Selasa, 5 Mei 2015 | 12:04am
TINJAUAN peniaga makanan yang menggunakan pekerja asing di sekitar Kuala Lumpur. - Foto Rosela Ismail
TINJAUAN peniaga makanan yang menggunakan pekerja asing di sekitar Kuala Lumpur. - Foto Rosela Ismail
KEDAI makan, restoran atau gerai yang kini banyak didominasi pekerja asing. - Foto Nurul Shafina Jemenon
KEDAI makan, restoran atau gerai yang kini banyak didominasi pekerja asing. - Foto Nurul Shafina Jemenon
SEBAHAGIAN warga asing dilihat berlegar-legar di hadapan Stesen KTM Klang pada musim cuti umum. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
SEBAHAGIAN warga asing dilihat berlegar-legar di hadapan Stesen KTM Klang pada musim cuti umum. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

Lubuk penyakit warga asing

BAYANGKAN jika anda berada di dalam pengangkutan awam dikelilingi pekerja asing dan ada antara mereka penghidap penyakit tibi.

Kebarangkalian anda mendapat penyakit ini adalah sangat tinggi kerana tibi mudah berjangkit dalam persekitaran yang terhad, berhawa dingin dan sesak.

Begitu juga sekiranya anda makan di restoran atau gerai yang kini banyak didominasi oleh pekerja asing, adakah anda yakin selamat? Adakah pekerja asing yang bekerja dalam sektor industri makanan di negara ini benar-benar bebas daripada penyakit berjangkit?

Ini kerana penyakit berjangkit yang dulunya berjaya dikurangkan dan hampir mencapai angka sifar seperti penyakit wabak tuberkulosis (tibi), kusta, malaria dan filariasis (untut/kaki gajah), kini semakin menular dan menjadi penyakit yang boleh dianggap ancaman negara kerana peningkatan kesnya setiap tahun.

WARGA asing bersiar-siar di sekitar Kuala Lumpur. Ada di antara mereka penyebar penyakit berjangkit. - Foto Rosela Ismail
WARGA asing bersiar-siar di sekitar Kuala Lumpur. Ada di antara mereka penyebar penyakit berjangkit. - Foto Rosela Ismail

Punca utama penularan kembali penyakit berjangkit ini adalah kebanjiran tanpa kawalan pekerja asing dan mengikut anggaran dibuat Unit Perangkaan Kementerian Sumber Manusia, seramai 6.7 juta pekerja asing masuk ke negara ini dan hanya 2.1 juta mempunyai permit sah.

Tambah merisaukan laporan Agensi Pemantauan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (FOMEMA) menunjukkan pada tahun 2014, seramai 37,294 daripada 1.3 juta rakyat asing yang ingin bekerja secara sah di negara ini dikesan mempunyai gejala penyakit berjangkit.

Laporan FOMEMA menunjukkan penyakit yang paling banyak disaring positif adalah tibi atau batuk kering sebanyak 47 peratus atau 17,981 orang, diikuti hepatitis B oleh seramai 4,203 orang, penyakit kelamin berjangkit (1,371), menghisap ganja (1,660) dan candu (1,176), pembawa HIV (334) dan sakit mental (292).

Walaupun ini perangkaan dalam kalangan warga asing, namun kebarangkalian mereka menyebarkannya kepada orang lain adalah sangat tinggi.

KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) FOMEMA, Datuk Mohd Hatar Ismail. - Foto NSTP
KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) FOMEMA, Datuk Mohd Hatar Ismail. - Foto NSTP

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FOMEMA, Datuk Mohd Hatar Ismail, berkata ujian saringan yang dijalankan oleh FOMEMA adalah hanya kepada pekerja asing yang masuk secara sah, namun kebimbangan sebenarnya adalah dalam kalangan pekerja asing tanpa izin dan pelarian.

"Jika pekerja asing yang sah ini lulus ujian saringan FOMEMA, kebarangkalian mereka mendapat penyakit berjangkit tetap tinggi jika mereka berkumpul dan tinggal serumah dengan pekerja asing tanpa izin yang menghidap penyakit berjangkit seperti tibi," katanya.

Tinjauan BH Plus di ibu negara berjaya menemui beberapa pekerja asing tanpa izin dan pelarian Rohingya yang berpotensi mempunyai penyakit berjangkit seperti tibi, didapati bebas bekerja di negara ini.

Paling menakutkan adalah kebanyakan mereka bekerja dalam industri makanan seperti di restoran, kafe, dan gerai.

Lukman U Win adalah pelarian Rohingya yang memegang kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) mengakui, kemasukannya ke negara ini tidak melalui proses saringan kesihatan.

"Saya dari Rohingya terus masuk ke sini tanpa ada pemeriksaan kesihatan. Cuma saya dapat satu suntikan saja, tidak buat pemeriksaan menyeluruh seperti x-ray, ujian darah atau air kencing.

"Bila sampai sini, saya bebas untuk melakukan apa saja dan kini saya bekerja sebagai pembantu restoran. Ada rakan senegara serta dari Bangladesh dan Nepal berkerja bersama saya," katanya yang bekerja di sebuah restoran yang menyediakan masakan Bangladesh dan Nepal di ibu negara.

Sementara itu, seorang pekerja asing dari Chennai India yang memasuki negara ini melalui ejen pekerja asing mengakui menjalani ujian saringan FOMEMA.

Abdul Ghafoor pada mulanya menyatakan pernah menjalani ujian saringan FOMEMA tetapi apabila ditanya lanjut mengenai cara saringan dijalankan, dia menyatakan hanya pergi ke sebuah klinik dan menjalani pemeriksaan umum seperti tekanan darah, tinggi, berat dan gigi saja sebelum diberikan satu suntikan.

Pengakuan Abdul Ghafoor ini jauh berbeza dengan ujian saringan FOMEMA yang memerlukan seorang pekerja asing yang ingin mendapatkan pas bekerja perlu menjalani ujian kesihatan umum sebelum diwajibkan menjalani ujian darah, air kencing dan x-ray dada.

Info

# Data daripada Bahagian Teknologi Maklumat dan Rekod Jabatan Imigresen Malaysia sehingga Jun 2014, bilangan pekerja asing yang aktif bekerja di enam sektor utama mencecah sehingga 2.01 juta orang.

# Taburan kemasukan pekerja asing mengikut negara
1- Indonesia (41 peratus)
2- Filipina (34 peratus)
3- Bangladesh (7 peratus)
4- Nepal (5 peratus)
5- Myanmar (5 peratus)

**IKUTI siri kedua esok mengenai ujian saringan yang betul dan pengakuan FOMEMA mengenai berlakunya penipuan dalam menjalani ujian saringan oleh majikan dan klinik panel.

Berita Harian X