Selasa, 28 April 2015 | 12:02am
BEKAS penyerang kebangsaan, Khalid Jamlus (tengah) turut sama dalam barisan kejurulatihan Sime Darby FC. - Foto Osman Adnan
BEKAS penyerang kebangsaan, Khalid Jamlus (tengah) turut sama dalam barisan kejurulatihan Sime Darby FC. - Foto Osman Adnan
JURULATIH Sime Darby FC, Ismail Zakaria. - Foto Osman Adnan
JURULATIH Sime Darby FC, Ismail Zakaria. - Foto Osman Adnan
PADANG latihan Sime Darby FC di Bukit Jelutong. - Foto Osman Adnan
PADANG latihan Sime Darby FC di Bukit Jelutong. - Foto Osman Adnan

Sime Darby FC sasar jadi seperti kelab EPL

MENJELANG pelaksanaan pengurusan profesional sepenuhnya membabitkan pasukan dalam Liga Malaysia musim depan, Sime Darby FC (SDFC) mengambil inisiatif mengorak langkah membangunkan kemudahan berstatus kelab profesional seperti di Liga Perdana Inggeris (EPL).

Biarpun baharu bersaing dalam Liga Super, SDFC sudah melabur jutaan ringgit bagi menyediakan kemudahan padang latihan dan pusat pemulihan untuk pemain yang ditimpa kecederaan.

Setiausaha Kehormat SDFC, Zainal Amat, berkata kelab itu membelanjakan kira-kira RM1.5 juta untuk membina pusat latihan di di Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor pada tahun 2012.

Beliau berkata, pusat latihan itu mengandungi padang utama dengan permukaan rumput 'cow grass' serta padang rumput tiruan di sebelahnya berkeluasan 18 kaki x 60 kaki untuk latihan kecergasan dan latihan ringan ketika hujan.

Katanya, kemudahan itu dipertingkat dari tahun ke tahun bagi mencapai keperluan sebuah pasukan bola sepak profesional.

"Setiap pasukan profesional memerlukan padang latihan yang baik dan juga kemudahan-kemudahan lain.

PADANG latihan Sime Darby FC di Bukit Jelutong. - Foto Osman Adnan
PADANG latihan Sime Darby FC di Bukit Jelutong. - Foto Osman Adnan

"Tahun lalu, kami bina pula sebuah gimnasium mini dengan beberapa kelengkapan penting terutama untuk proses pemulihan pemain yang cedera. Alhamdulillah kemudahan ini semakin lama semakin banyak dapat kami tambah.

"Harap satu hari nanti, siapa tahu kami akan dapat membina sebuah pusat latihan lebih baik daripada ini dan di lokasi yang lebih sesuai serta mendapatkan juga sebuah stadium mini untuk kami jadikannya sebagai gelanggang tuan rumah SDFC," kata Zainal ketika ditemui di pusat latihan berkenaan di Bukit Jelutong.

SDFC kini menggunakan Stadium Selayang sebagai gelanggang rasmi.

Ditanya apakah SDFC merancang untuk membina stadium sendiri, Zainal berkata, hasrat itu memang ada.

"Itu bukan keputusan pihak kelab. Kami bukannya kelab yang ada kewangan besar untuk membina stadium. Tapi keinginan itu tetap ada, terpulang kepada Sime Darby Berhad untuk menyediakannya."

Biarpun berbangga diiktiraf antara kelab yang mempunyai padang latihan sendiri di negara ini, Zainal berkata, ia bukan untuk dimegah-megahkan mereka, sebaliknya kemudahan seperti itu wajib dimiliki semua pasukan kelab dan negeri yang beraksi di Liga Malaysia (Liga-M).

"Kami di sini bukan untuk bersaing dengan mana-mana pasukan terutama JDT dari segi kemudahan latihan ini. JDT sebuah pasukan yang besar dengan mempunyai presiden (Tunku Ismail Sultan Ibrahim) yang memiliki visi yang besar.

"Kami hanya menyediakan apa yang termampu untuk kami dan terbaik untuk latihan pasukan kami. Itu tujuan utama kami.

"Jika kita lihat, masih ada pasukan negeri yang menggunakan stadium sebagai tempat latihan. Sebab itu boleh dilihat keadaan padang di sesetengah stadium tidak begitu baik setiap kali perlawanan Liga-M berlangsung," jelas Zainal yang juga penolong pengurus pasukan SDFC.

JURULATIH Sime Darby FC, Ismail Zakaria (dua dari kiri) pada sesi latihan di Bukit Jelutong. - Foto Osman Adnan
JURULATIH Sime Darby FC, Ismail Zakaria (dua dari kiri) pada sesi latihan di Bukit Jelutong. - Foto Osman Adnan

SDFC kini bergelut dalam saingan Liga Super musim ini apabila kini menghuni tangga tercorot dengan hanya mengutip dua mata selepas sembilan perlawanan.

Namun andai dinilai secara keseluruhan, SDFC bolehlah dianggap antara pasukan berstatus kelab yang paling cepat meningkat naik sepanjang tempoh lima tahun sejak ia ditubuhkan pada Januari 2010.

Hanya semusim di Liga FAM, mereka terus muncul juara pada 2010 dan kemudian tiga musim di Liga Perdana sehingga muncul naib juara pada 2013 untuk naik pula ke Liga Super musim lalu dengan pencapaian membanggakan iaitu tempat kelima liga, satu anak tangga mengatasi Kelantan.

Sementara itu, jurulatih SDFC, Ismail Zakaria yang sudah bersama kelab itu sejak dari awal penubuhannya, lima tahun lalu berkata, kemudahan lengkap di padang latihan mampu meningkatkan motivasi para pemain selain mengelak risiko masalah kecederaan.

"Sebelum ini apabila kami menumpang di padang latihan yang dimiliki pihak lain, jika hujan mereka tak beri kebenaran berlatih. Jadi ia boleh membuatkan motivasi pemain terganggu.

"Tapi dengan adanya padang latihan sendiri, jika hujan kami boleh anjak latihan ke sebelah malam kerana ia dilengkapi lampu limpah. Tak guna kita gajikan pemain hebat tetapi gagal menyediakan padang latihan sesuai yang boleh mengelak mereka mengalami kecederaan berulang," kata Ismail.

Bekas Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) itu turut berharap SDFC dapat terus kekal sebagai kelab yang bersaing di Liga-M.

"Lima tahun dalam saingan liga profesional, jangka yang pendek dilakukan SDFC untuk mencapai kejayaan layak beraksi di Liga Super sejak musim lalu berbanding pasukan lain yang bertahun kandas di Liga Perdana.

JURULATIH Sime Darby FC, Ismail Zakaria (kanan) mengendalikan sesi latihan di Bukit Jelutong. - Foto Osman Adnan
JURULATIH Sime Darby FC, Ismail Zakaria (kanan) mengendalikan sesi latihan di Bukit Jelutong. - Foto Osman Adnan

"Jika mahu kejayaan ini berterusan, SDFC memerlukan sokongan daripada pihak atasan terutama dari segi kewangan untuk membolehkan kami pergi lebih jauh di peringkat Asia," tegas Ismail yang melakar sejarah membawa SDFC muncul kelab pertama layak ke final Piala FA pada 2012 tetapi sekadar bergelar naib juara selepas tewas kepada Kelantan.

Bagi penjaga gol SDFC, Redzuan Harun, 37, yang juga pemain paling lama bersama kelab itu sejak ditubuhkan pada 2010, dia berasa selesa untuk terus kekal bermain dengan SDFC yang dianggapnya pasukan diurus dengan cukup profesional dan dilengkapi segala kemudahan latihan.

"Setiap tahun pasti ada saja peningkatan dari segi pencapaian mahu pun kemudahan pasukan. Cuma musim ini kami mengalami kemerosotan mendadak apabila kini di tangga tercorot Liga Super selepas sembilan perlawanan.

KERJA penyelenggaraan rumput di padang latihan Sime Darby FC di Bukit Jelutong. - Foto Osman Adnan
KERJA penyelenggaraan rumput di padang latihan Sime Darby FC di Bukit Jelutong. - Foto Osman Adnan

"Saya masih ingat pada 2010, kami bermula dengan padang di sebuah sekolah kebangsaan di Kota Kemuning menjadi lokasi latihan harian kami sebelum kami kemudian berpindah tempat latihan di Stadium UPM, Serdang serta beberapa padang di pusat latihan sekitar Bangi.

"Bagi saya, memang perlu sesebuah pasukan itu memiliki kemudahan latihan sendiri terutama padang dan lampu limpah supaya jurulatih boleh mengadakan sesi latihan bila-bila masa dan pemain nak buat latihan tambahan pun tiada masalah," kata Redzuan yang pernah beraksi bersama Proton FC dan FELDA United.

KEADAAN rumput di padang latihan Sime Darby FC di Bukit Jelutong. - Foto Osman Adnan
KEADAAN rumput di padang latihan Sime Darby FC di Bukit Jelutong. - Foto Osman Adnan

INFO: Sime Darby Football Club
Nama penuh kelab: Sime Darby Football Club (SDFC)
Nama gelaran: The Giant Killers
Ditubuhkan: 22 Januari 2010
Stadium: Stadium Selayang
Kapasiti: 11,000 penonton
Padang latihan: Bukit Jelutong, Shah Alam
Laman web rasmi: www.simedarbyfc.com

Presiden/pengurus: Tengku Datuk Seri Ahmad Shah
Setiausaha Kehormat/penolong pengurus: Zainal Amat
Ketua jurulatih: Ismail Zakaria
Kapten: Juzaili Samion

Pencapaian kelab:
2010 - Juara Liga FAM
2011 - Layak ke Piala Malaysia buat kali pertama
2012 - Naib juara Piala FA
2013 - Naib juara Liga Perdana
2014 - Tempat kelima Liga Super

Berita Harian X