Ahad, 19 Julai 2015 | 12:03am
PULAU ini pada asalnya dikenali dengan nama Pulau Peria, tetapi ditukar nama kepada Pulau Duyong selepas peristiwa dua ekor ikan duyong iaitu ibu dan anak dikatakan mendarat di pulau berkenaan. - Foto Rozainah Zakaria
PULAU ini pada asalnya dikenali dengan nama Pulau Peria, tetapi ditukar nama kepada Pulau Duyong selepas peristiwa dua ekor ikan duyong iaitu ibu dan anak dikatakan mendarat di pulau berkenaan. - Foto Rozainah Zakaria
PULAU Duyong berada dalam peta pelancongan bertaraf dunia. - Foto Rozainah Zakaria
PULAU Duyong berada dalam peta pelancongan bertaraf dunia. - Foto Rozainah Zakaria
REKA bentuk Kota Lama Duyong empunyai unsur seni bina seperti Corinthian atau Mesir terutama pada tiang dan dinding batu. - Foto Rozainah Zakaria
REKA bentuk Kota Lama Duyong empunyai unsur seni bina seperti Corinthian atau Mesir terutama pada tiang dan dinding batu. - Foto Rozainah Zakaria

Pulau Duyong gamit kehadiran pelawat luar negara

PULAU Duyong merangkumi tiga pulau iaitu Pulau Duyong Besar, Pulau Duyong Kecil dan Pulau Ketam. - Foto Rozainah Zakaria
PULAU Duyong merangkumi tiga pulau iaitu Pulau Duyong Besar, Pulau Duyong Kecil dan Pulau Ketam. - Foto Rozainah Zakaria

SESIAPAPUN tidak menyangka, Pulau Duyong yang berkeluasan 2.7 kilometer persegi boleh berada dalam peta pelancongan bertaraf dunia.

Penganjuran pertandingan perahu layar Piala Monsoon di muara Sungai Terengganu pada tahun 2005 menjadikan Pulau Duyong lokasi pilihan utama pelancong dari luar negara.

Biarpun pelbagai projek pembangunan dilaksanakan oleh kerajaan negeri termasuk pembinaan rumah mampu milik dan rumah pangsa serta chalet, namun perkampungan tradisional di pulau yang dikaitkan dengan persinggahan dua ekor ikan duyong tetap dikekalkan.

Pulau Duyong sebelum dimajukan adalah pulau yang keluasannya sekitar 300 meter panjang dan 200 meter lebar serta merangkumi tiga pulau iaitu Pulau Duyong Besar, Pulau Duyong Kecil dan Pulau Ketam.

Pulau itu pada asalnya dikenali dengan nama Pulau Peria, tetapi ditukar nama kepada Pulau Duyong selepas peristiwa dua ekor ikan duyong iaitu ibu dan anak dikatakan mendarat di pulau berkenaan. Penyatuan Pulau Duyong Besar dan Kecil serta keluasan pulau itu terbentuk secara semula jadi apabila berlaku pemendapan dan longgokan pasir yang merubah pantainya.

PEMBUAT bot tradisional, Burhanuddin Shafie menyiapkan kapal yang ditempah oleh pelanggan di Pulau Duyong. - Foto Rozainah Zakaria
PEMBUAT bot tradisional, Burhanuddin Shafie menyiapkan kapal yang ditempah oleh pelanggan di Pulau Duyong. - Foto Rozainah Zakaria

Destinasi pembuat bot tradisional

Pulau Duyong juga dikenali sebagai penginapan ulama terkenal iaitu Wan Abdullah Wan Muhamad atau Tok Syeikh Duyong.

Pulau ini turut terkenal dengan warisan budaya serta sejarah, terutama dalam pembuatan bot tradisional yang masih beroperasi dan mendapat sambutan hingga kini.

Tidak hairanlah, Pulau Duyong yang mempunyai panorama indah dan permai bukan saja menjadi lokasi persinggahan pelancong, tetapi turut dikunjungi pengkaji sejarah serta peminat seni bina dari dalam dan luar negara.

Sehingga kini, terdapat tiga pengusaha iaitu bot dan perahu secara tradisional iaitu Tuan Abdullah Muda atau lebih mesra dengan panggilan Pak Lah, Hassan Ali dan Shafie Abdullah atau Pok Awi.

Walaupun dihasilkan secara tradisi tanpa menggunakan paku, kehalusan seni bina bot dan perahu sering mendapat tempahan peminat pengangkutan air dari negara luar.

Lebih dikagumi, bot jenis kayu dihasilkan mampu meredah ombak ganas samudera dan mampu mengharungi hingga ke benua Afrika, Singapura, Kanada, Algeria, Australia, Amerika Syarikat, Perancis, Itali, New Zealand, United Kingdom dan Denmark.

Setiap bot dan perahu dihasilkan menggunakan skru dan kaedah pasak kayu. Kaedah itu dikatakan dapat menjamin kualitinya lebih tahan lama dan tidak mudah bocor.

Keunikan reka bentuk berasaskan nilai warisan dan tradisional tempatan faktor utama perahu dan bot dihasilkan terus mendapat perhatian penggemarnya.

Pelawat atau pelancong yang ingin ke Pulau Duyong boleh memilih menggunakan jalan darat atau bot penambang.

REKA bentuk Kota Lama Duyong yang mirip istana kecil Raja Melayu, mempunyai unsur seni bina seperti Corinthian atau Mesir. - Foto Rozainah Zakaria
REKA bentuk Kota Lama Duyong yang mirip istana kecil Raja Melayu, mempunyai unsur seni bina seperti Corinthian atau Mesir. - Foto Rozainah Zakaria

Selain melihat sendiri pembuatan bot dan perahu secara tradisional, pelancong juga boleh melawat dan melihat kesenian dan keindahan seni bina Kota Lama Duyong.

Kota lama ini mempunyai sembilan bumbung yang menutupi beberapa bahagian yang bersambungan dengan dapur, bilik mandi, sarung, beranda dan titian.

Reka bentuknya mirip istana kecil raja Melayu tetapi diperkayakan lagi dengan unsur pembinaan seni bina asing seperti Corinthian atau Mesir terutama pada tiang dan dinding batu.

Bahan binaan utama yang digunakan adalah batu bata, manakala madu, putih dan serbuk kulit kerang yang dibakar diadun untuk dijadikan simen atau pelekat.

Bagaimanapun, kesan adunan madu, kulit kerang dan putih telur tidak kelihatan apabila sebahagian daripada struktur itu musnah selepas dilanda banjir besar pada tahun 1986.

Reka bentuk binaan Kota Lama Duyong memperlihatkan gabungan pengaruh Islam dalam seni bina Melayu dengan sedikit pengaruh seni bina Mesir.

Bangunan itu diiktiraf sebagai salah satu keajaiban seni bina masyarakat Terengganu dan menjadi daya tarikan unik kepada pelancong apabila memaparkan artifak tempatan dan menjadi bukti sejarah perkembangan Islam.

Pelancong yang berkunjung ke Pulau Duyong juga boleh menikmati keindahan pesisir Pulau Warisan di kawasan Bandaraya Kuala Terengganu.

JETI antara kemudahan yang disediakan oleh kerajaan negeri di Kampung Pulau Duyong. - Foto Rozainah Zakaria
JETI antara kemudahan yang disediakan oleh kerajaan negeri di Kampung Pulau Duyong. - Foto Rozainah Zakaria

Dua duyung terdapat di daratan

Pulau Doyong yang nama asalnya Pulau Peria mula diterokai sekitar awal tahun 1800, tetapi ditukar nama selepas pendaratan dua ekor ikan duyong.

Pulau Duyung diterokai masyarakat Melayu berketurunan Pattani yang berhijrah ke Terengganu, melalui hasil kajian dilakukan terdapat tiga kawasan utama iaitu Pulau Duyung Besar, Duyung Kecil dan Pulau Ketam.

Pengarah Lembaga Muzium negeri, Mohd Yusof Abdullah, berkata pulau itu menyumbangkan perkembangan Islam di Terengganu dan melahirkan tokoh agama berpengaruh iaitu Datuk Bija Sura, Datuk Nik Muhamad Hitam dan Datuk Sheikh Duyung atau nama sebenar Wan Abdullah Wan Muhamad Amin.

Berdasarkan catatan sejarah, Tok Sheikh Duyung mendapat pendidikan dalam bidang Tasawuf, Hadis, Fekah dan Usuluddin di Makkah dan di negeri ini.

Disebabkan tempat mengajarnya di Pulau Duyung, maka namanya melekat dengan gelaran Tok Sheikh Duyung dan pondok pengajiannya di datangi pelajar bukan sahaja daripada negeri ini, malah dari beberapa negeri lain.

Antara murid Tok Sheikh Duyong ialah Baginda Sultan Omar, Sultan Zainal Abidin III, Engku Sayid Paloh, Omar Duyung Besar, Abdul Hamid Nerus, Tuan Baru Petal Bubus, Musa Alim, Che Man Gudang, dan Wan Mohammad Wan Abdullah.

PEMANDANGAN waktu senja di Pulau Duyong. - Foto Rozainah Zakaria
PEMANDANGAN waktu senja di Pulau Duyong. - Foto Rozainah Zakaria

Kerana ketokohannya, Tok Syeikh Duyung dilantik sebagai Mufti Kerajaan Terengganu menggantikan gurunya, Syeikh Abdul Kadir Bukit Bayas yang meninggal dunia.

Sepanjang hidupnya, Tok Sheikh Duyung sempat menjadi Mufti kepada tiga Sultan iaitu Baginda Sultan Omar, Sultan Ahmad Syah II dan Sultan Zainal Abidin III. 

Mohd Yusof berkata, selain lokasi penyebaran dan tempat himpunan tokoh agama, Pulau Duyong juga dikenali sebagai tempat pembuatan kapal, bot dan perahu secara tradisional.

Katanya, bot atau perahu dihasilkan secara tradisional oleh Tuan Abdullah Muda atau lebih mesra dengan panggilan Pak Lah, Hassan Ali dan Shafie Abdullah atau Pok Awi mendapat tempahan pengusaha pelancongan daripada Afrika, Singapura, Kanada, Algeria, Australia, Amerika Syarikat, Perancis, Itali, New Zealand, United Kingdom dan Denmark.

PULAU Duyong berkeluasan 2.7 km persegi dan mempunyai 686 jumlah rumah penduduk. - Foto Rozainah Zakaria
PULAU Duyong berkeluasan 2.7 km persegi dan mempunyai 686 jumlah rumah penduduk. - Foto Rozainah Zakaria

INFO

  • 2.7 km persegi - Keluasan Pulau Duyong hari ini berbanding 1 km pada keluasan asal.
  • 300m - Panjang Pulau Duyong
  • 200m -  Lebar Pulau Duyong
  • 686 - Jumlah rumah penduduk.
Berita Harian X