Rabu, 9 September 2015 | 12:02am

Dicabar Gua Air Mata Dayang


SELEPAS menjelajah Gua Hari Malaysia, rasanya tidak lengkap jika tidak menikmati keindahan alam di Gua Air Mata Dayang iaitu kira-kira satu kilometer dari Gua Seribu Cerita di Merapoh, Pahang.

Gua Air Mata Dayang terletak kira-kira 50 meter dari jalan Merapoh-Gua Musang, Kelantan dan pengunjung perlu melalui kawasan rumah penduduk serta berjalan melalui kebun buah-buahan untuk sampai ke kaki gua.

Gua Air Mata Dayang itu juga dimasukkan ke dalam kategori gua yang mencabar, tetapi tidak sehebat Gua Hari Malaysia. Pengunjung hanya perlu meredah laluan air menggunakan tiub untuk sampai ke tahap yang dibenarkan, kira-kira 150 meter dari tempat permulaan.

Jika Gua Hari Malaysia memerlukan peserta meredah, memanjat dan merangkak untuk sampai ke titik pertemuan, Gua Air Mata Dayang pula bergantung sepenuhnya kepada kemahiran mendayung menggunakan tiub.

SESI bergambar sebelum menjalankan aktiviti 'tubing'. - Foto NSTP
SESI bergambar sebelum menjalankan aktiviti 'tubing'. - Foto NSTP

Aktiviti 'tubing' atau aktiviti 'water rafting' ini menarik kerana sepanjang perjalanan meredah kegelapan, pengunjung boleh menikmati keunikan bunyi air menitik di dinding gua serta sesekali bunyi kelawar terbang.

Memang agak memenatkan kerana terpaksa mendayung menggunakan kedua-dua belah tangan, tetapi apabila sampai ke titik pertemuan atau penghujung gua yang bersambung dengan laluan bawah tanah, terbukti ia memang berbaloi.

Betapa indahnya stalaktit dan stalagmit yang terbentuk di dinding gua. Jurupandu rombongan media yang menyertai kempen Merapoh Forest Run 2015, Sabri Zul menunjukkan contoh bagaimana gua batu kapur ini berfungsi sebagai penyimpan air.

PENGUNJUNG dapat menikmati keunikan bunyi air menitik di dinding gua serta bunyi kelawar terbang ketika berada di dalam Gua Air Mata Dayang. - Foto NSTP
PENGUNJUNG dapat menikmati keunikan bunyi air menitik di dinding gua serta bunyi kelawar terbang ketika berada di dalam Gua Air Mata Dayang. - Foto NSTP

Dinding gua yang disimbah air terus kering, seperti span menyerap air. Itu membuktikan peranan bukit batu kapur sebagai pemampan bagi mengimbangi tuntutan alam semula jadi.

Pada waktu hujan atau banjir, batu kapur akan menyerap air sebanyak mungkin dan apabila tiba waktu panas, air itu akan dikeluarkan sekali gus mengimbangi putaran alam serta kawasan tadahan hujan.

Ketika berada di penghujung gua, kami diarahkan supaya diam dan mematikan lampu suluh yang dipasang pada topi keselamatan. Sepanjang tempoh lima minit bergelap di dalam gua, cukup jelas kedengaran bunyi air menitik dari dinding dan bumbung gua.

PENGUNJUNG terpaksa mendayung menggunakan tangan ketika berada di dalam Gua Air Mata Dayang. - Foto NSTP
PENGUNJUNG terpaksa mendayung menggunakan tangan ketika berada di dalam Gua Air Mata Dayang. - Foto NSTP

Bagi yang boleh berenang, ini juga peluang terbaik untuk berenang di dalam satu-satunya gua di Merapoh yang mempunyai sungai bersaiz agak besar. Disebabkan sungai itu tidak mengalir, kadar apungan berbeza jika berenang di sungai biasa yang mengalir.

Walaupun pengunjung hanya dibenarkan berada pada jarak 150 meter saja dari pintu masuk, tetapi laluan sebenar gua itu sebenarnya jauh lebih dalam. Pelawat tidak dibenarkan melebihi had ini kerana hanya penyelam profesional saja dibenarkan memasuki laluan bawah air yang bersambung jauh ke dalam gua.

Ketika eksplorasi media kali ini, paras air sungai di Gua Air Mata Dayang ini rendah berbanding paras normal atau musim hujan dengan ketinggian air mampu mencecah hingga ke bumbung gua. Bahkan, ketika Pantai Timur dilanda banjir teruk pada akhir tahun 2014, kawasan itu ditenggelami air dan langsung tidak boleh dimasuki.

Sehingga kini, tiada mana-mana pihak yang mengesahkan kenapa gua ini dinamakan Air Mata Dayang, tetapi berdasarkan cerita lisan beberapa penduduk kampung, mereka mendakwa ia berkaitan dengan kisah sedih seorang puteri yang bernama Dayang.

Dayang dikatakan bersedih menunggu kekasih hati yang tidak pulang selepas keluar berperang dan dipercayai terbunuh. Ada yang mengatakan Dayang itu adalah seorang permaisuri yang menangis kerana menunggu puteranya hilang di medan perang.

Tangisan yang berlarutan untuk tempoh lama itu menyebabkan air mata bertakung di kawasan gua berkenaan yang dikatakan pernah menjadi lokasi perkampungan suatu ketika dulu.

Apa-apa pun kisah lisan yang dikongsi, Gua Air Mata Dayang perlu terus dikomersialkan dan sesuai untuk dikunjungi pengunjung walaupun ia dikategorikan sebagai antara gua yang mencabar di Merapoh. Cuma soal keselamatan seperti jaket keselamatan, topi lengkap lampu suluh perlu sentiasa ada serta memerlukan bimbingan jurupandu berpengalaman.

Berita Harian X