KEMUNCULAN restoran berkonsepkan santai yang menghidangkan masakan ala barat di Bandaraya Ipoh ibarat cendawan yang tumbuh selepas hujan.
Kebelakangan ini ada sahaja restoran baharu dibuka, antaranya Restoran Konda Kondi yang menjadi buah mulut masyarakat setempat dan pelancong.
Restoran yang terletak di tengah-tengah bandar raya iaitu di 83, Jalan Sultan Idris Shah, berdekatan Gerbang Malam, ini diusahakan oleh Azril Aryandi Zambri, 27 dan adiknya, Aznil Al-Hadi, 22.
Biarpun dibuka setiap hari seawal jam 5 petang sehingga awal pagi, ramai pengunjung sanggup menunggu untuk mendapatkan meja di restoran yang baru beroperasi selama dua bulan.
Berbekalkan ilmu dan pendidikan dalam bidang masakan, Aznil yang menggalas tanggungjawab menyediakan hidangan istimewa mengubah suai menu Mexico untuk menyediakan hidangan Taco dan Burrito dengan cita rasa tempatan.
Sos salsa dan mayo ketumbar juga istimewa kerana menggunakan resepi tersendiri dan kedua-dua hidangan itu begitu digemari pengunjung tambahan pula dihidangkan bersama daging dan sayur segar.
Aroma herba yang digunakan dalam hidangan menusuk ke segenap penjuru restoran hingga membangkitkan selera pelanggan.
"Hidangan ala Mexico yang halal susah untuk diperoleh di sini. Justeru, restoran ini hadir dengan hidangan berkenaan supaya pelanggan dapat mencuba sesuatu yang lain dan berbeza.
"Buat masa ini, hanya dua hidangan ala Mexico yang berjaya kami olah dan pada masa depan akan ada lebih banyak hidangan Mexico yang akan kami sesuaikan dengan cita rasa tempatan.
"Semua bahan yang digunakan adalah bahan segar keluaran tempatan kerana kami mementingkan kualiti agar pelanggan memperoleh nikmat dan kepuasan yang maksimum sepanjang menikmati hidangan kami. Apa yang penting kami menjual hidangan kami pada harga berpatutan," kata Aznil.
Hidangan dalam kuantiti besar
Restoran itu turut menghidangkan makanan tempatan seperti Nasi Ayam Hitam dan Nasi Lemak Pandan Sotong yang juga resepi turun temurun keluarga mereka. Malah bagi yang berselera besar, mereka tidak perlu risau kerana hidangan makanan bersaiz besar iaitu 'Giant Dinner' turut disediakan.
Aznil berkata, menu itu terdiri daripada ayam panggang, ubi lenyek, sayur-sayuran segar, telur goreng, daging burger dan sosej bersama sos Bolognese istimewa dicipta khas dan dihidangkan dalam pinggan besar dengan kuantiti yang banyak.
Azril yang bertindak sebagai pengurus restoran dan bertanggungjawab terhadap hiasan dalaman berkata, restoran itu menggabungkan konsep santai, moden dan tradisional agar pengunjung selesa sepanjang menikmati hidangan.
Katanya, Konda Kondi diambil sempena nama permainan kanak-kanak sekali gus dapat mengimbau sejarah permainan itu yang semakin dilupakan.
"Kami cuba membawa kelainan bukan hanya pada menu semata-mata malah restoran juga dinamakan sempena nama permainan tradisional agar ia mampu menarik perhatian masyarakat tempatan dan pelancong luar," katanya.
INFO
Restoran Konda Kondi
Lokasi: 83, Jalan Sultan Idris, Ipoh Perak (berdekatan Gerbang Malam)
Masa Operasi: 5 petang hingga awal pagi.
Menu Istimewa: Makanan ala Mexico seperti Taco dan Burrito, Nasi Ayam Hitam, Nasi Lemak Pandan Sotong dan Giant Dinner
Sebarang pertanyaan boleh dibuat di laman sosial Instagram KondaKondi atau hubungi Azril di talian 014-3082321.