Khamis, 3 September 2015 | 12:06am

Pengorbanan ibu demi anak pekak

SEKILAS pandang, kanak-kanak berusia 11 tahun ini, Muhammad Taufayl Aiman Sulaiman, yang sedang dipimpin oleh ibunya menghadiri perjumpaan satu majlis tidak menunjukkan sebarang perbezaan dari segi perwatakan dengan rakan sebaya.

Namun, apa yang menarik perhatian adalah alat yang terselit pada telinga beliau yang kelihatan seakan alat bantuan pendengaran sering digunakan untuk perbualan secara bebas seperti telefon bimbit.

Apabila didekati, objek yang dipasang itu sebenarnya bukan seperti difikirkan sebaliknya ia adalah alat bantuan pendengaran ditanam dalam otak kanannya dan dipasang pada telinga Muhammad Taufayl sejak sembilan tahun lalu.

Di sebelah kiri telinga anak lelaki itu pula mengenakan alat bantuan pendengaran dikenali sebagai HA.

Menangkis tanggapan umum mengenai penampilan Muhammad Tufayl seakan 'makhluk asing', ibunya, Norziba Fazlina Abdul Ghani, 37, menegaskan objek dikenali sebagai koklea implan itu penting membantu pertuturan kanak-kanak mengalami masalah pendengaran seperti anaknya. 

Bertindak sebagai presiden Persatuan Ibu Bapa Anak Mengalami Masalah Pertuturan Malaysia (Hear Me), beliau berkata, maklum balas diberikan terhadap anak mengalami masalah pendengaran masih lagi kurang di negara ini dan ia perlu menunjukkan perubahan menerusi perkongsian maklumat sebagainya.

NORZIBA Fazlina bersama Muhammad Taufayl pada majlis Hari Raya Persatuan Ibu bapa Anak Bermasalah Pendengaran Malaysia (Hear Me). - Foto Saifullizan Tamadi
NORZIBA Fazlina bersama Muhammad Taufayl pada majlis Hari Raya Persatuan Ibu bapa Anak Bermasalah Pendengaran Malaysia (Hear Me). - Foto Saifullizan Tamadi

Sanggup berhenti sebagai jurutera, kata ibu gigih ini anak bermasalah pendengaran sering kali disalah erti kemampuan mereka untuk teruskan hidup seperti anak normal.

Pernah menangis tidak henti selama dua minggu mengenangkan nasib bakal dijalani anak lelakinya itu, kata Norziba Fazlina pengetahuan cetek membuatkan kebanyakan ibu bapa cepat melatah dan mengalah hingga membiarkan anak mereka tanpa mencari jalan penyelesaian.

"Pada mulanya, memang sukar untuk saya menerima kenyataan anak yang dilahir normal sebenarnya mengalami masalah pendengaran dan sekitar 2006, pendedahan mahupun bantuan untuk masalah ini tidak terlalu menggalakkan.

"Ujian penilaian doktor pernah menyatakan Muhammad Tufayl kehilangan 100 peratus pendengarannya bagaimanapun membangkitkan semangat untuk saya terus berjuang bersama-sama dengannya.

"Mengumpul segala kekuatan dan pengetahuan, saya mula mencari maklumat mengenai masalah dihadapi anak saya sejak lahir itu. Secara kebetulan saya melewati laman sesawang mengenai masalah pendengaran anak dan mula tahu mengenai penggunaan alat bantuan pendengaran atau HA," katanya ketika ditemui sempena majlis rumah terbuka Hear Me, di sini, baru-baru ini.

NORZIBA Fazlina sanggup bergadai bagi memastikan Muhammad Taufayl dapat mendengar dan menjalani kehidupan seperti kanak-kanak normal. - Foto Saifullizan Tamadi.
NORZIBA Fazlina sanggup bergadai bagi memastikan Muhammad Taufayl dapat mendengar dan menjalani kehidupan seperti kanak-kanak normal. - Foto Saifullizan Tamadi.

Berasal dari Kuantan, Pahang, wanita berkenaan mengakui khabar itu tidak dapat diterima suaminya memandangkan tiada dalam sejarah keluarga kedua-dua keluarga yang mengalami masalah pendengaran.

Norziba Fazlina berkata, pembabitan beliau secara maya dengan beberapa forum persatuan dari luar negara, termasuk Australia menerusi Internet akhirnya membuahkan hasil dan sedikit sebanyak pengetahuan diterima diadaptasikan untuk perkembangan harian anaknya.

"Berbeza di luar negara, bayi baharu lahir akan melalui rawatan saringan untuk menguji sebarang masalah seperti ini terutamanya. Tidak pula di negara kita lebih-lebih lagi di hospital kerajaan sebagainya.

"Apabila Muhammad Taufayl memasuki usia setahun, sikapnya yang kuat meragam dan tidak memberi maklum balas terhadap panggilan manja saya membuatkan saya mula khuatir terhadap pendengarannya.

"Apabila dibawa untuk dapatkan rawatan susulan, keempat-empat doktor ditemui memberikan jawapan tiada yang serius tentang perilaku anak saya sehinggalah saya dapatkan pendapat pakar," katanya hingga kini masih meneruskan penukaran idea dan pengalaman bersama ahli Hear Me.

Katanya, penggunaan HA banyak membantu dan meningkatkan perkembangan anak lelakinya itu. Dengan adanya alat itu, Muhammad Taufayl mula belajar untuk bersuara dan menyebut 'nak' sebagai perkataan sulungnya ketika memasuki usia dua tahun.

Biarpun terpaksa bergadai dan mencari perniagaan sambilan untuk menampung kos pemasangan alat bantuan pendengaran yang agak tinggi, kata Norziba Fazlina ia amat penting untuk membantu anak mengalami masalah itu.

"Untuk sepasang alat bantuan pendengaran memakan harga hampir RM6,000. Berbeza pula dengan koklea implan mencecah RM80,000 sebelah telinga. Jika ingin dapatkan bantuan daripada kerajaan, ia akan mengambil masa lama dan bersyarat.

"Jadi, sebagai ibu dan mengetahui betapa pentingnya penggunaan alat itu dalam membantu pertuturan anak, saya sanggup buat apa saja asalkan dia dapat gunakan alat itu seawal usia yang mungkin," katanya sambil menunjukkan koklea implan digunakan anaknya itu.

ALAT bantuan pendengaran yang dipasang di telinga kiri Muhammad Taufayl. - Foto Saifullizan Tamadi.
ALAT bantuan pendengaran yang dipasang di telinga kiri Muhammad Taufayl. - Foto Saifullizan Tamadi.

Sejak penggunaan itu, Muhammad Taufayl mampu bertutur menyusun perbualan hariannya bahkan ditempatkan ke sekolah biasa kerana kemampuannya untuk membaca seperti rakan seusianya.

Bersyukur kerana menemui jalan penyelesaian awal, katanya, selain mengharapkan keberkesanan alat itu, beliau juga mengamalkan didikan harian seperti anak normal dan banyak berkomunikasi dengan anak lelakinya itu.

"Adakalanya, terasa lucu bila mendengar penggunaan ayat dalam perbualan hariannya. Tetapi, saya akan merangsang anak untuk terus bercakap menggunakan gabungan ayat lebih kerap.

"Kita tidak boleh malu untuk mengajarnya bercakap. Memang pada mulanya agak payah untuk memahami cara betul tapi anak-anak sepertinya memerlukan sokongan ibu bapa untuk terus belajar dan menerokai dunia," katanya.

Perlu menggunakan perkataan secara berulangan dan dengan jelas, beliau juga kurang selesa menggunakan bahasa isyarat kerana mahu anaknya bertutur dengan lancar

Jelasnya, kesungguhan ibu bapa sendiri mendidik anak seperti itu boleh mencapai kejayaan dan hasilnya dapat dilihat pada Muhammad Taufayl, yang dilihat seperti anak normal.

Ia juga penting untuk memastikan anak istimewa ini tidak tersisih daripada dunia persekitarannya.

"Saya juga tidak mahu anak saya ketinggalan mendapat didikan baik dari sudut agama mahupun moral dan kelangsungan hidup. Jadi apabila dia salah, saya akan denda sama seperti adik-beradik lain.

"Setakat komunikasi cara kami bolehlah dia faham dan semakin hari dia sudah tahu menguruskan perihal sendiri," katanya.

"Di rumah, saya juga akan membantunya untuk mengulang kaji pelajaran dan apabila ada kesempatan, kami akan lakukan aktiviti luar bersama-sama seisi keluarga," katanya.

MUHAMMAD Taufayl mengakui emosinya terganggu dengan sikap masyarakat yang tidak dapat menerima kanak-kanak sepertinya.
MUHAMMAD Taufayl mengakui emosinya terganggu dengan sikap masyarakat yang tidak dapat menerima kanak-kanak sepertinya.

Perkembangan dunia anak yang menghadapi masalah pendengaran adalah berbeza dan mereka memerlukan lebih perhatian.

Anak yang dalam keadaan senyap dan tiada hubungan dua hala dengan orang sekeliling tidak seharusnya dibiarkan bagi mengelak wujud jurang pemisah antara mereka.

  Justeru, Norziba Fazlina berkata, masyarakat perlu mengambil inisiatif untuk mengambil berat mengenai budaya hidup anak bermasalah pendengaran bagi memudahkan hubungan sosial dan membolehkan mereka berinteraksi dengan lebih berkesan.

  "Ada yang tidak selesa apabila berinteraksi dengan anak seperti ini. Tetapi, cara untuk menegur mereka juga ada cara tersendiri iaitu menyentuh bahu atau paha ketika duduk. Malangnya ramai yang tidak tahu budaya ini.

  "Sikap anak ini yang suka mengetuk meja umpamanya untuk mendapat perhatian guru, juga dilihat sebagai agresif. Jika guru tidak faham, pelajar tidak mendapat perhatian sepatutnya," katanya.

Norziba Fazlina mengakui, ada ketikanya beliau terkesan dengan reaksi masyarakat terhadap masalah dihadapi anaknya itu, namun memilih untuk mengabaikan perasaan itu sebaliknya cuba menyampaikan pesanan secara halus tanpa menyinggung perasaan anak dan pihak lain.

"Kadang-kadang, apabila kami keluarga ada saja pandangan mata yang memandang pelik pada alat yang digunakan. Ada juga yang menasihatkan saya untuk menggunakan alat bantuan pendengaran dari rona kulit supaya ia tidak jelas kelihatan.

"Saya tangkis semua perasaan negatif itu dan cuba untuk selesaikan hal ini dengan cara bijak. Sekiranya saya cepat melatah, ia memberikan kesan tidak sihat kepada anak saya.

"Pada masa saya, saya juga mahu anak saya terbiasa dengan reaksi diberikan kawan dan masyarakat luar terhadap dirinya supaya apabila besar nanti dia biasa dengan persekitaran seperti ini," katanya yang tidak menolak pengakuan Muhammad Taufayl pernah dibuli di sekolah.

KANAK-KANAK beratur mengambil duit raya pada majlis Hari Raya Persatuan Ibu bapa Anak Bermasalah Pendengaran Malaysia (Hear Me). - Foto Saifullizan Tamadi.
KANAK-KANAK beratur mengambil duit raya pada majlis Hari Raya Persatuan Ibu bapa Anak Bermasalah Pendengaran Malaysia (Hear Me). - Foto Saifullizan Tamadi.

Oleh itu, dalam usaha beliau untuk mendekati lebih ramai lagi ibu bapa dan masyarakat mengenai masalah pendengaran itu, Norziba Fazlina sedia berkongsi pengalamannya selama 11 tahun itu walaupun beliau bukan seorang pakar.

"Memang saya tidak pernah mendapatkan pendidikan profesional untuk menangani masalah ini, tapi mereka yang pakar juga oleh terlepas pandang isu sebegini.

"Jadi, menerusi Hear Me, saya berharap dapat mendekati lebih ramai ibu bapa dan berkongsi setiap pengalaman sekali gus menyampaikan maklumat sepenuhnya mengenai masalah dihadapi anak seperti ini.

"Malah, dengan adanya persatuan ini, kami berharap untuk mengumpul dana dalam membantu mengurangkan bebanan ditampung ibu bapa mendapatkan rawatan pendengaran anak," katanya.

MUHAMMAD Taufayl mengakui emosinya terganggu dengan sikap masyarakat yang tidak dapat menerima kanak-kanak sepertinya.
MUHAMMAD Taufayl mengakui emosinya terganggu dengan sikap masyarakat yang tidak dapat menerima kanak-kanak sepertinya.

"Terima keadaan kami dengan hati terbuka" - Muhammad Taufayl

Muhammad Taufayl ternyata gembira mempunyai ibu yang penyayang dan prihatin terhadap masalah pendengarannya.

Katanya, beliau amat terharu kerana ibunya memberikan peluang untuk mendengar, belajar dan bertutur sehingga berada dalam keadaan sekarang.

Gemar membaca dan bermain dengan permainan video, Muhammad Taufayl berkata, alat bantuan pengedaran itu membolehkannya mengenali dunia persekolahan dan persekitaran.

"Saya lebih suka mengenakan koklea implan memandangkan pendengaran telinga kanan lebih jelas berbanding kiri yang mengenakan HA. Penggunaan koklea implan juga mudah untuk dijaga dan ia tidak rumit, " katanya.

Beliau berkata, penggunaan alat itu juga membolehkan beliau belajar berkomunikasi dan bertutur dengan ibu, rakan dan sesiapa saja tanpa sebarang masalah.

"Cuma, ada kalanya saya kurang selesa apabila rakan sebaya memberikan saya pelbagai gelaran pelik. Mujur saya ada cara untuk mengabaikannya dengan mencabut alat pendengaran saya," katanya.

Tidak pernah mempertikaikan masalah dihadapi, kanak-kanak ini bagaimanapun mengakui terganggu emosi disebabkan penerimaan masyarakat.

"Masalah pendengaran tidak nampak pada mata kasar dan kebanyakan orang sukar untuk menerima kekurangan kami. Sebab itu kami selesa berada dalam kelompok sendiri kerana hanya kami saja tahu perasaan perlu dilalui.

Memang saya tidak pernah pertikai keadaan diri, cuma besar harapan masyarakat dapat menerima kami dengan hati terbuka tanpa diskriminasi.

"Mungkin, apabila semakin ramai anak dilahirkan seperti saya, masyarakat akan mula pandang serius masalah ini dan menerima komuniti anak masalah pendengaran sebagai sebahagian daripada mereka," katanya.

Berita Harian X