Selasa, 21 April 2015 | 12:04am
ANTARA kawasan hutan di wilayah tengah Sarawak yang dipercayai digondolkan pembalak haram yang dikesan menerusi Ops Pangkas. - Foto Nadim Bokhari
ANTARA kawasan hutan di wilayah tengah Sarawak yang dipercayai digondolkan pembalak haram yang dikesan menerusi Ops Pangkas. - Foto Nadim Bokhari
KAKITANGAN JHS memeriksa balak yang ditebang secara haram. - Foto Nadim Bokhari
KAKITANGAN JHS memeriksa balak yang ditebang secara haram. - Foto Nadim Bokhari
PEMERIKSAAN JHS di beberapa batang sungai menemui longgokan kayu balak yang tidak mempunyai permit dalam operasi Ops Pangkas. -Foto Nadim Bokhari
PEMERIKSAAN JHS di beberapa batang sungai menemui longgokan kayu balak yang tidak mempunyai permit dalam operasi Ops Pangkas. -Foto Nadim Bokhari
PEMBALAK haram berani mengeluarkan balak curi menerusi sungai. - Foto Nadim Bokhari
PEMBALAK haram berani mengeluarkan balak curi menerusi sungai. - Foto Nadim Bokhari
PENGARAH Operasi Daerah Maritim Kuching, Komander Maritim Shahref Steve Mcqueen Abdullah, menunjukkan kapal kargo pasir yang ditahan kerana disyaki membawa balak haram. - Foto Che Rani Che Din
PENGARAH Operasi Daerah Maritim Kuching, Komander Maritim Shahref Steve Mcqueen Abdullah, menunjukkan kapal kargo pasir yang ditahan kerana disyaki membawa balak haram. - Foto Che Rani Che Din

KM Sarawak mahu perangi habis-habisan lanun rimba

PETRA JAYA: "Ia lebih buruk daripada yang disangka," demikian reaksi spontan Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem, ketika diminta mengulas isu pembalakan haram di Sarawak.

"Pencuri kayu (balak) bermaharajalela di Sarawak, dah terlalu lama mereka bermaharajalela. Potong (kayu) haram, angkut haram dan jual haram tanpa membayar satu sen royalti pun kepada kerajaan (negeri).

"Ada kilang papan haram yang sengaja didirikan (di tengah hutan) untuk memproses kayu haram.

"Ini perlu dihentikan, perlu ada titik noktah. Sampai bila harus kita biarkan mereka bermaharajalela kerana kesannya amat dahsyat. Kita kehilangan hasil, malah perlakuan mereka turut memusnahkan alam sekitar dan ekosistem," katanya.

Beliau yang juga Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Sarawak berkata demikian dalam temubual eksklusif bersama kumpulan akhbar The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd (NSTP) dan TV3 di pejabatnya di sini, Jumaat lalu.

Adenan sebelum itu diberikan taklimat mengenai Ops Pangkas, yang dilancarkan Jabatan Hutan Sarawak (JHS) di Sibu dan Miri, 6 April lalu. Dalam operasi enam hari itu, lebih 12,000 kayu balak bernilai RM6 juta dirampas dari 10 kilang papan dan 12 kem pembalakan berlesen di wilayah tengah negeri.

PEMANDANGAN dari udara sebahagian daripada kawasan ditebang pembalak haram dalam operasi Ops Pangkas. - Foto Nadim Bokhari
PEMANDANGAN dari udara sebahagian daripada kawasan ditebang pembalak haram dalam operasi Ops Pangkas. - Foto Nadim Bokhari

Ops Pangkas menerusi udara dan darat membabitkan kawasan seluas 52,000 hektar, turut dipantau sepasukan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Menteri berkata, tindakannya mengisytiharkan perang habis-habisan terhadap pembalakan haram bukan bermotifkan politik, sebaliknya bertujuan melindungi kepentingan kerajaan negeri, terutama dalam konteks ekonomi, selain memulihara alam sekitar untuk jangka panjang.

Mengulas lanjut, Adenan berkata, kelemahan penguatkuasaan dikenal pasti faktor utama berleluasanya kegiatan pembalakan haram di Sarawak sehingga mencalarkan imej negeri sebagai antara pengeluar dan pengeksport utama produk perkayuan tropika global.

"Malangnya, sebelum ini ada pegawai (hutan) kita yang cuai, malas kerja dan mungkin korup, termasuk bersubahat dengan pencuri (balak). Jadi, selepas saya mengambil alih kepimpinan negeri, saya beri amaran pada mereka. Saya tidak mahu berkompromi dalam hal ini.

"Saya beri peringatan pada mereka, jika ada berlaku kecurian (balak) dalam kawasan jagaan mereka, kita akan 'mendisiplinkan' mereka. Sebab itulah saya minta bantuan SPRM turut serta memerangi pembalak haram ini," katanya.

DALAM tempoh enam hari Ops Pangkas oleh JHS mulai 6 April lalu, lebih 12,000 kayu balak haram bernilai kira-kira RM6 juta dirampas. - Foto Nadim Bokhari
DALAM tempoh enam hari Ops Pangkas oleh JHS mulai 6 April lalu, lebih 12,000 kayu balak haram bernilai kira-kira RM6 juta dirampas. - Foto Nadim Bokhari

Beliau turut mengingatkan penjawat awam di negeri ini, khususnya yang terbabit secara langsung dalam kempen memerangi pembalakan haram, khususnya JHS dan Sarawak Forestry Corporation (SFC) agar lebih agresif, bertanggungjawab, jujur dan telus dalam melaksanakan penugasan mereka.

"Dalam operasi sebelum ini, bila kita serbu (kilang papan atau kem pembalakan), yang tinggal hanya mesin dan kayu, manakala pekerja sudah melarikan diri. Kita tahu ada yang membocorkan maklumat mengenai operasi atau serbuan yang dirancang. Kita siasat dan cari siapa dalang yang membocorkan maklumat, ..itu amaran saya.

"Perlu diingatkan, ini satu tanggungjawab dan amanah rakyat yang perlu dilaksanakan sebaik-baiknya. Keadaan sekarang (pembalakan haram) agak sedikit reda, baru mereka sedar negeri kita ada undang-undang dan peraturan. Mereka tidak boleh buat sesuka hati, namun kita syak ada banyak lagi (pembalak haram) dalam hutan kita. Kita akan kesan dan tangkap mereka," katanya.

KAKITANGAN JHS turun ke penempatan baharu aktiviti pembalakan haram. - Foto Nadim Bokhari
KAKITANGAN JHS turun ke penempatan baharu aktiviti pembalakan haram. - Foto Nadim Bokhari

Adenan juga tidak menafikan wujud sindiket terancang di sebalik kegiatan pembalakan haram di negeri itu berdasarkan saiz operasi di kawasan hutan tertentu, begitu juga modus operandi digunakan.

"Kita tidak menolak kemungkinan itu (pembabitan sindiket). Namun, inilah cara kita. Biar kita tangkap yang kecil dulu untuk cari jalan tangkap yang besar pula," katanya.

MENGARUT, ..denda RM200 untuk pembalak haram

"MENGARUT, ..sikit sangat." Itu pandangan Adenan mengenai kadar denda semasa dikenakan terhadap pembalak haram di Sarawak.

Katanya, denda RM200 bagi setiap kesalahan bukan sekadar tidak mampu memberi 'keinsafan', malah langsung tidak mencetuskan perasaan gerun dalam kalangan pembalak haram.

Beliau menegaskan sudah tiba masa kadar denda itu dikaji semula agar setimpal dengan perbuatan mereka.

PEMERIKSAAN oleh kakitangan JHS di kawasan baharu pembalakan haram. - Foto Nadim Bokhari
PEMERIKSAAN oleh kakitangan JHS di kawasan baharu pembalakan haram. - Foto Nadim Bokhari

"RM200 ini sangat ringan (hukumannya). Mengapa sikit sangat dendanya? Ini mengarut, ..tidak setimpal dengan kesan jangka panjang kegiatan itu kepada pertumbuhan ekonomi negeri dan alam sekitar kita.

"Walaupun dikenakan kompaun, mereka (pembalak haram) masih mendapat keuntungan menyebabkan kegiatan itu terus berleluasa dan sukar dikawal," katanya.

Sehubungan itu, Adenan berpendapat denda perlu dinaikkan antara 10 hingga 20 kali ganda atau minimum RM10,000 bagi setiap kesalahan.

Isu itu (kadar denda) akan diberi tumpuan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak kali ini (minggu ini), begitu juga hukuman penjara. Kerajaan negeri yakin perkara itu akan mendapat sokongan semua pihak.

"Di Sarawak, setiap hari berlaku pembalakan haram. Ada kilang papan haram juga didirikan untuk memproses kayu haram yang harus kita kekang.

KAKITANGAN JHS memasang penanda pada balak yang disita kerana tidak mempunyai permit dalam operasi Ops Pangkas. - Foto Nadim Bokhari
KAKITANGAN JHS memasang penanda pada balak yang disita kerana tidak mempunyai permit dalam operasi Ops Pangkas. - Foto Nadim Bokhari

"Bagaimana caranya? Kita memerlukan hukuman lebih berat, denda lebih tinggi dan hukuman penjara. Ini bagi memastikan mereka yang melakukan perbuatan itu, yang bersekongkol dan bersubahat dibuktikan bersalah dan dihukum," katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, operasi pemantauan dari udara menggunakan helikopter dan pesawat ringan akan diteruskan dalam mengekang kegiatan pembalakan haram di Sarawak bersesuaian dengan saiz negeri yang terlalu besar, dengan sebahagian besar keluasan itu dilitupi hutan serta tidak mempunyai akses.

Kerajaan negeri juga merancang untuk membeli pesawat dron.

"Kita pantau dari atas (udara). Jika pembalak haram mahu mencuri (balak), mereka kena lihat atas (langit) dulu kerana pergerakan mereka sentiasa diperhatikan," katanya.

Fakta Nombor
* 49,000 kayu balak dirampas sejak Mac 2014.
* RM20 juta nilai keseluruhan balak dirampas sejak setahun lalu.
* 200 serbuan dan operasi dilakukan.
* 335 individu ditahan sehingga kini untuk soal siasat.

Berita Harian X