KOTA BHARU: Hampir tiada wanita sanggup berkongsi suami kerana menganggap hidup bermadu adalah sesuatu yang menakutkan.
Begitu juga dengan Datin Hasnah Mat Ya, 56, yang sebelum ini memasang angan-angan suami hanya miliknya seorang. Namun, itu semua hanya perancangan sedangkan takdir Allah melebihi segala-galanya apabila suaminya, Datuk Zulkepli Mohammad, 51, kini berkahwin lagi tiga, sekali gus menjadikan hidupnya bermadu.
Namun, tanggapan masyarakat bahawa hidup bermadu itu pahit rupa-rupanya tidak benar sama sekali bagi Hasnah apabila kehidupannya tetap bahagia di samping suami serta tiga madunya iaitu Rafizah Senawi, 48; Norida Razali, 48 dan Norreha Abd Rahman, 45.
Sehingga kini, keluarga besar mereka yang dikurniakan 11 anak berusia lapan tahun hingga 28 tahun itu mengecapi kebahagiaan sehingga mampu tidur bersama madunya.
Bagaimanapun, Hasnah mengakui sebagai seorang wanita, pada peringkat awal hatinya sedih apabila suaminya mula berkahwin lain, meskipun merelakan perkara itu.
"Ketika itu, saya masih muda dan perasaan marah menebal dalam diri, namun ia cuma seketika sebelum dikurniakan ketiga-tiga madu yang amat baik dan bertolak ansur.
"Bagi saya, ini adalah takdir yang ditetapkan Allah dan saya bersyukur kerana mempunyai madu yang baik dan menganggap mereka seperti adik-beradik.
"Hubungan kami cukup erat. Orang luar mungkin tidak merasai apa yang kami rasa. Hubungan kami erat mungkin disebabkan sikap suami yang berlaku adil sehingga tiada perasaan marah atau cemburu wujud dalam diri masing-masing," katanya ketika ditemui di Wisma Zulkepli, Kubang Kerian, di sini.
Malah, ketika pertemuan selama hampir satu jam yang turut dihadiri suami dan isteri kedua serta empat anak, sekali imbas mereka seolah-olah bukan bermadu sebaliknya adik-beradik yang sangat rapat dan sering bergurau senda sesama mereka.
Hasnah berkata, walaupun menjadi isteri pertama dan sepatutnya diberi lebih keutamaan berbanding tiga yang lain, beliau tidak pernah mengambil kesempatan itu, sebaliknya sentiasa bertolak ansur.
"Selepas menjalani kehidupan bermadu, tiada perasaan cemburu ketika suami bermalam di rumah madu yang lain, walaupun sering ditinggalkan kerana saya sudah menerima hakikat hidup bermadu," katanya.
Sementara itu, isteri kedua, Rafizah yang berasal dari Johor, menyifatkan kehidupan mereka sekeluarga sangat unik yang tidak mampu digambarkan oleh orang lain.
"Mungkin ada menggambarkan hidup bermadu menakutkan. Bagaimanapun, bagi saya sebagai isteri kedua, perkara itu sangat berbeza kerana kami menjalani kehidupan dalam keluarga besar.
"Malah, suami kami yang bertanggungjawab dan bersikap adil menyebabkan tiada pergaduhan di antara kami, sebaliknya hubungan kami cukup erat. Ada kalanya, saya meminta Kak Hasnah memasak dan kami semua akan pergi ke rumahnya untuk makan bersama.
"Begitu juga sebaliknya, ada kalanya mereka meminta saya memasak dan kami akan makan bersama. Malah, ketika suami bertugas di luar kawasan, saya boleh tidur sekatil dengan Kak Hasnah kerana hubungan kami sesama madu sangat baik," katanya.
Mengulas lanjut, Rafizah berkata tiada resipi khas yang diamalkan mereka sekeluarga, sebaliknya peranan suami yang menjadikan keluarga mereka harmoni.
IKUTI PETUA DATUK ZULKEPLI MOHAMMAD, 51, MENGURUSKAN EMPAT ISTERINYA MENERUSI SIRI KEDUA DALAM BH PLUS, ESOK.