Selasa, 18 Ogos 2015 | 12:09am

Mustazlee kejar status pelumba profesional dunia

MUSTAZLEE menjadikan pelumba basikal dari Australia, Richie Porte, sebagai idolanya. - Foto Rasul Azli Samad
MUSTAZLEE menjadikan pelumba basikal dari Australia, Richie Porte, sebagai idolanya. - Foto Rasul Azli Samad

SELEPAS berjaya menempatkan diri dalam pasukan berbasikal kebangsaan, Muhammad Mustazlee Ishak, kini mengejar status selaku pelumba profesional peringkat dunia.

Pelumba berusia 20 tahun dari Johor ini tekad untuk menggapai impian terbabit dalam masa dua tahun walaupun terpaksa melipat gandakan usaha demi mengejar hasrat itu seterusnya mengharumkan nama negara.

"Cita-cita saya untuk mendapat pengiktirafan dunia seperti mana pelumba lain. Kalau mereka boleh, kenapa saya tidak? Jadi, saya letakkan sasaran dalam masa dua tahun saya mampu menjadikan impian saya satu kenyataan.

"Tapi saya sedar untuk capai tahap itu agak sukar, untuk itu saya kena banyak sertai kejohanan ternama di luar, tingkatkan disiplin, berlatih lebih daripada orang lain," katanya ketika menceritakan mengenai masa depannya dalam sukan terbabit.

Mesra dipanggil Atan oleh keluarga dan rakan, Muhammad Mustazlee sejak kecil sememangnya suka berbasikal dan mula serius berkecimpung dalam sukan berbasikal ketika di Tingkatan Dua di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail, Johor.

MUHAMMAD Mustazlee Ishak atau lebih mesra dipanggil Atan oleh keluarga dan rakan, mula serius berkecimpung dalam sukan berbasikal ketika di Tingkatan Dua. - Foto Rasul Azli Samad
MUHAMMAD Mustazlee Ishak atau lebih mesra dipanggil Atan oleh keluarga dan rakan, mula serius berkecimpung dalam sukan berbasikal ketika di Tingkatan Dua. - Foto Rasul Azli Samad

Di situ, pelumba muda ini diberi latihan berterusan sehingga berada bersama pasukan Johor menerusi Program Johor Gemilang.

"Ketika di Johor, saya bersama program Johor Gemilang di bawah kendalian jurulatih, Muhamad Firdaus Daud dan dia banyak bantu saya, berpesan kepada saya untuk belajar semula atas segala kesilapan yang dilakukan dalam setiap perlumbaan.

"Bagi saya pula, setiap kali latihan saya akan letakkan dalam fikiran untuk menang," katanya berkongsi sedikit petua dan tunjuk ajar.

Berikutan prestasi memberangsangkan, dia kemudiannya diserap ke dalam skuad negara.

Pada Sukan Malaysia (SUKMA), Perlis tahun lalu, Muhammad Mustazlee meraih tiga pingat menerusi Ujian Masa Individu (gangsa), Ujian Masa Berpasukan (perak) dan Perlumbaan Lebuh Raya (gangsa). Beliau juga mewakili negara pada Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di Korat, Thailand untuk kategori bawah 23 tahun pada 14 dan 15 Februari lalu.

Seperti orang lain, Mustazlee juga mempunyai 'seseorang' untuk dijadikan pencetus semangat, dia memilih pelumba basikal dari Australia, mewakili pasukan Sky, Richie Porte, sebagai idola.

Baginya, pelumba itu mempunyai kepakaran mendaki bukit, teknik pecutan yang bagus serta gaya kayuhan menarik.

"Idola saya adalah Porte kerana dia mempunyai pelbagai kepakaran dan pernah meraih banyak kemenangan bersama pasukan profesional. Saya akan kaji cara kayuhan dia dan cuba belajar serta cuba melakukannya di dalam trek.

MUSTAZLEE diserapkan ke pasukan elit kebangsaan ketika berusia 19 tahun. - Foto Rasul Azli Samad
MUSTAZLEE diserapkan ke pasukan elit kebangsaan ketika berusia 19 tahun. - Foto Rasul Azli Samad

Selain itu, untuk berjaya dalam bidang sukan saya kena menjaga pemakanan supaya terus kekal cergas untuk berlumba," katanya yang diserapkan ke pasukan elit kebangsaan ketika berusia 19 tahun.

Pada masa yang sama, anak kedua daripada lima beradik ini juga bercita-cita untuk menjadi seorang anggota polis kerana inginkan masa depan yang lebih cerah dan berkhidmat untuk negara, serta memasang hasrat untuk menjadi jurulatih kelak.

"Saya harap mampu mencapai segala yang dihajatkan, namun buat masa sekarang saya perlu memberikan tumpuan penuh kepada latihan dan kejohanan, termasuklah mengharumkan nama negara di peringkat dunia," katanya.

PROFIL:

  • Nama: Muhammad Mustazlee Ishak
  • Umur: 20 tahun
  • Tarikh dan tempat lahir: 30 April 1995 di Hospital Muar, Johor
  • Sukan: Berbasikal
  • Nama ibu bapa: Saripah Ahmad Chupri, 48 dan Ishak Bidin, 50

    Adik-beradik: Mustaza, 23; Muzamil, 16; Norzeha, 12 dan Nurul Huda, 5

  • Pendidikan:
    • Sekolah Kebangsaan Parit Setongkat (Tahun 1-3)
    • Sekolah Kebangsaan Ismail Satu (Tahun 4-6)
    • Sekolah Menengah Kebangsaan St Andrew (Tingkatan Satu)
    • Sekolah Sukan Tengku Mahkota Ismail (SSTMI) (Tingkatan 2 hingga 5)

Antara pencapaian:

2014

  • SUKMA Perlis Ujian Masa Individu (Gangsa), Ujian Masa Berpasukan ( Perak), Perlumbaan Lebuh Raya (Gangsa)
  • Kejohanan Lumba Basikal GP Kebangsaan Sirkit Akhir 2014, Melaka
  • Ujian Masa Individu Remaja (Perak),
  • Perlumbaan Lebuh Raya Remaja (Perak), Keseluruhan Lelaki (Emas)
  • Cabaran Berbasikal Remaja Diraja Seri Menanti 2014 Perlumbaan Lebuh Raya Lelaki (Gangsa)
  • Sapura Kencana - Kriterium SIC Sepang Kriterium Remaja Lelaki (Gangsa)

2013

  • Kejohanan Berbasikal Trek Remaja Sirkit III 1 Kilometer (Gangsa), Perlumbaan Scratch (Emas), Pasukan Kejar Mengejar (Emas)
  • Kejohanan Berbasikal Trek Remaja Sirkit II Perlumbaan Mata (Gangsa), Individu Kejar Mengejar (Perak)
  • GP Kebangsaan Johor Kriterium peringkat 3 (Gangsa)
  • Kriterium Shah Alam - Kategori MTB Terbuka Lelaki Basikal Bukit (Emas)
  • Cabaran Diraja Seri Menanti Perlumbaan Lebuh Raya Lelaki Remaja (Gangsa)

Berita Harian X