Jumaat, 10 April 2015 | 12:08am

Doktor kagum ketahanan Ijad


BATU PAHAT: Kes kanak-kanak penghidap Sindrom Edward, Muhamad Iezad Mohamed Rosli, 12, yang dilahirkan dengan saiz badan sebesar botol kicap diakui seorang pakar perubatan di sini, sebagai unik dan jarang berlaku di negara ini.

Dr Mokhtar Dullah, 53, yang merawat ibu Muhamad Iezad, Norlanda Sahran, sejak beliau mula mengandung sehingga kanak-kanak itu berusia 12 tahun, berkata ini kes pertama beliau berdepan penghidap Sindrom Edward yang mempunyai daya ketahanan badan yang tinggi di sebalik pelbagai komplikasi kesihatan yang dialaminya.

DR. Mokhtar Dullah ketika ditemu ramah di Klinik Mokhtar di Yong Peng, Johor. - Foto Syarafiq Abd Samad
DR. Mokhtar Dullah ketika ditemu ramah di Klinik Mokhtar di Yong Peng, Johor. - Foto Syarafiq Abd Samad

Katanya, beliau pernah merawat kes sama ketika menjalani latihan kedoktoran di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), namun bayi Sindrom Edward yang dilahirkan itu meninggal dunia selepas tiga hari dilahirkan berikutan pelbagai komplikasi.

Beliau berkata, kebanyakan kes membabitkan penghidap Sindrom Edward berakhir dengan kematian, biasanya seminggu selepas dilahirkan dan hanya satu peratus mampu bertahan serta menjangkau ke usia 10 tahun.

"Saya sifatkan Muhamad Iezad yang mesra dipanggil Ijad sebagai kanak-kanak yang amat istimewa walaupun dia kini berdepan pelbagai komplikasi kesihatan akibat Sindrom Edward yang mengancam nyawanya termasuk sawan, sesak nafas, jangkitan kuman di telinga yang menyebabkan ia bernanah dan jangkitan di paru-paru.

"Jangkitan di telinga dan paru-paru amat berbahaya kerana ia dibimbangi boleh menjangkiti darah seterusnya menjangkiti otak Ijad, yang kesannya boleh membawa maut.

"Namun, Ijad akan berusia 12 tahun Sabtu ini (11 April) dan ini sendiri sudah menjangkaui ramalan pakar perubatan yang menyatakan usia penghidap sindrom ini tidak akan lebih 10 tahun.

"Tidak mustahil Ijad bakal menjejaki usia awal remaja mahupun ke usia 20-an dengan kuasa Allah, malah melihatkan dedikasi keluarganya yang menjaga kanak-kanak ini dengan sepenuh kasih sayang, mungkin ini antara faktor daya tahan kanak-kanak ini terhadap penyakit," katanya kepada BH PLUS.

Dr Mokhtar yang pernah bertugas di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Hospital Bukit Ibam, Pahang dan Hospital Besar Kuantan, Pahang, berkata semua pihak harus memberi sokongan moral sepenuhnya kepada keluarga Ijad kerana atas semangat itu mereka membesarkan kanak-kanak berkenaan.

"Komplikasi kesihatan yang disebabkan Sindrom Edward menyebabkan kesihatan Ijad ada kalanya tidak stabil dan sebarang kemungkinan bakal berlaku, namun sokongan masyarakat amat perlu bagi memberi ketenangan kepada keluarga ini.

"Saya pernah merawat dan melihat Ijad yang berulang-kali dimasukkan ke klinik, hospital dan Unit Rawatan Rapi (ICU), pernah koma empat hari ketika Aidiladha tahun lalu akibat sesak nafas dan jangkitan paru-paru, tetapi selepas rawatan, Ijad masih bertahan sehingga hari ini," katanya.

Beliau berkata, kebiasaannya beliau akan merawat Ijad secara berkala terutama apabila simptom penyakit ringan termasuk demam, batuk dan sesak nafas namun jika simptom teruk berlaku, Ijad akan dikejarkan segera ke hospital berhampiran.

Menceritakan detik awal rawatan terhadap Norlanda yang bertemunya ketika beliau masih mengandungkan kanak-kanak berkenaan, Dr Mokhtar berkata, ibu Ijad tidak menunjukkan sebarang komplikasi penyakit selain perutnya yang tidak besar walaupun usia kandungan memasuki enam bulan.

"Saya kemudian merujuk ibu Ijad ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk rawatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebelum disahkan mengalami masalah tumbesaran dan perkembangan bayi dalam kandungan terbantut (Intra Uterine Growth Retardation atau IUGR).

"Ibu Ijad kemudian sering mendapatkan rawatan kesihatan di sini dan apabila Ijad sudah berusia dua bulan, Norlanda kembali datang berjumpa saya bagi merawat Ijad.

"Ketika kali pertama bertemunya, diakui fizikal Ijad amat kecil dan tidak seperti bayi normal tapi Alhamdulillah, kerana kasih sayang keluarga ini terhadap Ijad, kanak-kanak ini kekal bertahan. Kita semua patut belajar sesuatu daripada keluarga ini. Ini kerana walaupun mereka bukan orang senang, mereka berjiwa besar," katanya.

Berita Harian X