterusnya, esok.