Isnin, 11 Mei 2015 | 12:02am
PENGASAS Shugarholic Confectionery, Maza Asma Mustafa dan Mohd Zaidi Hassan di ibu pejabat di Puncak Alam, Shah Alam. - Foto Adi Safri
PENGASAS Shugarholic Confectionery, Maza Asma Mustafa dan Mohd Zaidi Hassan di ibu pejabat di Puncak Alam, Shah Alam. - Foto Adi Safri

Shugarholic berjaya dengan modal kecil

SHAH ALAM: Memang sudah ramai yang berjaya dalam perniagaan walaupun bermula modal kecil. Sandaran utama mereka hanyalah keazaman untuk masuk ke bidang itu yang menjanjikan sembilan daripada 10 pintu rezeki.

Sudah banyak kali kita dengar kejayaan usahawan memulakan perniagaan tanpa modal, tapi sangat jarang dalam kalangan kita ingin mempercayai malah jauh sekali untuk mencontohinya.

PEKERJA Shugarholic Confectionery menghasilkan kek. - Foto Adi Safri
PEKERJA Shugarholic Confectionery menghasilkan kek. - Foto Adi Safri

Apatah lagi pandangan 'semua perniagaan memerlukan wang untuk membuat wang' sudah sebati dan terpahat di minda, sehinggakan ramai yang berminat termasuk orang Melayu menjauhi bidang itu kerana taksub dengan petua, cari modal dulu sebelum mulakan perniagaan.

Bagaimanapun, memang ada banyak syarikat yang sudah berjaya hingga jenamanya tersohor segenap ceruk, tetapi memulakan perniagaan tanpa modal.

PROSES pengeluaran kek di kilang Shugarholic Confectionery. - Foto Adi Safri
PROSES pengeluaran kek di kilang Shugarholic Confectionery. - Foto Adi Safri

Shugarholic Confectionery adalah antara syarikat berkenaan. Kini menjadi jenama yang cukup sinonim dalam kalangan penggemar kek keju di seluruh negara khususnya selepas tercetusnya kegilaan 'Cheese Cake' dalam kalangan peminatnya di sekitar Lembah Klang sejak 2011.

Bahkan, menerusi konsep ejen yang diperkenalkan sejak September 2013, lima kek keju utama termasuk produk paling popularnya, Cheezylicious Marie Layer kini dipasarkan di seluruh negara dan mula mendapat perhatian di pasaran Singapura dan China.

PENGHASILAN kek di kilang Shugaholic Confectionery. - Foto Adi Safri
PENGHASILAN kek di kilang Shugaholic Confectionery. - Foto Adi Safri

Menariknya, jenama popular seperti Shugarholic Confectionery itu sebenarnya bermula dengan sebuah ketuhar hadiah cabutan bertuah yang dimenangi Maza Asma Mustafa, 37, ketika berkhidmat di sebuah bank terkemuka dulu.

Beliau kemudian bersama-sama suaminya Mohd Zaidi Hassan, 38, mengasaskan Shugarholic Confectionery pada 2009 dengan menjual secara kecil-kecilan kek keju ke pejabat menerusi keluarga terdekat.

MAZA Asma (kanan) dan Mohd Zaidi (kiri) memerhatikan pekerja mereka di kilang Shugarholic Confectionery. - Foto Adi Safri
MAZA Asma (kanan) dan Mohd Zaidi (kiri) memerhatikan pekerja mereka di kilang Shugarholic Confectionery. - Foto Adi Safri

"Masa terima hadiah cabutan bertuah itu, saya sedang sarat mengandung dan selepas bersalin baru saya terfikir apa yang boleh saya lakukan untuk bantu meringankan bebanan suami untuk menyara hidup.

"Ketika itu hidup kami susah sebab menanggung hutang besar ekoran gagal dalam perniagaan restoran yang diusahakan di Sungai Petani, sebelum ini.

"Dulu kami ingat nak berniaga kena ada modal besar dan kesilapan itu menyebabkan kami terbeban dengan hutang yang tinggi, tapi kini Alhamdulillah kami berjaya bangunkan perniagaan ini tanpa sebarang modal," katanya ketika ditemui di kemudahan pengeluaran Shugarholic Confectionery di Puncak Alam, Shah Alam, baru-baru ini.

MOHD ZAIDI (kanan) memantau bekalan kek di dalam peti sejuk beku di kilang Shugaholic Confectionery. - Foto Adi Safri
MOHD ZAIDI (kanan) memantau bekalan kek di dalam peti sejuk beku di kilang Shugaholic Confectionery. - Foto Adi Safri

Sepanjang temu bual, Maza Asma dan Mohd Zaidi kelihatan cukup merendah diri dan mesra apatah lagi pasangan suami isteri yang memiliki latar belakang profesional dari pusat pengajian tinggi Amerika Syarikat itu tidak betah berkongsi idea untuk berjaya.

Ketika mengulas cabaran pada awal perniagaan, beliau berkata, apabila semakin banyak menerima tempahan kek sambutan perayaan dan perkahwinan, beliau sekeluarga terpaksa berulang-alik dari Bandar Tasik Selatan ke Putra Heights setiap malam hanya untuk meminjam ketuhar milik abangnya.

Katanya, akhirnya ibunya meminjamkan wang supaya beliau membeli ketuhar komersial sebagai persediaan untuk tempahan hari raya yang bakal menjelang ketika itu.

 MAZA Asma dan Mohd Zaidi menunjukkan kek keluaran mereka. - Foto Adi Safri
MAZA Asma dan Mohd Zaidi menunjukkan kek keluaran mereka. - Foto Adi Safri

"Mak kesian melihat kami berulang-alik ke rumah abang selepas kerja dan pulang ke rumah sebelum sahur, jadi mak meminjamkan wang untuk beli ketuhar komersial yang akhirnya kami mampu memulangkan kembali wangnya hasil jualan sepanjang bulan puasa itu.

"Alhamdulillah, bermula dari situ, perjalanan perniagaan kek kami terus berkembang lebih-lebih lagi selepas mengenali pengasas Anis Chocolate Moist dan kursus motivasi yang diikuti," katanya.

Sementara itu, Mohd Zaidi berkata perubahan ketara kepada Shugarholic Confectionery adalah apabila mereka memindahkan operasi ke lot rumah kedai untuk dijadikan operasi pengeluaran kek.

Katanya, dengan adanya kemudahan itu, Shugarholic Confectionery menjadi pengeluar dan mengedar sendiri produk ke pasaran khususnya di stesen minyak Petron sekitar Lembah Klang.

"Apabila isteri saya berhenti kerja, kami menumpukan sepenuhnya kepada perniagaan kek ini. Dalam tempoh setahun, kami mendapat sambutan menggalakkan membekalkan 50 kek seminggu hinggalah mencecah 100 kek seminggu.

"Perkembangan lebih menggalakkan berlaku apabila kami perkenalkan sistem ejen berkonsepkan perniagaan tanpa modal yang mendapat sambutan ejen seluruh negara hinggakan pengeluaran kami tidak mampu memenuhi permintaan ini.

"Kami akan terus agresif meluaskan lagi pengedaran selepas selesai proses penambahan kemudahan pengeluaran kami kini," katanya.

Kini pasangan suami isteri itu menyediakan platform laman sosial Facebook Shugarholic Confectionery untuk penggemar dan usahawan yang ingin menjejaki perkembangan perniagaan mereka supaya dapat dijadikan teladan dan panduan dalam perniagaan mereka.

Berita Harian X