Sabtu, 5 September 2015 | 12:00am
ANEKA pilihan sate celop. - Foto Shiraz
ANEKA pilihan sate celop. - Foto Shiraz

Keenakan sate celup gandingan dua kaum

 LAPAN jenis rempah di pilih bagi membentuk adunan sebati kuah kacang. - Foto Shiraz
LAPAN jenis rempah di pilih bagi membentuk adunan sebati kuah kacang. - Foto Shiraz

BUMI makmur Melaka menghimpunkan pelbagai sajian dari pelbagai suku kaum dan etnik.

Perpaduan erat antara kaum mempengaruhi cara masakan serta penyediaan makanan sebagaimana sate celup yang dikatakan menyelitkan resipi asli masyarakat Cina dalam adunannya.

Restoran CelopCelop milik bersama Baharom Ahmad dan Douglas Soo Hye Chuan membuktikan penyatuan idea daripada resipi ibunda mampu melahirkan kelazatan rasa sate.

Baharom ketika ditemui di restorannya di Taman 1 Lagenda, Melaka, menyingkap rahsia di sebalik keenakan sate celup yang mengemukakan pilihan kuah kacang kisar.

"Sate celup ini asalnya dikenali sebagai luk-luk hampir sama dengan stimbot, tapi berbanding dicelur dalam kuah tomyam dan sup, sate ini dicelup dalam sos kacang berempah sebelum dimakan," katanya merujuk sate yang menawarkan pelbagai makanan laut, termasuk udang, ketam, sotong di samping daging, bebola ikan serta pelbagai jenis sayur.

Kata Baharom, beliau memperoleh resipi eksklusif itu daripada seorang wanita tua berbangsa Cina yang menetap di Bandar Hilir sebelum mengubah suai mengikut tuntutan cita rasa golongan Muslim.

BAHAROM Ahmad. - Foto Shiraz
BAHAROM Ahmad. - Foto Shiraz

Bagi membangkitkan selera, Baharom memilih teliti lapan jenis rempah bagi membentuk adunan sebati kuah kacang.

Semua rempah itu dimasak selama enam jam menggunakan mesin khas. Kebiasaannya sekali masak cukup untuk menjamu empat hingga lima pelanggan.

"Tapi supaya stok kuah tidak kehabisan, saya ubah ia dalam bentuk pes yang boleh dibancuh pada bila-bila masa diperlukan," katanya yang memberitahu sejak dibuka pada April tahun lalu, restorannya itu pernah dikunjungi pelancong asing yang ingin menikmati sate celup ala gaya Melaka.

Kuah kacang mengungguli kelazatan sate dan ia sama sekali tidak sama dengan rasa kuah sate malah berbeza dengan kuah rojak. Rempah dan kacang yang dikisar sebati melahirkan tekstur kuah yang pekat dengan aroma lazat dan menyengat.

"Panaskan kuah dan tunggu ia mendidih untuk mencelur sate. Setelah agak-agak lembut dagingnya, barulah dikeluarkan untuk dinikmati," katanya.

Tujuan menyediakan periuk besar dan dalam berbanding biasa ialah supaya kuah yang diisi separuh penuh tidak tumpah atau meleleh keluar apabila menggelegak.

Baharom berkata, mengikut menu asal, sate celup dimakan bersama roti dan timun tetapi ia kurang digemari kebanyakan pelanggan apabila mereka lebih suka meratahnya begitu saja.

SATE celop diletakkan di dalam peti dingin untuk mengekalkan kesegaran. - Foto Shiraz
SATE celop diletakkan di dalam peti dingin untuk mengekalkan kesegaran. - Foto Shiraz

Selain menjadi menu utama, Restoran CelopCelop turut menyajikan Asam Pedas Claypot (periuk tembikar) dengan pilihan ikan pari, ikan parang dan tenggiri resipi turun-temurun yang tidak kurang menerima sambutan hangat.

"Melaka terkenal dengan asam pedasnya menyebabkan saya menyelitkan masakan itu," katanya yang turut menyediakan pilihan kuih-muih, buah potong di samping masakan kampung yang lain.

Pelanggan juga boleh memilih sajian secara bufet pada harga RM25.90 bagi seorang dewasa, manakala kanak-kanak, dikenakan bayaran RM12.90, sementara ala carte mengenakan bayaran RM1 bagi secucuk sate.

RESTORAN CelopCelop di Taman Lagenda, Melaka. - Foto Shiraz
RESTORAN CelopCelop di Taman Lagenda, Melaka. - Foto Shiraz

INFO

  • Restoran CelopCelop
  • Lokasi: Taman 1 Lagenda, Melaka
  • Operasi: 12 tengah hari hingga 11 malam (Jumaat dibuka selepas jam 2 petang)

Berita Harian X