Isnin, 24 Ogos 2015 | 12:02am
ROHANI (empat dari kanan) berselfie dengan kakitangan kementeriannya sempena himpunan bulanan dan pelancaran Hari Wanita Kebangsaan 2015 di Dewan Nur, KPWKM, Putrajaya. - Foto Owee Ah Chun.
ROHANI (empat dari kanan) berselfie dengan kakitangan kementeriannya sempena himpunan bulanan dan pelancaran Hari Wanita Kebangsaan 2015 di Dewan Nur, KPWKM, Putrajaya. - Foto Owee Ah Chun.

Wanita Malaysia cekal, mampu galas pelbagai jawatan



PENGIKTIRAFAN, penghargaan dan sumbangan wanita amat relevan kerana dianggap sebagai tulang belakang bagi membantu memperkasa pelbagai agenda termasuk membangun dan memajukan negara. Justeru, sempena Hari Wanita Kebangsaan 2015, bertemakan 'Raikan Kegemilangan', yang disambut hari ini, wartawan BH, NORHAFZAN JAAFAR, menemuramah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, mengenai aspirasi dan hala tuju dalam memartabatkan golongan itu ketika ini dan pada masa akan datang.

S: Peranan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sudah jelas untuk memperkasa peranan wanita dalam pelbagai bidang. Sejauh mana, fokus terhadap pembangunan wanita setakat ini?

J: Kementerian sedang memperkukuh dan menjenamakan semula fungsi Majlis Penasihat Kebangsaan Mengenai Integrasi Wanita Dalam Pembangunan (NACIWID) menerusi penubuhan Majlis Penasihat dan Perunding Wanita. Antara lain majlis itu berfungsi sebagai penasihat kepada kerajaan membabitkan proses penggubalan dasar bagi meningkatkan keupayaan wanita dalam pelbagai sektor. Majlis ini juga memainkan peranan penting sebagai badan pemikir, perunding, pemantau dan penilai terhadap kecekapan serta keberkesanan pelaksanaan Dasar Wanita Negara dan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita (PTPW). Menerusi majlis ini, pelbagai aspek termasuk isu hak kesaksamaan gender juga dapat diformulasikan di peringkat tempatan dan antarabangsa.

S: Bagaimana Majlis Penasihat dan Perunding Wanita ini bergerak dan signifikan dalam mewujudkan daya saing wanita di negara ini?

J: Majlis ini dianggotai golongan profesional meliputi 13 bidang yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing bagi membantu memberi input dan segala perancangan pembangunan berkaitan agenda wanita supaya berada pada landasan betul. Mereka yang dipilih mewakili bidang antaranya pendidikan, seni, sukarelawan, sukan dan media. Selama ini mereka lantang dalam forum tertentu yang kita terlepas pandang. Jadi patut kita gunakan kelantangan idea bernas mereka untuk kebaikan terhadap pembangunan wanita. Pada masa sama, hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan memberi watikah perlantikan anggota itu sempena perhimpunan Hari Wanita Kebangsaan 2015, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

ROHANI menyampaikan amanat pada perhimpunan bulanan KPWKM di Dewan Nur, KPWKM, Putrajaya. - - Foto Owee Ah Chun.
ROHANI menyampaikan amanat pada perhimpunan bulanan KPWKM di Dewan Nur, KPWKM, Putrajaya. - - Foto Owee Ah Chun.

S: Sejauh mana Indeks Prestasi Utama (KPI), yang ditetapkan KPWKM mencapai sasarannya?

J: KPI kementerian pada tahun ini antara lain ialah untuk mencapai sasaran 55 peratus pembabitan wanita dalam sektor pekerjaan negara. Kini peratusan penyertaan dalam sektor pekerjaan wanita dan lelaki hampir sama dengan peratusan wanita dalam sektor pekerjaan ialah sebanyak 53.4 peratus. Kita juga menyasarkan 30 peratus wanita dalam sektor swasta berada dalam kelompok pembuat keputusan, pada tahun depan. Jika dilihat dalam sektor kerajaan, 33.6 peratus wanita sudah dilantik sebagai ketua setiausaha, timbalan ketua setiausaha, ketua pengarah, ketua pengarah eksekutif dan pengarah wanita. Bagaimanapun, sasaran di sektor swasta belum dicapai dan agenda ke arah itu perlu diberi keutamaan kerana sehingga ini, hanya 15 peratus wanita berada di peringkat pembuat keputusan. Tetapi saya yakin menjelang tahun depan, kita mampu mencapai KPI itu.

S: Apa langkah kementerian untuk meningkatkan 30 peratus pembabitan wanita sebagai pembuat dasar dalam sektor swasta?

J: Antara usahanya, ialah kerajaan menetapkan setiap ahli lembaga pengarah dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan perbadanan negeri melantik sekurang-kurangnya seorang wanita sebagai ahli lembaga pengarah. Saya yakin, jika syarikat swasta mematuhi arahan itu, kita akan dapat mencapai sasaran 30 peratus menjelang 2016. Sebelum ini, masalah utama ialah mereka tidak mempunyai calon wanita yang layak sebagai lembaga pengarah. Oleh itu, kami menyediakan program khusus bagi melatih wanita sebagai ahli lembaga pengarah. Kami mahu melengkapkan mereka dengan ilmu sebagai ahli lembaga pengarah yang terbaik. Mereka bukan sekadar membaca minit mesyuarat, laporan kewangan dan membuat analisis pasaran, sebaliknya lebih berkeyakinan ketika menyuarakan pendapat dan sebagainya. Sehingga ini, lebih 900 wanita sudah dilatih sebagai ahli lembaga pengarah. Bagaimanapun, kita menghadapi masalah di mana mahu menempatkan mereka. Sepatutnya, mereka tidak mempunyai alasan kerana kita sudah ada lebih 900 calon yang bukan calang-calang dalam pelbagai peringkat umur dan pengalaman.

S: Apa kelebihan wanita untuk membolehkan mereka mampu berada di peringkat pembuat keputusan?

J: Mereka seharusnya mempunyai kepakaran mengikut kategori masing-masing. Sesetengah lembaga pengarah perlukan anggotanya yang pakar dalam bidang perundangan, kewangan atau individu yang mahir dalam selok-belok dasar. Jadi kami sudah mempunyai kategori tertentu bagi calon wanita yang dilatih. Kami turut mengingatkan mereka supaya tidak segan, sebaliknya cuba menonjolkan diri dan kelebihan masing-masing supaya pihak atasan yakin dengan kebolehan mereka. Setakat ini, ada wanita yang kami latih mempunyai keyakinan diri yang tinggi dan sebilangan mereka berjaya menempatkan diri sebagai ahli lembaga pengarah atas usaha sendiri.

ROHANI (tengah) bergambar dengan penerima anugerah kecemerlangan dan sijil penghargaan kementeriannya pada himpunan bulanan dan pelancaran Hari Wanita Kebangsaan 2015 di Dewan Nur, KPWKM, Putrajaya. - Foto Owee Ah Chun.
ROHANI (tengah) bergambar dengan penerima anugerah kecemerlangan dan sijil penghargaan kementeriannya pada himpunan bulanan dan pelancaran Hari Wanita Kebangsaan 2015 di Dewan Nur, KPWKM, Putrajaya. - Foto Owee Ah Chun.

S: Sebelum ini, kerajaan menubuhkan 30 Percent Club. Sejauh mana pencapaian kelab berkenaan bagi menonjolkan keupayaan wanita?

J: Malaysia adalah antara lapan negara di dunia yang mempunyai '30 Percent Club.' Ia menggabungkan pembabitan lelaki dan wanita dalam satu kumpulan. Kelab ini belum banyak diwujudkan di dunia. Menerusi kelab ini, ia menggabungkan pembabitan awal yang dijalankan secara agresif untuk mengiktiraf wanita dalam pembuat dasar supaya mereka diberikan pertimbangan yang sewajarnya. Kita pilih tokoh yang hebat sebagai perintis menyertai kelab berkenaan, iaitu bekas Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti (SC), Tan Sri Zarinah Anwar; Pengerusi Maybank, Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor dan Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Jeffrey Cheah yang akan bersama-sama memainkan peranan bagi memastikan wanita mendapat ruang dalam sektor swasta sebagai pembuat dasar.

S: Kewujudan wanita pada dekad ini semakin menyerlah. Sejauh mana Datuk Seri berpuas hati dengan tahap pembangunan wanita di negara ini secara umum?

J: KPWKM sangat aktif dan menjadi peneraju untuk meningkatkan taraf hidup kumpulan isi rumah 40 peratus terbawah (B40). Berdasarkan kaji selidik, golongan wanita dan ibu tunggal paling ramai dalam golongan ini. Menerusi program 1Azam, misalnya sebanyak 80 peratus peserta adalah wanita. Program itu berjaya meningkatkan 56 peratus taraf hidup golongan wanita. Jika dulu pendapatan mereka tidak tetap, iaitu hanya sekitar RM300 sebulan, kini mampu memperoleh pendapatan antara RM40,000 hingga RM60,000 sebulan. Jika dilihat latar belakang mereka hanya wanita biasa dengan kelulusan di peringkat asas, sekadar tahu membaca dan menulis. Bagaimanapun, selepas mencungkil potensi mereka berjaya digilap dan sudah memiliki kemahiran. Paling membanggakan, dalam lima tahun 1Azam diperkenalkan, kita sudah nampak kesungguhan wanita sehingga ada yang sudah mampu meneroka pasaran antarabangsa.

S: Apakah cabaran sebenar yang dihadapi wanita sekarang?

J: Dulu cabaran dihadapi wanita ialah bagaimana untuk meningkatkan keyakinan diri. Dalam program 1Azam, kita wajibkan semua peserta menyertai kursus motivasi dan keyakinan diri untuk membolehkan mereka menonjolkan diri, berani bercakap dan sebagainya. Kita juga sediakan latihan kewangan bagi menguruskan kewangan sendiri, selain beri kemahiran untuk membantu supaya lebih berdaya saing meneroka pasaran.

ROHANI (dua dari kiri) beramah mesra dengan penerima sijil penghargaan pada perhimpunan bulanan dan pelancaran Hari Wanita Kebangsaan 2015 di Dewan Nur, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Putrajaya. - Foto Owee Ah Chun
ROHANI (dua dari kiri) beramah mesra dengan penerima sijil penghargaan pada perhimpunan bulanan dan pelancaran Hari Wanita Kebangsaan 2015 di Dewan Nur, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Putrajaya. - Foto Owee Ah Chun

S: Pada pandangan Datuk Seri dari sudut manakah kekuatan wanita dalam mencabar diri untuk seiring dengan pembangunan negara?

J: Wanita Malaysia boleh disifatkan sebagai cekal dan mampu memikul pelbagai tanggungjawab dalam satu masa. Kecekalan inilah yang banyak membantu mereka untuk pergi lebih jauh terutama kerana memikirkan peranan mereka terhadap keluarga dan anak-anak sehingga menjadikan mereka lebih kuat. Mereka juga berani mencuba kerana mempunyai keyakinan diri yang tinggi. Bukan disifatkan sebagai mengambil risiko tetapi mereka berani membuat keputusan selepas merancang sesuatu perkara dengan betul. Di negara ini, golongan wanita bertuah kerana keputusan dan dasar kerajaan amat menyebelahi wanita sehingga membantu mereka melangkah lebih jauh. Banyak dasar kerajaan membawa wanita seiring dalam arus pembangunan. Malah, wanita berani menceburi bidang yang jarang diceburi golongan ini seperti minyak dan gas kerana mempunyai keyakinan diri yang tinggi berikutan taraf pendidikan kita yang sudah semakin baik dan setaraf antara lelaki dan perempuan.

S: Bagaimana Datuk Seri melihat pencapaian wanita di peringkat antarabangsa?

J: Kita berbangga dengan kedudukan dan pencapaian mereka di peringkat antarabangsa apabila banyak anugerah yang diterima. Kita memiliki tokoh wanita yang dikenali di peringkat antarabangsa seperti Gabenor Bank Negara (Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz), bekas Ketua Pengarah Agensi Angkasa Negara (Angkasa), Datuk Mazlan Othman yang diiktiraf di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam bidang aeronautikal selain Pengasas MERCY, Datuk Dr Jamilah Mahmood yang diiktiraf dalam bidang bantuan kemanusiaan oleh PBB. Ini pencapaian diraih wanita Malaysia yang menunjukkan mereka sudah melangkah jauh. Malah, ramai juga wanita Malaysia saya temui yang bekerja di pejabat PBB di luar negara.

S: Bagaimana Datuk Seri melihat wanita Malaysia dalam tempoh lima tahun akan datang?

J: Dengan dasar dan pelan tindakan yang ada selain peruntukan bajet dan Rancangan Malaysia Ke-11 yang memperbanyakkan program wanita sebagai kumpulan sasar, saya yakin dengan perkembangan hebat yang bakal ditunjukkan wanita Malaysia. Apa yang penting setiap dasar yang diolah mendapat sokongan dan maklum balas menggalakkan daripada golongan sasar terbabit. Jika lihat secara keseluruhannya, mereka mendapat manfaat daripada dasar kerajaan yang sentiasa menjaga kesejahteraan dan kebajikan wanita. Negara juga sering menjadi contoh kepada negara lain yang tertarik dengan pelaksanaan dasar kepada golongan wanita.

SEBAHAGIAN warga Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyanyi sambil mengibar Jalur Gemilang pada himpunan bulanan dan pelancaran Hari Wanita Kebangsaan 2015 di Dewan Nur, KPWKM, Putrajaya. - Foto Owee Ah Chun.
SEBAHAGIAN warga Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyanyi sambil mengibar Jalur Gemilang pada himpunan bulanan dan pelancaran Hari Wanita Kebangsaan 2015 di Dewan Nur, KPWKM, Putrajaya. - Foto Owee Ah Chun.

S: Apakah signifikan pemilihan "Raikan Kegemilangan" sebagai tema sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2015?

J: Wanita tunjang atau tulang belakang dalam membantu merealisasikan cita-cita negara dalam aspek politik, ekonomi, pendidikan mahu pun sosial. Pemilihan tema ini sebagai menghargai sumbangan dan jasa mereka dalam memastikan kestabilan dan kemajuan negara. Di sebalik kelembutan mereka tersirat ketabahan yang mampu menyumbang kepada kemajuan dan keharmonian negara. Jika ingin dicatatkan satu persatu mengenai pencapaian wanita sejak dulu hingga sekarang memang banyak. Sudah beberapa dekad kementerian ini wujud dan evolusinya juga menyaksikan banyak perubahan. Sekarang masanya kita menilai mengenai segala usaha dan pencapaian bagi meraikan kegemilangan serta pencapaian berkenaan. Tetapi ia juga tidak akan berakhir di situ kerana kami juga mempunyai lebih banyak cabaran dan KPI yang perlu dicapai. Sempena Hari Wanita, kementerian mengadakan pameran untuk memberikan lebih banyak maklumat mengenai pencapaian wanita di negara ini dan ke mana hala tuju kita seterusnya.

S: Apa harapan dan pesanan Datuk Seri kepada semua wanita di negara ini?

J: Harapan saya supaya mereka sentiasa bersatu padu, berganding bahu dalam membantu kerajaan dan kementerian ini memberikan yang terbaik demi kepentingan wanita di seluruh negara. Kami mengalu-alukan apa saja ruang yang ada untuk mereka memberikan maklum balas supaya semua suara dapat didengar dan pandangan dapat diterima demi kepentingan negara. Saya berharap wanita di seluruh negara mampu meningkatkan azam dan semangat bagi memastikan daya saing sejajar dengan perjalanan kita menuju status negara maju. Yakin apa yang dilakukan kerajaan sekarang adalah terbaik untuk negara. Akhir kata, sambutlah hari wanita ini dengan 'Raikan Kegemilangan' atas segala usaha yang dilakukan.

Berita Harian X