Sabtu, 5 September 2015 | 12:10am

Kahwin lambat punca kesuburan menurun

PELBAGAI sebab menjadi punca yang menyumbang kepada kurang minat pasangan untuk mendapatkan zuriat awal.
PELBAGAI sebab menjadi punca yang menyumbang kepada kurang minat pasangan untuk mendapatkan zuriat awal.

BERBINCANG mengenai kesuburan pada abad ini agak kompleks. Faktor bukan disebabkan oleh ketidaksuburan wanita semata-mata, sebaliknya ia disumbangkan oleh pelbagai sebab lain.

Pertumbuhan ekonomi menjadikan individu sibuk mengejar kerjaya, memberi tumpuan penuh pada tugas berbanding membina sebuah keluarga sebaik menamatkan pengajian masing-masing.

Faktor ini adalah antara punca yang dilihat menyumbang pada kurangnya minat pasangan untuk mendapatkan zuriat lebih awal selain lebih suka hidup tanpa dibebani tanggungjawab tambahan.

GWEN (bukan nama sebenar) adalah seorang wanita bekerjaya dan beliau berkahwin dengan Ben (bukan nama sebenar) ketika berusia 32 tahun. Ben pula tiga tahun lebih tua daripadanya.

Pada awal perkahwinan, mereka sepakat untuk tidak mempunyai anak dan mahu mengutamakan kerjaya dan kehidupan berdua. Selepas tiga tahun melayari bahtera perkahwinan, mereka mengubah fikiran dan mula mahukan cahaya mata.

Mereka tidak pernah menyangka usaha untuk mendapatkan anak adalah sukar. Setelah dua tahun mencuba, pada usia 37 tahun, Gwen mula mendapatkan bantuan profesional kerana sudah putus asa. Setelah mendapatkan rawatan daripada pakar perubatan, Gwen disahkan mengalami masalah kemandulan.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kemandulan ditakrifkan sebagai ketidakmampuan pasangan yang aktif secara seksual, tanpa menggunakan kontrasepsi untuk mengandung dalam tempoh satu tahun.

Kisah Gwen hanyalah secebis daripada situasi sebenar yang berlaku di negara ini. Seperti juga Gwen, ramai lagi wanita di negara ini yang tidak mahu mendapatkan bantuan lebih awal.

Perunding Obstetrik dan Pakar Ginekologi Hospital Manipal Klang, Dr A Baskaran, berkata satu daripada enam pasangan di negara ini mengalami masalah kemandulan.

"Kadar kemandulan di Malaysia dianggarkan sekitar 10 peratus hingga 15 peratus daripada keseluruhan populasi, iaitu melebihi 300,000 orang.

"Kadar kesuburan di negara ini menurun daripada tiga orang anak bagi setiap wanita pada tahun 2000 kepada 2.1 pada tahun 2012," katanya.

Mengulas lanjut, Dr Baskaran berkata, antara faktor yang menjadi punca utama kemandulan ialah faktor umur dan fizikal.

"Bagi faktor umur, kesuburan berkait rapat dengan usia lelaki dan wanita. Kita mempunyai tempoh kesuburan tersendiri. Bagi wanita, kesuburan berkurangan selepas berumur 30 tahun.

"Nisbah kesuburan berkurangan sebanyak separuh bagi wanita yang berusia 35 tahun berbanding dengan yang berusia 31 tahun.

"Semakin meningkat usia, nisbah kesuburan semakin berkurangan dan apabila mencecah usia 38 tahun, tahap kesuburan akan jatuh dengan mendadak," katanya.

Dr Baskaran berkata, bagi lelaki pula, walaupun terdapat pengurangan kesuburan disebabkan usia meningkat, ia tidak ketara seperti yang berlaku pada wanita.

"Bagaimanapun, kesuburan berkurangan dengan banyaknya selepas berusia 70 tahun," katanya.

Tambahnya lagi, faktor fizikal turut memberi kesan pada tahap kesuburan.

"Faktor persekitaran seperti pencemaran, amalan merokok, aktiviti fizikal, faktor genetik dan pelbagai penyakit turut menjadi punca kesuburan merosot," katanya.

Dr Baskaran turut menegaskan, kegagalan pasangan mendapat anak bukan hanya disumbangkan oleh wanita.

Wanita sering dituduh sebagai punca kegagalan pasangan mendapat anak sedangkan hakikatnya, kata Dr Baskaran, seramai 30 peratus daripada lelaki di negara ini mengalami masalah kemandulan dan mempunyai masalah dalam pengeluaran serta fungsi sperma.

"Halangan yang berlaku pada saluran pembiakan lelaki juga boleh menjadi punca kemandulan dalam kalangan mereka. Bagi wanita pula, masalah berkaitan ovulasi menyumbang 30 peratus daripada punca kemandulan.

"Masalah lain yang mungkin terjadi ialah halangan tiub fallopio bagi wanita atau masalah rahim, servikal atau persetubuhan. Penyakit Ovari Polisistik biasanya dialami oleh wanita yang berusia 15 tahun hingga 30 tahun juga boleh menjadi punca," jelasnya.

Terdapat beberapa jenis rawatan yang boleh dilakukan bagi mengatasi masalah kemandulan.

Dr Baskaran berkata, antaranya adalah dengan melaksanakan teknik bantuan pembiakan untuk menambahkan peluang hubungan antara telur dan sperma.

"Menerusi teknik berkenaan, usaha ini akan menambahkan peluang persenyawaan. Sesetengah teknik menambahkan peluang penempelan telur yang sudah disenyawakan dalam uterus.

"Terdapat banyak teknik sebegitu yang digunakan hari ini, antaranya Permanian Intrauterine bagi Sperma (IUI), Persenyawaan In Vitro dan Pemindahan Embrio (IVF-ET) serta Penyuntikan Sperma Bersitoplasma (ICSI).

"Untuk mengetahui teknik yang sesuai, pasangan bermasalah dengan kesuburan perlu mendapatkan rawatan daripada pakar dan mengikuti pelan rawatan yang dicadangkan," katanya.

INFO:

Tip mencegah kemandulan

  • Pelajari ilmu seksual dan kesuburan
  • Elakkan pergaulan sosial tanpa batas dan penyakit jangkitan seksual
  • Jangan menangguh mendapatkan anak
  • Amalkan gaya hidup sihat - elak merokok, jauhi tekanan jiwa dan kerap bersenam
  • Dapatkan rawatan sewajarnya jika tidak sihat

Bila patut dapatkan bantuan?

1. Jika pasangan berusia lebih dari 30 tahun dan gagal selepas setahun mencuba.

2. Pada bila-bila masa suami dan isteri berasa bimbang mereka mungkin akan mengalami kesukaran untuk mengandung.

Berita Harian X