Rabu, 6 Mei 2015 | 12:04am
PEKERJA asing perlu lulus ujian saringan dalam tempoh 30 hari mereka memasuki negara. - Foto Saifullizan Tamadi
PEKERJA asing perlu lulus ujian saringan dalam tempoh 30 hari mereka memasuki negara. - Foto Saifullizan Tamadi

Klinik panel bersekongkol dengan pekerja asing

KUALA LUMPUR: Sikap 'ala kadar' dan wujud komplot membabitkan majikan dan klinik panel yang dilantik kerajaan bagi melakukan pemeriksaan kesihatan antara faktor kes penyakit berjangkit disebarkan pendatang asing di negara ini.

Kemasukan pekerja asing yang semakin ramai juga mendorong sebahagian panel klinik mengambil kesempatan mengetepikan prosedur saringan wajib kesihatan yang ditetapkan sebelum permit bekerja boleh dikeluarkan.

Itu antara penipuan didedahkan Agensi Pemantauan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (FOMEMA) berhubung peningkatan penularan kes penyakit berjangkit pekerja asing seperti dilapor Kementerian Kesihatan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd Hatar Ismail, berkata setiap tahun FOMEMA menerima permohonan sekurang-kurangnya sejuta pekerja asing yang membuat ujian saringan.

FOMEMA menjalankan ujian saringan kesihatan sebanyak tiga kali iaitu ketika pekerja asing mula memasuki negara untuk mendapatkan permit pekerjaan, selepas setahun bekerja di sini dan tahun kedua bekerja. - Foto Zatul Iffah Zolkiply
FOMEMA menjalankan ujian saringan kesihatan sebanyak tiga kali iaitu ketika pekerja asing mula memasuki negara untuk mendapatkan permit pekerjaan, selepas setahun bekerja di sini dan tahun kedua bekerja. - Foto Zatul Iffah Zolkiply

Justeru, beliau berkata, tidak mustahil berlaku kepincangan kerana FOMEMA hanya menjadi badan induk pemeriksaan kesihatan pekerja asing tetapi pelaksanaan ujian saringan dilakukan oleh klinik panel yang dilantik pihaknya.

"Ada beberapa kepincangan yang berlaku antaranya kes yang mana klinik panel membuat pengesahan ujian saringan pekerja asing menggunakan salinan pasport bukannya pasport asal mereka. Ini bertentangan dengan prosedur FOMEMA.

"Khuatir jika hanya bawa salinan boleh diubah suai, zaman sekarang ini semua benda kita boleh buat. Juga terdapat kes penipuan dalam kalangan klinik panel yang berkemungkinan besar berpakat dengan ejen atau majikan.

KETUA Pegawai Eksekutif FOMEMA, Datuk Mohd Hatar Ismail.
KETUA Pegawai Eksekutif FOMEMA, Datuk Mohd Hatar Ismail.

"Contohnya, pemeriksaan X-ray, majikan atau ejen hanya hantar seorang pekerja A untuk pemeriksaan X-ray tetapi filem X-ray pekerja A ini digunakan untuk tiga individu yang lain. Satu X-ray tapi dikongsi oleh tiga orang yang lain," katanya.

Mohd Hatar, berkata pihaknya turut membuat pemeriksaan rambang sekurang-kurangnya 10 peratus daripada keseluruhan keputusan ujian saringan yang dihantar oleh klinik panel kepada pihaknya dan Imigresen.

Namun, katanya, berlaku kepincangan kerana ketika ujian rambang dijalankan oleh FOMEMA, ada pekerja asing yang sudah diluluskan permit pekerjaan.

PEKERJA asing perlu perlu menjalani ujian kesihatan, pemeriksaan X-ray, ujian darah serta air kencing. - Foto Saddam Yusoff
PEKERJA asing perlu perlu menjalani ujian kesihatan, pemeriksaan X-ray, ujian darah serta air kencing. - Foto Saddam Yusoff

"Kita hantar surat kepada Imigresen dan majikan, beritahu yang pekerja asing ini sebenarnya tidak lulus ujian saringan. Tapi kebiasaannya ketika kami jalankan ujian rambang kali kedua, mereka sudah dapat permit pekerjaan yang sah kerana berdasarkan ujian pemeriksaan yang pertama," katanya.

Mohd Hatar, berkata klinik panel yang gagal mematuhi prosedur yang ditetapkan akan diberikan amaran ataupun penggantungan maksimum selama dua tahun.

Katanya, FOMEMA juga boleh membatalkan kelayakan klinik panelnya jika didapati ingkar dan masih tidak mengikut prosedur ditetapkan.

"Jika kes penipuan oleh klinik panelnya terlalu berat, FOMEMA akan menghantar notis kepada KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) untuk diambil tindakan lebih tegas.

"Tindakan yang biasa diambil oleh KKM bergantung kepada kes yang dilakukan oleh klinik panel, kebiasaannya KKM akan menggantung operasi klinik, menggantung kelayakan doktor, menarik balik kelayakan perubatan yang telah diberikan ataupun dibawa ke mahkamah.

Mohd Hatar berkata, satu lagi perkara yang menjadi kebimbangan adalah pemeriksaan wajib kepada pekerja asing hanya tertakluk kepada tiga tahun sahaja dan ini bermakna memasuki tahun keempat pekerja asing ini sudah tidak perlu membuat pemeriksaan kesihatan lagi.

Katanya, jika pemeriksaan dijalankan selama tiga tahun sahaja, tahap kesihatan pekerja asing selepas tiga tahun berada di sini tidak dapat dipastikan dan sehingga kini tiada maklumat mengenai sejauh mana kesihatan mereka.

"Pernah ada kes pada tahun 2010, di Hospital Sungai Buloh dan Pusat Perubatan Universiti Malaya terdapat kes pekerja asing menghidap penyakit tibi yang serius. Pemeriksaan hospital dengan pihak kami mendapati mereka ini lulus ujian saringan kesihatan.

"Andaian yang boleh dibuat adalah mereka ini dijangkiti tibi kerana bercampur dengan pekerja asing lain mereka yang tanpa izin. Malah terdapat kebarangkalian yang tinggi mereka ini dijangkiti ketika pulang ke kampung halaman untuk bercuti.

SEKUMPULAN pekerja asing diperiksa oleh pihak berkuasa dalam satu operasi di tapak pembinaan di Shah Alam. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria
SEKUMPULAN pekerja asing diperiksa oleh pihak berkuasa dalam satu operasi di tapak pembinaan di Shah Alam. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

"Jika dulu susah untuk mereka keluar masuk negara untuk pulang bercuti, tapi disebabkan banyaknya penerbangan tambang murah membuatkan mereka boleh pulang hampir setiap tahun.

"Bila mereka pulang ke kampung halaman dan masuk semula ke sini, tiada pemeriksaan kesihatan dijalankan," katanya.

Mohd Hatar turut menyatakan bagi pekerja asing yang bersempadan dengan Malaysia atau lebih dikenali sebagai pekerja kedai tomyam, mereka tidak melalui proses saringan kesihatan FOMEMA, sebaliknya hanya perlu mendapatkan ujian di klinik swasta biasa dan mendapatkan pas sempadan.

Lantaran itu FOMEMA menyarankan agar dasar ini diubah dan pemeriksaan dibuat kepada semua termasuk pekerja asing dari Thailand, selain dijalankan pemeriksaan setiap tahun.

*Ikuti siri seterusnya esok mengenai kos tinggi yang ditanggung majikan sehingga mendorong sebahagiannya majikan pekerja asing mengambil kesempatan berkomplot dengan klinik panel.

PEKERJA asing menunjukkan kad hijau ketika operasi pemeriksaan di tapak pembinaan. - Foto Salhani Ibrahim
PEKERJA asing menunjukkan kad hijau ketika operasi pemeriksaan di tapak pembinaan. - Foto Salhani Ibrahim

INFO

  • Pekerja asing yang ingin bekerja di negara ini perlu mendapatkan ujian saringan daripada FOMEMA dalam tempoh 30 hari mereka memasuki negara.
  • Mereka perlu menjalani ujian kesihatan di klinik panel sebelum diwajibkan menjalani pemeriksaan X-ray dan ujian darah serta air kencing.
  • Setelah ujian FOMEMA diluluskan mereka akan membawa salinan ke Imigresen bagi mendapatkan permit pekerjaan.
  • Jika ujian gagal, pihak majikan atau ejen perlu menghantar pekerja asing ini pulang ke negara asal secepat yang mungkin.
  • FOMEMA menjalankan ujian saringan kesihatan sebanyak tiga kali iaitu ketika pekerja asing ini mula memasuki negara untuk mendapatkan permit pekerjaan, selepas setahun bekerja di sini dan tahun kedua bekerja.
  • Pada tahun 2014, FOMEMA telah menyaring seramai 1.2 juta pekerja asing.
Berita Harian X