Sabtu, 18 April 2015 | 12:05am
KANAK-KANAK pelarian Syria dalam kelas di kem pelarian di sempadan Lubnan-Syria. - Foto Syed Azwan Syed Ali
KANAK-KANAK pelarian Syria dalam kelas di kem pelarian di sempadan Lubnan-Syria. - Foto Syed Azwan Syed Ali
SEKITAR kem pelarian Syria di Lembah Al-Beeqa dekat sempadan Lubnan-Syria. - Foto Syed Azwan Syed Ali
SEKITAR kem pelarian Syria di Lembah Al-Beeqa dekat sempadan Lubnan-Syria. - Foto Syed Azwan Syed Ali
PELARIAN Syria melarikan diri ke Jordan ketika konflik perang saudara masuk tahun kelima tahun ini. - Foto Syed Azwan Syed Ali
PELARIAN Syria melarikan diri ke Jordan ketika konflik perang saudara masuk tahun kelima tahun ini. - Foto Syed Azwan Syed Ali

Penyeludupan kanak-kanak, wanita membarah di Syria


KUWAIT CITY: Penyeludupan, pelacuran dan kegiatan penjualan organ kini membelenggu lebih 12.2 juta pelarian yang terjejas akibat konflik di Syria.

Isu ini jarang dibangkitkan media, namun mula merebak ibarat barah yang mengancam warga Syria termasuk 5.6 juta kanak-kanak di negara berkonflik itu.

Lebih memburukkan keadaan, ramai bayi yang baru dilahirkan di zon konflik tidak didaftarkan kelahiran.

Chief de Mission Pertubuhan Migrasi Antarabangsa (IOM) Kuwait, Iman Y Ereiqat, berkata keganasan dan penindasan ke atas wanita dan kanak-kanak semakin meruncing di negara bergolak itu.

Keadaan itu amat menyedihkan apabila ada dalam kalangan pelarian, khususnya anak gadis, diculik, didera dan terperangkap dalam lembah pelacuran.

CHIEF de Mission Pertubuhan Migrasi Antarabangsa (IOM) Kuwait, Iman Y Ereiqat. - Foto Syed Azwan Syed Ali
CHIEF de Mission Pertubuhan Migrasi Antarabangsa (IOM) Kuwait, Iman Y Ereiqat. - Foto Syed Azwan Syed Ali

"Malangnya tak ramai yang bercakap mengenai penyeludupan di Syria. Ia masalah besar terutama bayi yang lahir tanpa sebarang dokumen.

"Mereka ini senang diculik," katanya kepada wartawan BH ketika ditemui pada Persidangan Antarabangsa Kemanusiaan Mengumpul Dana Untuk Syria di Kuwait City, baru-baru ini.

Konflik Syria yang berlanjutan sejak Mac 2011 sudah mengorbankan lebih 220,000 nyawa dengan penyelesaian politik yang dicanang dunia masih berdepan laluan sukar.

Situasi di mana seorang wanita menjadi ketua keluarga menjaga anak-anak kecil adalah kebiasaan dalam kalangan pelarian Syria dan ia disaksikan penulis di Kem Pelarian di Lembah Al-Beeqa di sempadan Lubnan-Syria.

PENGAGIHAN bekalan makanan dan selimut tebal kepada 1,000 keluarga pelarian dari Yarmouk di Yalda, Damsyik, Syria. - Foto Syed Azwan Syed Ali
PENGAGIHAN bekalan makanan dan selimut tebal kepada 1,000 keluarga pelarian dari Yarmouk di Yalda, Damsyik, Syria. - Foto Syed Azwan Syed Ali

Di Lubnan, penulis menemui ramai ibu tunggal yang kehilangan suami akibat perang dan golongan ini berdepan eksploitasi pihak ketiga seperti dikatakan Iman.

"Saya keluar dari Syria hujung tahun lalu. Saya tidak punya apa-apa lagi di Syria," kata seorang pelarian wanita yang tinggal bersama tiga anaknya di rumah kontena di sebuah kem pelarian di sempadan Lubnan-Syria.

Keadaan keselamatan rapuh dengan pertempuran di antara tentera kerajaan pimpinan Presiden Bashar Al-Assad dan kumpulan penentang kini dirumitkan dengan kemaraan militan Negara Islam (IS).

LEBIH 5.6 juta kanak-kanak Syria terjejas akibat konflik sejak Mac 2011. - Foto Syed Azwan Syed Ali
LEBIH 5.6 juta kanak-kanak Syria terjejas akibat konflik sejak Mac 2011. - Foto Syed Azwan Syed Ali

"Kami akan lakukan apa termampu, bukan hanya kepada pelarian tetapi juga tenaga buruh yang terperangkap di Syria. Sebelum ini, kita berjaya memindahkan 350 buruh (terperangkap) keluar dari Syria menggunakan dana sumbangan Kerajaan Kuwait," kata Iman.

Kes penyeludupan kanak-kanak atau wanita jarang dilaporkan, namun tindakan IOM yang sebelum ini berjaya menyelamatkan seorang gadis keluar dari lembah pelacuran membuktikan isu penyeludupan, penculikan dan kegiatan haram lain, semakin parah.

Berita Harian X