Selasa, 11 Ogos 2015 | 1:02am

Saya bukan berlagak alim: Izzue Islam


PRINSIP dan syarat Izzue Islam untuk tidak bersentuhan dengan pelakon wanita bukan mahram dalam sesebuah karya seni bagaikan mendapat pengiktirafan apabila garis panduan yang dikeluarkan Lembaga Penapisan Filem (LPF) baru-baru ini menyebelahi apa yang diperjuangkannya.

Garis panduan itu antara lain menetapkan penerbit filem dan drama untuk memotong babak ghairah serta sensual antara pasangan. Justeru, perlakuan seperti mencium pipi, dahi, tangan dan babak berpelukan hanya dibenarkan jika babak dijayakan pelakon bukan Islam. LPF juga akan memotong babak yang menampilkan elemen tahyul dan khurafat.

Prinsip Izzue itu menimbulkan kontroversi tahun lalu ketika beliau menjalani penggambaran drama 'Aku Isterinya' untuk slot Akasia TV3, bergandingan dengan Anzalna Nasir. Difahamkan ketika itu, bertebaran cerita wujud perang dingin antara Izzue dan pelakon wanita, gara-gara prinsip itu.

IZZUE Islam menetapkan syarat untuk tidak bersentuhan dengan pelakon wanita dalam sesebuah karya seni. - Foto Nik Hariff Hassan
IZZUE Islam menetapkan syarat untuk tidak bersentuhan dengan pelakon wanita dalam sesebuah karya seni. - Foto Nik Hariff Hassan

Malah, timbul spekulasi tindakan Izzue itu disebabkan isterinya, Awin atau Nurinafilah Waharuddin selaku pengurusnya yang dikatakan bersikap cemburu dan mengongkong. Tidak kurang yang melihat pendirian anggota kumpulan Forteen ini seperti 'banyak songeh' dan menyusahkan.

Bagi Izzue, prinsipnya adalah untuk kebaikan bersama dan tidak patut terus dipersoalkan mahupun dijadikan isu besar.

"Saya bukan nak berlagak alim atau menunjuk bagus tetapi ia hak peribadi dan amat berharap ia dihormati. Saya mengambil pendirian ini bagi menjaga hati isteri dan keluarga selain ingin menjaga statusnya sebagai seorang suami dan tuntutan sebagai seorang Islam.

"Alhamdulillah, perkara ini akhirnya dipermudahkan sedikit demi sedikit. Bagi saya prinsip ini semua saya buat atas nama agama Islam, selain status saya sendiri. Saya kena jaga nama sendiri, isteri dan keluarga. Apa-apapun yang saya lakukan perkara sebegini tak boleh diambil mudah dan ia memang berkait rapat dengan agama. Pokok pangkalnya ia berbalik kepada agama.

BAGI Izzue prinsipnya adalah untuk kebaikan bersama dan tidak patut dipersoalkan. - Foto Shazreen Zamuzuri
BAGI Izzue prinsipnya adalah untuk kebaikan bersama dan tidak patut dipersoalkan. - Foto Shazreen Zamuzuri

"Dahulu saya sendiri tidak melihat perkara ini sebagai hal pokok. Saya tak perasaan dan terlupa. Hidup ini jadi medan untuk kita terus belajar dan memperbaiki diri. Perlahan demi perlahan saya belajar untuk dan insya-Allah, Allah bantu kita.

"Saya yakin masyarakat juga sudah mula memahami apa yang saya pertahankan dan ia sudah mula diterima. Bagi saya, jangan takut buat benda yang baik dan betul," katanya yang ditemui BH PLUS pada sidang media program Awak Kat Mana di Avenue K.

Izzue mengakui tidak semua pihak menerima baik pendirian beliau, termasuk dalam kalangan rakan artis. Namun, katanya, ia hanya pada peringkat awal kerana lama kelamaan, pengarah, produksi dan peminat menerima syarat yang ditetapkan dengan baik.

IZZUE bergambar bersama peminat di gerai miliknya pada Bazar Syukur Ramadan NSTP 2015, di Balai Berita Bangsar, Jun lalu. - Foto Aziah Azmee
IZZUE bergambar bersama peminat di gerai miliknya pada Bazar Syukur Ramadan NSTP 2015, di Balai Berita Bangsar, Jun lalu. - Foto Aziah Azmee

"Rata-rata, saat ini semua pelakon wanita lain yang bergandingan dengan saya boleh terima apa yang saya tetapkan. Malah, dalam setiap kerjasama saya dengan mana-mana produksi, prinsip itu sudah diwartakan dan saya akan beritahu awal. Saya terlebih dahulu berbincang dengan pengarah berhubung watak diberikan supaya tidak timbul salah faham di kemudian hari.

"Saya tidak memilih watak tetapi meletakkan syarat terhadap sesuatu watak yang ditawarkan kerana ia untuk kebaikan serta menjaga adab lelaki dan perempuan. Jika produksi dan pengarah boleh bertolak-ansur dengan saya, penggambaran itu akan diteruskan.

"Jika tak, saya akan melepaskan tawaran itu dengan baik. Apa yang saya buat ini tidak menyusahkan dan Alhamdulillah, rezeki saya masih ada," katanya.

Izzue juga ditanya mengenai isu pengurus 'lebih kuah daripada sudu'. Jelasnya, pengurus beliau yang juga isterinya, tidak terlepas daripada tanggapan begitu.

"Ini resam dalam dunia seni, tambah pula apabila ia membabitkan orang tersayang atau yang ada kaitan keluarga, pasti ada wujud kisah sebegini. Cerita negatif sebegitu tak pernah mematahkan semangat saya dan isteri.

IZZUE dan isterinya, Awin Nurin ketika sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-25 di Shah Alam, Jun lalu. - Foto Aziah Azmee
IZZUE dan isterinya, Awin Nurin ketika sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-25 di Shah Alam, Jun lalu. - Foto Aziah Azmee

"Saya percaya tugas dan tanggungjawabnya. Saya sudah bekerjasama dengannya sejak sebelum kahwin hinggalah ke saat ini. Apa terjadi, kami telan.

"Setakat ini, kami cuba mewujudkan kerjasama dan hubungan baik dengan pihak media, stesen TV dan radio serta syarikat produksi. Saya dan isteri sendiri sering berbeza pendapat tapi tidaklah sampai bergaduh. Masing-masing ada idea dan kita bawa berbincang supaya dapat mencapai keputusan sepakat.

"Hakikatnya, kita takkan dapat memuaskan hati semua orang. Tapi kita berusaha untuk mendapatkan persefahaman sebaik mungkin. Saya bersyukur ada isteri yang berdiri kuat di belakang saya dan memahami. Tak ada dia susah juga saya nak bernafas dalam industri.

"Saya juga berterima kasih kepada peminat yang faham status saya sebagai suami orang. Mereka boleh bezakan saya sebelum dan selepas kahwin. Tak ada isu peminat yang terlalu fanatik kepada saya kerana sokongan mereka tidak berbelah bagi," katanya.

Izzue dan Awin disatukan pada 2 Jun 2013. Ada juga pihak yang mempertikaikan perkahwinan mereka kerana beranggapan Izzue boleh memilih wanita yang lebih cantik daripada permaisuri hatinya. Kata Izzue, isterinya cukup cantik baginya.

IZZUE sudah bekerjasama dengan isteri yang juga pengurusnya, Awin, sejak sebelum mereka berkahwin. - Foto Aziah Azmee
IZZUE sudah bekerjasama dengan isteri yang juga pengurusnya, Awin, sejak sebelum mereka berkahwin. - Foto Aziah Azmee

"Saya selalu lihat sesuatu benda atau orang itu daripada hanya kecantikan luaran sebaliknya diimbangi dengan kecantikan dalaman. Manusia sendiri dijadikan Tuhan dengan kecantikan tersendiri dan cukup sifat. Manusia itu ada kelebihan dan kekurangan. Saya lebih memilih hati. Hati yang bersih melambangkan kejujuran.

"Tak kira lelaki atau perempuan, saya memang pandang hati. Ada manusia yang nak berkawan dengan orang yang kacak dan cantik sahaja. Yang buruk mereka jauhi. Ada yang jenis pilih bulu. Tapi saya berkawan dengan semua mereka yang boleh membahagiakan saya, termasuk isteri dan peminat yang memahami," katanya.

Lebih dua tahun melayari hidup berumah tangga, Izzue dan Awin masih belum dikurniakan cahaya mata.

"Saya tak tertekan dengan persoalan ini. Saya dan isteri pun tak melakukan perancangan keluarga pun, cuma soal lambat atau cepat itu di luar bidang kuasa kita sebagai manusia," katanya.

Di saat namanya dilihat lebih menyerlah dalam dunia lakonan, dunia nyanyian bersama Forteen tak bererti dipandang sepi.

"Kedua-duanya datang selari. Mungkin orang nampak saya terlalu fokus lakonan kerana drama disiarkan di TV. Cuma nyanyian tak semuanya keluar TV dan ada yang dipersembahkan secara tertutup," katanya yang baharu saja selesai penggambaran telefilem arahan Jurey Rosli, Tuhan Sayang Adik di samping Nad Zainal.

Izzue tidak memilih watak tetapi meletakkan syarat bagi menjaga adab perhubungan lelaki dan perempuan. - Foto Aziah Azmee
Izzue tidak memilih watak tetapi meletakkan syarat bagi menjaga adab perhubungan lelaki dan perempuan. - Foto Aziah Azmee

IZZUE (kanan) bersama ahli kumpulan Forteen. - Foto Munira Abdul Ghani
IZZUE (kanan) bersama ahli kumpulan Forteen. - Foto Munira Abdul Ghani

Info Izzue Islam

  • Nama penuh: Muhammad Izzul Islam Mazlan
  • Asal: Kota Bharu, Kelantan
  • Pernah memenangi anugerah Pelakon Harapan Terbaik Festival Filem Malaysia ke-25 untuk filem 29 Februari dan Hero Baru Terhebat Anugerah Blokbuster 2
  • Antara filem yang dibintangi: Songlap, Hantu Kapcai, Ular, Kami Histeri dan Mat Tudung
Berita Harian X