Ahad, 31 Mei 2015 | 12:01am
NASI Ambeng dihidangkan dalam talam dan lengkap dengan pelbagai lauk seperti mi goreng, ayam masak ungkep, serunding, ikan masin, sambal goreng. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
NASI Ambeng dihidangkan dalam talam dan lengkap dengan pelbagai lauk seperti mi goreng, ayam masak ungkep, serunding, ikan masin, sambal goreng. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Nasi Ambeng simbol kesepakatan, tolak ansur


SEJAK kebelakangan ini, nama Nasi Ambeng meniti di bibir penggemar makanan tempatan. Makanan tradisi masyarakat Jawa Tengah yang semakin mendapat tempat di hati masyarakat Malaysia kerana keunikan serta rasanya yang enak.

Nasi Ambeng sudah menjadi menu tradisi dalam setiap majlis kenduri masyarakat Jawa di Malaysia, terutama di Johor, Selangor dan selatan Perak.

Berbeza dengan hidangan nasi lain yang kebiasaannya dihidangkan bersama lauk berkuah dan sayur di dalam pinggan, Nasi Ambeng dihidangkan bersama pelbagai jenis lauk-pauk asli Jawa yang agak kering di dalam satu talam.

Satu talam Nasi Ambeng ini kebiasaannya untuk empat orang. Di sesetengah tempat, nasi itu kemudian dibelah empat. Sayur dan lauk kemudian dibahagikan bersama-sama nasi. Menyerlahkan lagi keunikannya, nasi ini turut dihidangkan bersama mi goreng atau lebih dikenali sebagai tumisan.

NASI ambeng yang disajikan di Riverstone Eco Resort, Hutan Lipur Sungai Tua. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
NASI ambeng yang disajikan di Riverstone Eco Resort, Hutan Lipur Sungai Tua. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Suasana ini seolah-olah satu simbol kesepakatan, perpaduan dan tolak ansur penduduk kampung, masyarakat atau keluarga, selain tanda berbesar hati tuan rumah kepada tetamu yang menghadiri majlis kendurinya.

Sempena Festival Nasi Ambeng di Homestay Banghuris, Kampung Ulu Chuchoh, Sungai Pelek, Sepang, Selangor, yang menjadi satu acara dalam kalendar MyFest 2015, wakil media dan pengunjung didedahkan kepada cara penyediaan Nasi Ambeng.

Dimasak secara gotong-royong oleh penduduk tempatan, makanan tradisi ini sebenarnya tidak sukar untuk disediakan. Ramuannya mudah diperoleh serta tidak mengambil masa yang lama.

RIVERSTONE Eco Resort menyediakan pelbagai juadah yang enak seperti gulai kambing, itik dan rendang arnab. - Foto Salhani Ibrahim
RIVERSTONE Eco Resort menyediakan pelbagai juadah yang enak seperti gulai kambing, itik dan rendang arnab. - Foto Salhani Ibrahim

Pengusaha Homestay Banghuris, Ariff Ahmad, 60, berkata masyarakat Jawa biasanya menghidangkan Nasi Ambeng pada majlis keramaian seperti kenduri doa selamat, bercukur dan tahlil.

Katanya, perkataan 'ambeng' tidak ada maksud khusus tapi Nasi Ambeng itu sendiri bolehlah diterjemahkan sebagai hidangan perdana kerana ia sering kali dihidangkan pada majlis tertentu dan dimakan beramai-ramai.

"Nasi Ambeng ini tidak berkuah. Lauknya kering sahaja, antaranya mi goreng, ayam masak ungkep, serunding, ikan masin, sambal goreng (tempe, tauhu dan kentang goreng yang dimasak bersama sohun) dan kacang tanah. Jika di Jawa, ia turut dihidangkan dengan peyek (rempeyek) .

"Jika dimakan di dalam talam, kita memanggilnya Nasi Ambeng. Namun, jika ia dibungkus untuk makanan seorang dan dibawa pulang oleh tetamu, ia dinamakan 'berkat'," katanya.

TETAMU menikmati Nasi Ambeng. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
TETAMU menikmati Nasi Ambeng. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Ariff berkata, ada di sesetengah tempat, resipi Nasi Ambeng ini diubah dan dimodenkan, terutama dari segi masakan ayam.

"Ada yang memakannya bersama ayam masak kicap dan ayam masak merah tetapi kami di sini masih mengekalkan resipi asli hidangan ini melalui masakan ayam ungkep.

"Ayam ungkep ini dimasak dengan menggoreng ayam berkenaan, kemudian dimasukkan ke dalam rencah yang sudah digoreng terlebih dahulu serta dibiarkan sehingga sejam sebelum diangkat. Antara bahan yang digunakan untuk rencah ungkep adalah ketumbar, jintan, bawang putih dan merah, serai, lengkuas, bunga lawang, kulit kayu manis serta kunyit," katanya.

MAKANAN tradisi masyarakat Jawa Tengah ini semakin mendapat tempat di hati masyarakat Malaysia kerana keunikan serta rasanya yang enak. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
MAKANAN tradisi masyarakat Jawa Tengah ini semakin mendapat tempat di hati masyarakat Malaysia kerana keunikan serta rasanya yang enak. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Ariff berkata, setiap kali pelancong dari dalam dan luar negara berkunjung ke Homestay Banghuris, kaum ibu di kampung berkenaan akan memasak Nasi Ambeng secara gotong-royong untuk dihidangkan.

"Pelancong yang datang bukan sahaja boleh melihat cara penyediaannya, malah boleh sama-sama memasak Nasi Ambeng bersama penduduk. Rata-rata pelancong, termasuk dari Barat dan Jepun menyukainya. Mungkin kerana makanan ini tidak terdapat di tempat lain dan ia juga tidak begitu pedas," katanya.

Berita Harian X