Sabtu, 16 Mei 2015 | 12:21am

Makanan dan mental

(DARI kiri) Pakar Perunding Pediatrik, Dr Yong Junina Fadzil, Penyelidik Utama Bagi SEANUTS Malaysia, Prof Dr Poh Bee Koon, Dr Alvin dan Pengarah Pemasaran Dutch Lady Milk Industries, Anja Henze semasa Langkah Smart Pemakanan Untuk Bengkel Pembangunan Kanak-kanak di Kuala Lumpur.- Foto Shiraz Ali
(DARI kiri) Pakar Perunding Pediatrik, Dr Yong Junina Fadzil, Penyelidik Utama Bagi SEANUTS Malaysia, Prof Dr Poh Bee Koon, Dr Alvin dan Pengarah Pemasaran Dutch Lady Milk Industries, Anja Henze semasa Langkah Smart Pemakanan Untuk Bengkel Pembangunan Kanak-kanak di Kuala Lumpur.- Foto Shiraz Ali

OTAK kanak-kanak ibarat sebuah lebuh raya. Makanan yang berkhasiat amat penting bagi memastikan lebuh raya ini dalam keadaan baik, licin dan tidak berlubang.

Aktiviti pula seperti bermain dan berinteraksi, ibarat kereta yang bergerak di atas lebuh raya itu. Ia menjadikan lebuh raya itu aktif dan berfungsi.

Demikian contoh diberi Prof Madya Dr Alvin Ng Lai Oon ketika menjelaskan fungsi makanan berkhasiat dengan perkembangan mental kanak-kanak.

"Khasiat yang betul akan membantu membina otak, rangsangan daripada ibu bapa dan penjaga membantu memperkembangkan sifat ingin tahu, mahu meneroka, kreativiti dan pembelajaran," kata pakar dari Jabatan Psikologi Universiti Sunway itu.

Beliau yang juga Penyiasat Perkembangan Kognitif bagi kajian Tinjauan Nutrisi Asia Tenggara (SEANUTS), berkata berdasarkan kajian, prestasi kognitif (aktiviti mental) kanak-kanak dipengaruhi oleh status pemakanan mereka.

Skor bawah purata IQ

Dr Lai Oon berkata, kajian itu mendapati kanak-kanak yang mengalami kekurangan nutrisi (tubuh yang kurus, kurang berat badan dan ketinggian terbantut) dan yang mengalami masalah berlebihan nutrisi (berat badan berlebihan, obes dan terlalu obes) mempunyai kebarangkalian yang lebih tinggi untuk mendapat skor bawah purata IQ.

Beliau berkata, kajian itu mendapati pemakanan yang baik membantu perkembangan mental kanak-kanak, yang membolehkan kanak-kanak belajar dan memperoleh kepintaran serta kecerdikan.

Kajian SEANUTS dijalankan ke atas kanak-kanak sehingga usia 12 tahun di Indonesia, Thailand, Vietnam dan Malaysia, bertujuan menyelidik hubungan antara status pemakanan dan prestasi kognitif kanak-kanak.

"Makanan yang berkhasiat membolehkan perkembangan mental yang baik. Oleh yang demikian, adalah penting untuk ibu bapa memberi makanan yang berkhasiat kepada anak dan menyediakan pelan pemakanan yang sesuai dengan keperluan setiap peringkat tumbesaran kognitif kanak-kanak.

"Ia bertujuan untuk mengoptimumkan sokongan pemakanan bagi perkembangan mental yang sihat," katanya pada Bengkel Tahap Kebijaksanaan-Kebaikan Nutrisi Untuk Perkembangan Bijak Si Manja, yang diadakan, baru-baru ini.

MAKANAN berkhasiat membantu aspek perkembangan mental yang baik.
MAKANAN berkhasiat membantu aspek perkembangan mental yang baik.

Nilai pencapaian mengikut usia

Jelasnya lagi, untuk mengenal pasti sama ada kanak-kanak membesar secara normal atau sihat, ibu bapa dan penjaga perlu melihat kepada pencapaian perkembangan atau keupayaan kanak-kanak pada peringkat umur yang berbeza.

Beliau berkata, tidak seperti pencapaian fizikal, seperti kali pertama kanak-kanak mula berjalan ataupun berlari dan melompat, pencapaian kognitif atau kemajuan mental adalah tidak begitu jelas.

"Keupayaan untuk menemukan barang permainan yang dilitupi kain dan memadankan bentuk serta warna, mungkin dilihat sebagai satu langkah fizikal. Hakikatnya, mereka memerlukan proses mental serta kebijaksanaan bagi membolehkan mereka melakukannya," katanya.

 DR Alvin Ng Lai Oon. - Foto Shiraz Ali
DR Alvin Ng Lai Oon. - Foto Shiraz Ali

Penentu kemajuan kanak-kanak

Kata Dr Lai Oon, perkembangan mental dan fizikal kanak-kanak berkait rapat dalam menentukan kemajuan mereka.

"Dari usia satu hingga dua tahun, daya penglihatan kanak-kanak lebih baik, berupaya untuk berjalan dan bergerak sendiri menyebabkan kanak-kanak itu boleh melihat, menyentuh dan berasa lebih banyak benda dan orang di sekeliling mereka.

"Inilah peringkat yang mana sifat ingin tahu kanak-kanak meningkat dan membuatkan mereka mahu meneroka dunia dengan lebih banyak lagi.

"Pada usia dua tahun hingga empat tahun, kemahiran motor mereka akan menjadi lebih baik dan ditambah pula dengan kemahiran lisan yang lebih jelas membolehkan seorang kanak-kanak itu meneroka dunia seperti dia tidak pernah lakukan sebelum ini.

"Oleh yang demikian, sifat ingin tahu dan keinginannya untuk meneroka membentuk asas kepada pembelajaran dan aplikasi terhadap apa yang dia belajar di kemudian hari," tambahnya.

KANAK-kanak perlukan makanan berkhasiat untuk proses tumbesaran.
KANAK-kanak perlukan makanan berkhasiat untuk proses tumbesaran.

Otak sihat, badan cergas

Kekurangan makanan yang sihat boleh mengakibatkan pertumbuhan fizikal terbantut, perkembangan otak yang perlahan dan mengurangkan sistem imunisasi badan, kata Ketua Program Sains Pemakanan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Poh Bee Koon .

Beliau yang juga Penyelidik Utama SEANUTS Malaysia berkata, kajian prestasi kognitif SEANUTS menunjukkan hubungan antara pemakanan dengan pembangunan mental dan kepintaran kanak-kanak.

"Khasiat yang berbeza diperlukan pada pelbagai peringkat perkembangan untuk otak yang sihat dan aktif.

"Penting bagi kanak-kanak membina otak dan sistem ototnya untuk membolehkan mereka berjalan dan bercakap. Ada pelbagai khasiat penting yang boleh menyokong perkembangan otak dan proses tumbesaran mereka seperti protein, asid amino, DHA, magnesium, vitamin B dan kalsium," katanya.

Jelasnya, khasiat ini memainkan peranan penting dalam menyokong proses perkembangan mental kerana ia juga berkait rapat dengan prestasi tingkah laku.

"Sebagai contoh, magnesium memainkan peranan dalam proses pembelajaran dan daya ingatan serta penting untuk tenaga bagi otak.

"Selain itu, vitamin D juga berfungsi melindungi mata dan daya penglihatan kanak-kanak iaitu alat penting untuk sifat ingin tahunya," katanya.

Berita Harian X