Selasa, 4 Ogos 2015 | 12:03am
ANTARA laluan dipercayai digunakan gajah ketika menceroboh perkampungan penduduk di Telupid. - Foto Poliana Ronnie Sidom
ANTARA laluan dipercayai digunakan gajah ketika menceroboh perkampungan penduduk di Telupid. - Foto Poliana Ronnie Sidom
BEKAS najis gajah yang menceroboh perkampungan penduduk di Telupid. - Foto Poliana Ronnie Sidom
BEKAS najis gajah yang menceroboh perkampungan penduduk di Telupid. - Foto Poliana Ronnie Sidom
PENDUDUK melihat gajah yang sudah ditangkap selepas menyerang tanaman di Kampung Gambaron di Telupid. - Foto Poliana Ronnie Sidom
PENDUDUK melihat gajah yang sudah ditangkap selepas menyerang tanaman di Kampung Gambaron di Telupid. - Foto Poliana Ronnie Sidom

Manusia, gajah terus berkonflik


TELUPID: Konflik manusia dan gajah di Sabah bukan perkara baharu kerana ia sebenarnya dikatakan bermula lebih 50 tahun lalu di negeri ini berikutan pemusnahan hutan yang menjadi habitat haiwan liar itu secara drastik bagi pembukaan ladang komersial.

Ia dilaporkan berlaku di beberapa daerah termasuk Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Tawau dan Telupid, susulan haiwan liar itu kehilangan sumber makanan, selain habitat terganggu akibat pembukaan kawasan pertanian dan ladang.

Peningkatan konflik itu berterusan hingga kemuncaknya menyebabkan kematian 14 gajah Pygmy Borneo di Hutan Simpan Gunung Rara, Tawau antara Disember 2012 hingga Januari 2013, dipercayai berpunca daripada campuran toksik beracun termasuk logam berat seperti arsenik dalam makanan secara sengaja oleh pihak tertentu.

Kaji selidik Jabatan Hidupan Liar Sabah dan Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia sebelum ini menunjukkan bilangan gajah yang masih ada di habitat asal Borneo ketika ini tidak lebih 2,500 ekor dengan kebanyakannya di Sabah, manakala sebilangan kecil di Kalimantan, Indonesia.

Kesan keluasan hutan yang semakin mengecil dan terpisah-pisah akibat penerokaan tanah menyebabkan gajah yang menyedari habitat mereka terancam mula keluar dari hutan dan masuk ke ladang atau penempatan manusia untuk mencari sumber makanan.

DUA gajah yang diikat selepas ditangkap di Kampung Gambaron, Telupid. - Foto Poliana Ronnie Sidom
DUA gajah yang diikat selepas ditangkap di Kampung Gambaron, Telupid. - Foto Poliana Ronnie Sidom

Itulah yang berlaku di pekan Telupid di tengah Sabah dengan kepadatan lebih 30,000 penduduk di mana suasana tenang dan damai sebelum ini, berubah sekitar Julai tahun lalu susulan kehadiran 30 gajah Pygmy Borneo 'sesat' dari Hutan Simpan Tangkulap, kira-kira 20 kilometer (km) dari sini, hingga menceroboh beberapa perkampungan.

Keadaan itu menyebabkan harapan penduduk memungut hasil tanaman pada penghujung bulan tidak kesampaian apabila sebahagian besar dimusnahkan gajah.

Penduduk mendakwa kehadiran gajah bagai tiada kesudahan kerana selang satu atau dua bulan selepas usaha menghalau haiwan liar itu ke hutan berhampiran oleh renjer Jabatan Hidupan Liar Sabah sejak setahun lalu, tidak berhasil apabila ia kembali ke penempatan penduduk.

Usaha wartawan BH ditemani beberapa penduduk menjejaki kumpulan gajah di kawasan kebun kelapa sawit di Kampung Gambaron, di sini, yang dipercayai kerap menjadi tempat gajah 'bermain', menemui kesan kemusnahan tanaman, tapak kaki dan najis gajah dipercayai masih baru.

Pokok kelapa sawit yang mencapai ketinggian lebih tiga meter dan berusia lebih 10 tahun, rebah ke tanah akibat disondol gajah, manakala tali air yang dahulunya jernih, berubah keruh kerana menjadi tempat gajah berkubang.

SALATI menunjukkan tanaman pokok kelapa sawit yang dimusnahkan gajah di kebunnya. - Foto Poliana Ronnie Sidom
SALATI menunjukkan tanaman pokok kelapa sawit yang dimusnahkan gajah di kebunnya. - Foto Poliana Ronnie Sidom

Pesara kerajaan, Salati Sallah, 73, berkata gajah muncul di kawasan berhampiran tempat tinggalnya tiga kali sejak tahun lalu dengan kali pertama, sebanyak 16 ekor haiwan liar terbabit menyerang tanaman kelapa sawit yang baru sebulan ditanam di kebun seluas enam hektar.

"Saya tanam 600 pokok sawit, semuanya rosak dicabut gajah, tiada satu pun yang tinggal. Kami tidak boleh tanam semula selagi ada gangguan gajah. Pendapatan sawit tidak seberapa, tapi bolehlah beli beras dan tampung kehidupan anak beranak," katanya.

Sehubungan itu, Salati berharap masalah kehadiran gajah di kampung terbabit dapat diatasi segera dengan memindahkan semua gajah ke kawasan hutan lebih jauh bagi memastikan mata pencarian mereka tidak terjejas.

Katanya, penduduk juga berharap kerajaan menyediakan bantuan bagi memasang pagar berduri, sekali gus mengelak gajah menceroboh kawasan kebun mereka.

Seorang lagi penduduk, Dain Golokin, 35, berkata kehadiran gajah di perkampungan itu turut mendatangkan ancaman keselamatan terhadap penduduk dan harta benda.

KESAN tapak kaki gajah yang ditemui berhampiran tali air di kebun penduduk. - Foto Poliana Ronnie Sidom
KESAN tapak kaki gajah yang ditemui berhampiran tali air di kebun penduduk. - Foto Poliana Ronnie Sidom

"Bukan saja tanaman dicabut, kereta turut dirosakkan. Paling menakutkan apabila gajah berkumpul di halaman rumah. Pernah sekali lebih 10 ekor gajah datang. Ada yang besar lebih dua meter, rumah saya seperti mahu runtuh dibuatnya," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, William Baya, berkata usaha sudah diambil untuk memindahkan sebahagian gajah jantan yang ditangkap di Telupid ke Santuari Gajah Borneo (BES), Kinabatangan untuk pemantauan sebelum dilepaskan ke hutan.

Katanya, hanya ada seekor gajah jantan dikesan masih berlegar-legar dalam hutan kecil dengan operasi menangkap haiwan liar itu dilakukan dalam waktu terdekat.

"Kemungkinan untuk gajah datang semula ke kawasan itu memang ada sebab ia adalah laluan tradisi mereka untuk mendapatkan sumber makanan. Gajah mempunyai daya ingatan kuat dan sentiasa mengikut laluannya," katanya.

GAJAH yang ditangkap selepas menceroboh di Kampung Gambaron, Telupid dilepaskan di Hutan Simpan Deramakot. - Foto ihsan Jabatan Hidupan Liar
GAJAH yang ditangkap selepas menceroboh di Kampung Gambaron, Telupid dilepaskan di Hutan Simpan Deramakot. - Foto ihsan Jabatan Hidupan Liar

Info Gajah Pygmy Borneo:

- Bersaiz lebih kecil berbanding gajah Asia lain.
- Mempunyai persamaan genetik dengan kelompok asal di tanah besar Sumatera.‎
- Ketinggian mencecah 2.5 meter.
- Berat kurang dua tan dan jangka hayat 70 tahun.‎
- Mempunyai gading lebih panjang dan bertelinga besar serta mempunyai rahang bawah lebih panjang selain rupa tirus.‎
- Warna kulitnya lebih gelap dan dikatakan gemar hidup dalam kumpulan kecil.

Berita Harian X