Selasa, 21 April 2015 | 12:03am
KASUT bertumit tinggi Schuhster yang direka khas bagi lelaki 'rendah' boleh didapati di Paradigm Mall. - Foto Nik Hariff Hassan
KASUT bertumit tinggi Schuhster yang direka khas bagi lelaki 'rendah' boleh didapati di Paradigm Mall. - Foto Nik Hariff Hassan
JASON Chua mencuba kasut jenama Schuhster yang mampu membuat beliau kelihatan lebih tinggi. - Foto Nik Hariff Hassan
JASON Chua mencuba kasut jenama Schuhster yang mampu membuat beliau kelihatan lebih tinggi. - Foto Nik Hariff Hassan
 PEREKA kasut Schuhster, Shayna Teh. - Foto Aziah Azmee
PEREKA kasut Schuhster, Shayna Teh. - Foto Aziah Azmee
KASUT Schuhster untuk lelaki yang ingin tampak lebih tinggi. - Foto Aziah Azmee
KASUT Schuhster untuk lelaki yang ingin tampak lebih tinggi. - Foto Aziah Azmee

Tambah maskulin lelaki bertumit tinggi

LUMRAH bagi wanita memakai kasut tinggi, manakala bagi lelaki, rekaan kasut selalunya bertapak leper.

Di pasaran, tidak banyak pereka menyediakan kasut tumit tinggi untuk lelaki. Jika diimbas, kasut bertumit untuk lelaki sudah mula dipasarkan pada kurun ke-16.

Mengikut laporan BBC News, sejarah pemakaian kasut bertumit sudah mula tercatat dalam kalangan masyarakat Parsi yang kini dikenali sebagai Iran.

Kurator Kanan Muzium Kasut Bata di Toronto, Elizebeth Semmelhack, yang membicarakan mengenai rekaan kasut bertumit tinggi untuk lelaki, berkata pemakaian kasut bertapak sebenarnya mempunyai tujuan tertentu.

Katanya, sejak tahun 1500-an lelaki di Parsi mula mengenakan kasut bertumit untuk kemudahan menunggang kuda, sekali gus memberikan keseimbangan pada askar yang mengenakannya.

"Sekitar akhir abad ke-16, Raja Parsi, Shah Abbas mempunyai pasukan berkuda terbesar di dunia. Beliau berminat menjalin hubungan dengan raja-raja di Eropah Barat untuk membantunya mengalahkan musuh terbesar negaranya iaitu Empayar Uthmaniyah.

"Penggunaan kasut bertumit dipercayai membantu askarnya berdiri tegap, sekali gus memberikan sasaran tembakan besar dan anak panah lebih berkesan," katanya.

ANTARA koleksi rekaan kasut Schuhster. - Foto Nik Hariff Hassan
ANTARA koleksi rekaan kasut Schuhster. - Foto Nik Hariff Hassan

Cetus fenomena

Katanya, usaha itu bukan saja menjalin hubungan baik Abbas dengan Eropah Barat, tetapi turut mencetuskan fenomena baharu apabila gaya kasut lelaki bertumit mula menarik perhatian golongan bangsawan di negara itu.

"Gelombang fesyen kasut gaya Parsi diterima pakai golongan bangsawan yang berusaha memberikan penampilan bersifat kelelakian.

"Apabila pemakaian kasut tumit turut menular dalam kalangan individu kebanyakan, golongan bangsawan bertindak balas secara dramatik meningkatkan ketinggian kasut mereka dan tumit tinggi mula diperkenalkan.

   Semmelhack berkata, penggayaan kasut bertumit bagaimanapun, mula tenggelam menjelang abad ke-17 kerana kasut rekaan itu tidak mempunyai nilai utiliti.

Akuinya, penampilan wanita dengan kasut tumit cukup bergaya anggun menjadikan lelaki kian hilang minat terhadap rekaan kasut yang pernah dianggap penambah maskulin itu.

"Pemakaian kasut bertumit mencecah 10 sentimeter (sm) menjadi kurang praktikal untuk pergerakan harian lelaki kerana strukturnya yang tinggi.

"Berbeza pula dengan wanita, pemakaian kasut tumit yang diubah suai menjadikan ia sesuai dipadankan," katanya.

 

Kembali menguasai

Akui kurator itu, bermula dari situ, golongan atasan masyarakat Eropah mula beralih selera untuk mengikuti fesyen kasut uniseks sehingga akhir abad ke-17.

"Sejak itu, ada perubahan ketara apabila lelaki tidak lagi mengenakan kasut tumit.

"Lelaki mula memilih rekaan kasut lebih bergaya sederhana, bersegi, kukuh dan rendah, manakala tumit untuk kasut wanita menjadi lebih halus dan tirus," katanya.

   Biarpun begitu, Semmelhack tidak menyangkal kemungkinan kembalinya aliran pemakaian kasut bertumit dalam kalangan lelaki, namun dengan cara yang lebih segar dan unik.

Katanya, sekitar tahun 1960-an, pasaran fesyen kasut lelaki menyaksikan kehadiran but koboi bertumit rendah untuk lelaki dan fenomena kasut platform pada 1970-an.

"Saya percaya aliran fesyen seperti ini akan kembali menguasai perkembangan gaya fesyen dalam kalangan lelaki.

"Tidak ada sebab, mengapa tumit tinggi tidak boleh terus memberikan makna baharu walaupun kita mungkin terpaksa berdebat dengan penguasaan gender kelak," katanya.

SETIAP kasut perlu direka mengikut kesesuaian bentuk tapak kaki supaya tumit yang diselitkan dalam kasut tidak ketara kelihatan. - Foto Nik Hariff Hassan
SETIAP kasut perlu direka mengikut kesesuaian bentuk tapak kaki supaya tumit yang diselitkan dalam kasut tidak ketara kelihatan. - Foto Nik Hariff Hassan

Direka ikut kesesuaian bentuk tapak kaki

Penggayaan kasut sememangnya mempunyai daya tarikan tersendiri terhadap kedudukan dan keyakinan diri individu.

   Justeru, menggabungkan idea praktikal dan kreativiti, pemilik jenama kasut Schuhster, Shayna Teh menampilkan rekaan kasut bertumit untuk lelaki bagi memberikan satu kelainan.

   Katanya, pengalaman melihat sendiri pemakaian kasut bertumit dalam kalangan lelaki Jerman seakan perkara biasa, secara tidak langsung menarik perhatiannya untuk menjalankan perniagaan unik itu.

"Pemakaian kasut bertumit di Jerman diibaratkan aksesori tambahan untuk menambah ketinggian seseorang tanpa ketara diperlihatkan. Kebetulan, pengalaman saya sendiri, ketinggian suami adalah lebih rendah dan setiap kali keluar, saya tidak dapat mengenakan kasut bertumit.

"Dari situ, tercetus idea untuk mengetengahkan koleksi kasut bertumit lelaki dengan ketinggian tambahan sebanyak tujuh sentimeter mengikut kesesuaian ketinggian lumrah mereka," katanya.

Direka ikut kesesuaian

Katanya, menjadikan suami sebagai 'tikus makmal' untuk tujuan eksperimen, selepas setahun beliau tekad mengeluarkan label sendiri.

Menggunakan perkataan, 'Schuhster' atau bermakna kasut dalam Jerman, katanya setiap rekaan kasut diketengahkan membawa pengalaman pemakaian tersendiri.

"Setiap rekaan kasut perlu direka mengikut kesesuaian bentuk tapak kaki supaya tumit yang diselitkan dalam kasut tidak ketara kelihatan.

"Rekaan Schuhster memberikan penyamaran unik untuk menambah ketinggian lelaki tanpa memberikan ketidakselesaan sepanjang memakainya. Purata ketinggian lelaki Asia adalah 160sm, jadi amat penting untuk memadankan tumit yang tidak terlalu menonjol ," katanya.

   Proses pembuatan kasut dilakukan di sebuah kilang di Malaysia, manakala material asas kulit berkualiti diperoleh dari Thailand dan Itali, bergantung kepada jenis kulit dicari.

"Schuhster menggunakan kelebihan kulit lembu yang tahan lasak dan berstruktur menarik. Penggunaan material itu juga dapat memberikan keselesaan kepada kaki biarpun dipakai seharian," katanya.

REKAAN Schuhster memberikan penyamaran unik untuk menambah ketinggian lelaki tanpa memberikan ketidakselesaan sepanjang memakainya. - Foto Nik Hariff Hassan
REKAAN Schuhster memberikan penyamaran unik untuk menambah ketinggian lelaki tanpa memberikan ketidakselesaan sepanjang memakainya. - Foto Nik Hariff Hassan

Berikan kelainan

Kata Shayna, untuk memberikan kelainan pada koleksi kasut lelaki diketengahkan beliau banyak gunakan gabungan warna segar dan rekaan pelbagai mengikut kesesuaian majlis. Antara koleksi diketengahkan adalah Classy Formal, Cool Casual dan Made in Italy (tempahan khas).

Katanya, setiap koleksi ditawarkan ada kelainan rekaan dan konsep mengikut kesesuaian cita rasa lelaki metropolitan.

"Kami juga cuba terapkan padanan rona segar dan kasual untuk pemakaian lebih fleksibel. Selain kasut sarung kasual dan formal, kami juga mengetengahkan but yang selari dengan permintaan remaja hari ini," katanya.

   Mengenai pasaran, beliau berkata, biarpun agak janggal, jenama itu sebenarnya terkenal dalam kalangan lelaki profesional, termasuk peguam, doktor dan selebriti tempatan.

Selain pelanggan tempatan, beliau juga menerima tempahan dalam talian dari Singapura dan banyak lagi.

"Kebanyakan pelanggan mengakui, kasut bertumit ini bukan saja meningkatkan keyakinan diri mereka ketika berada di khalayak ramai, tapi membentuk kedudukan tubuh yang seimbang. Mereka juga suka dengan rekaannya yang kekal moden biarpun bermain dengan tekstur klasik dengan pemilihan material kulit," katanya.

PAPAN informasi mengenai kasut bertumit tinggi jenama Shuhster. - Foto Nik Hariff Hassan
PAPAN informasi mengenai kasut bertumit tinggi jenama Shuhster. - Foto Nik Hariff Hassan

Info:

Koleksi kasut Schuhster
* Harga untuk koleksi kasual antara RM269 hingga RM320.
*Koleksi formal bermula dari RM369 hingga RM450.
* Tempahan koleksi Made in Italy, harga bermula dari RM1,600 bergantung kepada rekaan.
* Saiz kasut yang ditawarkan bermula enam hingga 10 (saiz Amerika).
* Setiap kasut ditambah tumit setebal 2sm.
* Material kulit lembu asli.

Berita Harian X