Isnin, 10 Ogos 2015 | 12:27am

Aqasha tolak watak romeo


KUALA LUMPUR: Bagi aktor Aqasha, beliau sedar faktor usia dan status dirinya ketika ini tidak lagi sesuai untuk menjayakan watak sebagai Mat Romeo atau kasanova.

Berikutan itu, beliau lebih selesa dan tertarik untuk membawa watak yang lebih berat, mencabar dan berupaya menonjolkan kewibawaannya sebagai pelakon.

"Saya sudah bersedia untuk menerima tawaran menjayakan watak ayah sekiranya karya itu menarik.

"Watak romeo atau kasanova adalah sesuatu yang perlu dielak. Saya lebih tertarik untuk membawa watak yang lebih mencabar dan mampu menonjolkan kewibawaan saya sebagai pelakon.

"Saya ralat untuk melakonkan watak yang kurang relevan buat diri dan usia saya. Bagi saya, tidak salah sekiranya watak itu diberikan kepada pelapis-pelapis baru bagi menjayakan watak sebegitu. Saya ingin membawakan watak di luar skop cinta.

AKTOR kacak, Aqasha. - Foto Zunnur Al Shafiq
AKTOR kacak, Aqasha. - Foto Zunnur Al Shafiq

"Watak mengisahkan kehidupan menjadi dambaan saya kerana sepanjang 15 tahun berkecimpung dalam bidang seni, kira-kira 13 tahun daripadanya didominasi oleh watak dalam skop cinta. Saya teringin untuk membawakan watak sebagai seorang penagih dadah," luah Aqasha.

Kelibat Aqasha atau nama sebenarnya Firdee Akassya Rosli, 33, dilihat semakin berkurangan setelah kira-kira 10 tahun aktif di kaca televisyen dan layar perak, lebih-lebih lagi selepas beliau mendirikan rumah tangga pada 2010.

Malah Aqasha mengakui beliau bersikap selektif dengan naskhah dan karya yang ditawarkan kepadanya.

Menjelaskan keadaan diri yang semakin sibuk, Aqasha berkata beliau kini lebih selesa untuk berada di belakang tabir sahaja tetapi menegaskan perubahan itu tidak bermakna beliau akan meninggalkan terus dunia lakonan.

Nama pelakon ini semakin lama semakin hilang dan kini ramai yang tertanya ke mana arah yang menjadi pilihan. Beliau menegaskan soal populariti bukan menjadi ideologi penting buat dirinya.

AQASHA bersama keluarganya. - Foto ihsan Instagram Aqasha
AQASHA bersama keluarganya. - Foto ihsan Instagram Aqasha

Aqasha menegaskan, jika beliau berusia 20-an mungkin soal populariti masih bermain di fikirannya. Namun kini katanya, apa yang penting adalah penghijrahan kariernya itu selari dengan umur beliau.

"Saya akui lebih memilih karya yang ditawarkan kepada saya kerana enggan terikat dengan kisah percintaan saja.

Biarlah tawaran yang diberikan bersesuaian dengan status saya sebagai seorang suami dan juga ayah kepada dua cahaya mata.

"Tidak dinafikan saya juga lebih selesa menerima tawaran yang berikan oleh kawan-kawan saya kerana sudah biasa dengan cara kerja mereka. Malah, lebih mudah untuk mencipta keserasian dengan mereka yang sudah lama saya kenali.

"Saya seronok menimba pengalaman baharu di belakang tabir. Sekurang-kurangnya saya mampu mengembangkan pelbagai bakat saya. Saya sengaja mencuba untuk mempelbagaikan portfolio kreatif saya," katanya kepada BH PLUS.

Aqasha menolak dakwaan mengatakan beliau akan terus melupakan dunia lakonan yang selama ini menjadi nadi kariernya. Kata Aqasha, kelebihan berada di belakang tabir ini memberi beliau lebih kuasa yang sebelum ini tidak pernah dirasa.

Hero yang popular menerusi filem Embun itu berpendapat kebanyakan karya senario masa kini kurang relevan buat dirinya. Aqasha berasakan tindakannya itu adalah wajar memandangkan usianya yang semakin meningkat dan perlu menilai setiap tawaran yang diterima.

Dalam perkembangan terkini, Aqasha dalam rangka perancangan bagi mempromosikan seorang artis baru bernama Ein Aqmar. Aqasha bakal menerbitkan beberapa buah lagu nyanyian bersama beliau dan pendatang baru yang berbakat itu.

AQASHA lebih tertarik untuk membawa watak yang lebih mencabar dan mampu menonjolkan kewibawaannya sebagai pelakon. - Foto Zunnur Al Shafiq
AQASHA lebih tertarik untuk membawa watak yang lebih mencabar dan mampu menonjolkan kewibawaannya sebagai pelakon. - Foto Zunnur Al Shafiq

* Aqasha menceburi bidang seni sebagai penyanyi sekitar 2000 dan mula menceburi dunia lakonan dua tahun kemudian.

*Pembabitan Aqasha dalam filem Embun membuka ruang untuk beliau terus menceburi bidang lakonan.

*Hero malaya ini dikatakan menjalinkan hubungan cinta bersama gandingannya menerusi filem Embun iaitu Umie Aida.

*Beliau mendirikan rumah tangga pada tahun 2010 dengan Noor Fazura Mohd. Sabri dan dikurniakan dua orang cahaya mata.

Berita Harian X