BANDARAYA KUWAIT: Malaysia antara 78 negara diundang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menghadiri Edisi Ke-3 Persidangan Kemanusiaan Antarabangsa Mengumpul Dana Untuk Syria di Bayan Palace di sini, esok.
Persidangan yang akan dipengerusikan Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-Moon itu turut membabitkan 40 pertubuhan antarabangsa yang bertujuan mengumpul dana untuk pelarian Syria.
Persidangan antarabangsa berprofil tinggi itu dihoskan Emir Kuwait Sheikh Sabah Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah.
Antara negara ASEAN yang turut diundang ke persidangan itu ialah Indonesia, yang turut menghantar delegasi.
Penyertaan Malaysia disahkan Kuasa Usaha Kedutaan Malaysia di Kuwait, Yap Wei Sin, kepada wartawan BH yang juga wakil The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP), satu-satunya wakil media Malaysia diundang Kerajaan Kuwait bagi membuat liputan persidangan itu.
Lebih 160 wakil media dari seluruh dunia dijemput khas ke persidangan itu, yang turut dihadiri Koordinator Kemanusiaan PBB, Valerie Amos dan Pesuruhjaya Tinggi PBB Bagi Pelarian, Antonio Guterres.
Kedua-dua individu penting PBB itu dijangka membentangkan laporan terkini keadaan konflik perang saudara di Syria yang menyebabkan lebih 12 juta terjejas, termasuk 3.9 juta menjadi pelarian di Lubnan, Jordan, Turki, Iraq dan Mesir.
Konflik di Syria turut menjadi agenda utama dibincangkan dalam Sidang Kemuncak Liga Arab di Mesir, kelmarin.
Pada edisi persidangan tahun lalu, 62 negara berikrar menyumbang AS$2.4 bilion (RM8.8 bilion) berbanding AS$1.5 bilion (RM5.5 bilion) yang diikrar pada 2013.
Kuwait selaku hos persidangan turut menjadi penyumbang terbesar dengan ikrar AS$500 juta (RM1.8 bilion), manakala Malaysia turut berikrar menyumbang AS$500,000 (RM1.8 juta) pada tahun lalu.
Ban Ki-Moon sebelum ini menegaskan kepentingan persidangan dihoskan Emir Kuwait itu dalam meringankan beban ditanggung negara jiran Syria.
Jordan, Turki dan Lubnan kini menampung jutaan pelarian dari Syria yang melarikan diri daripada konflik itu yang berlarutan sejak empat tahun lalu.
Konflik di Syria bermula dengan penentangan sivil melalui demonstrasi jalanan ke atas pemerintahan Presiden Bashar Al-Assad pada Mac 2011 sebelum bertukar kepada penentangan bersenjata yang tidak berkesudahan.