Selasa, 24 March 2015 | 12:08am
SEBAHAGIAN pingat yang dimenangi Jawairiah Noordin dalam kejohanan tenis. - Foto Ramdzan Masiam
SEBAHAGIAN pingat yang dimenangi Jawairiah Noordin dalam kejohanan tenis. - Foto Ramdzan Masiam
JAWAIRIAH Noordin. - Foto Ramdzan Masiam
JAWAIRIAH Noordin. - Foto Ramdzan Masiam
JAWAIRIAH bersama dengan piala yang dimenangi dalam kejohanan tenis. - Foto Ramdzan Masiam
JAWAIRIAH bersama dengan piala yang dimenangi dalam kejohanan tenis. - Foto Ramdzan Masiam

Jawairiah Noordin kejar angka 200

JAWAIRIAH Noordin. - Foto Ramdzan Masiam
JAWAIRIAH Noordin. - Foto Ramdzan Masiam

JAWAIRIAH Noordin mahu mendapat inspirasi daripada bintang tenis, Serena Williams dan Rafael Nadal untuk mengejar angka 200.

Apa dimaksudkan oleh gadis berusia 24 tahun ini adalah dia mahu berusaha menjadi pemain negara yang bakal berada dalam kelompok 200 teratas dalam ranking dunia.

Tempoh yang diletakkan untuk mencapai sasaran besar itu adalah antara tiga atau empat tahun.

Namun, dalam usaha untuk bergelar pemain disegani di pentas dunia itu, dia jelas terpaksa berdepan cabaran besar apabila masih tercari-cari pihak yang sanggup membantunya dari segi penajaan.

"Sekarang saya hanya bermain di dalam negara kerana kekurangan peruntukan akibat sukar untuk mendapatkan bantuan kewangan," katanya ketika menceritakan mengenai perancangan masa depannya dalam bidang sukan.

"Namun masalah itu tidak pernah mematikan semangat saya untuk terus maju dalam sukan tenis ini. Berlatih dan bersaing dalam negara mungkin banyak kekurangannya berbanding di luar negara tapi itu semua bukan halangan buat saya.

"Saya tahu apa saya inginkan. Saya percaya berkat sokongan semua pihak terutama keluarga, saya mampu mencipta nama suatu hari nanti terutama untuk muncul dalam senarai 200 terbaik WTA,".

REAKSI Jawairiah selepas tewas kepada pemain Kazakhstan, Yulia Putintseva pada Kejohanan Tenis Terbuka Malaysia BMW di Royal Selangor Golf Kuala Lumpur. - Foto Osman Adnan
REAKSI Jawairiah selepas tewas kepada pemain Kazakhstan, Yulia Putintseva pada Kejohanan Tenis Terbuka Malaysia BMW di Royal Selangor Golf Kuala Lumpur. - Foto Osman Adnan

PEMAIN tenis negara, Jawairiah Noordin dan Theiviya Selvarajoo (kanan) beraksi pada Kejohanan Tenis Terbuka Malaysia BMW di Royal Selangor Golf Kuala Lumpur. - Foto Hasriyasyah Sabudin
PEMAIN tenis negara, Jawairiah Noordin dan Theiviya Selvarajoo (kanan) beraksi pada Kejohanan Tenis Terbuka Malaysia BMW di Royal Selangor Golf Kuala Lumpur. - Foto Hasriyasyah Sabudin

Serena, Nadal jadi idola

Dalam usaha untuk maju dan berjaya dalam sukan tenis, Jawairiah mengakui menjadikan pemain nombor satu dunia, Serena Williams dan bintang nombor tiga dunia, Rafael Nadal sebagai idolanya ketika ini.

"Serena mempunyai servis yang kuat dan bertenaga. Bukan mudah menjadi pemain wanita sepertinya. Setiap kali dia beraksi, saya tidak akan ketinggalan untuk mengikutinya.

"Begitu juga Nadal. Dia memang terbaik," katanya yang kini berlatih di bawah kendalian bapanya.

Anak kepada pasangan Noordin Omar, 63, dan Hazinah Samat, 54, berazam untuk berada dalam senarai 200 pemain terbaik dunia Persatuan Tenis Wanita (WTA) satu hari nanti untuk menepati impian sejak kecil.

Bekas murid Sekolah Kebangsaan Datuk Keramat, Pulau Pinang itu sebelum ini pernah memenangi pingat gangsa pada Kejohanan Asia Tenggara pada 2007 dan 2009, selain berada di ranking pertama Bawah 14 serta 16 tahun peringkat kebangsaan pada 2003 hingga 2005.

Dia juga pernah menduduki ranking ke-931 WTA pada 16 November 2009 serta pernah mewakili negara pada saingan Piala Persekutuan pada 2010.

Berkongsi rahsia persembahan di gelanggang, Jawairiah berkata dia hanya memberikan tumpuan sepenuhnya dalam segala bentuk pertandingan mahu pun latihan.

"Sebelum bermain, saya tidak letakkan diri dalam tekanan dan tidak mahu fikirkan apa-apa, cuma fokus pada rentak permainan sendiri.

Saya menggunakan teknik yang dipelajari serta tidak banyak berfikir mengenai lawan bakal ditemui," katanya yang terbabit dalam sukan tenis sejak berusia lima tahun.

JAWAIRIAH (kiri) bersama ibu dan ayahnya. - Foto Ramdzan Masiam
JAWAIRIAH (kiri) bersama ibu dan ayahnya. - Foto Ramdzan Masiam

Ayah tagih simpati

Sementara itu, ayahnya, Noordin melahirkan rasa gembira dengan perkembangan anak bongsunya itu dan menaruh harapan dia akan terus mencipta kejayaan lagi selepas ini.

"Saya harap Jawairiah akan terus diberikan peluang dan kemudahan untuk bermain pada pertandingan di luar negara agar memperoleh lebih banyak pendedahan bertaraf tinggi.

"Umurnya sekarang adalah tempoh kemuncak untuk kekuatan seseorang pemain dan saya harap dia dapat memanfaatkannya sebaik mungkin," katanya mengenai anaknya yang kini berusia 25 tahun itu.

Noordin berkata, Jawairiah secara umumnya mula bersaing dalam sukan tenis pada usia sembilan tahun di kejohanan bawah 12 tahun kebangsaan dan berjaya muncul sebagai juara.

"Semakin lama pencapaian dia semakin meningkat dan pada umur 14 tahun, dia sudah mula bermain untuk kategori bawah 14 serta 16 tahun. Akhirnya ketika di tingkatan empat, dia mula dipanggil untuk mewakili negara," katanya.

Namun, menurut Noordin, pelbagai halangan menimpa anaknya itu selepas itu. Nyata ia amat mencabar untuk dilalui oleh remaja wanita itu namun, kerana memiliki mental yang kuat, ia dapat dilalui tanpa banyak masalah.

Tetapi dalam tempoh beberapa tahun kemudian, bapanya mengambil keputusan untuk membawa keluar Jawairiah daripada kendalian Majlis Sukan Negara dan Persatuan Lawn Tenis Malaysia untuk bergerak secara persendirian sehinggalah hari ini bagi memastikan perjuangannya dalam sukan tenis terus berkembang maju.

REAKSI Jawairiah selepas tewas kepada pemain Kazakhstan, Yulia Putintseva pada Kejohanan Tenis Terbuka Malaysia BMW di Royal Selangor Golf Kuala Lumpur. - Foto Osman Adnan
REAKSI Jawairiah selepas tewas kepada pemain Kazakhstan, Yulia Putintseva pada Kejohanan Tenis Terbuka Malaysia BMW di Royal Selangor Golf Kuala Lumpur. - Foto Osman Adnan

INFO

NAMA: Jawairiah Noordin

TARIKH LAHIR: 8 Oktober 1990

ASAL: Georgetown, Pulau Pinang

NAMA AYAH: Noordin Omar, 63

NAMA IBU: Hazinah Samat, 54

ADIK BERADIK: Noorhazidi, 35, Noorhazlina, 34, dan Mohammad Noor, 32,

SUKAN: Tenis

PENDIDIKAN: Sekolah Kebangsaan Datuk Keramat, Pulau Pinang (Tahun 1 hingga 6), Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Methodist, Pulau Pinang (Tingkatan 1 hingga 5)

PENCAPAIAN

* Mewakili negara dalam Piala Remaja Persekutuan bawah 16 tahun dari tahun 2003 hingga 2006 Sukan Remaja ASEAN bawah 14 tahun (tempat kelapan)

* Pingat gangsa pada tahun 2007 dan 2009 Kejohanan Asia Tenggara

* Menduduki ranking nombor satu bawah 14 dan nombor dua bawah 16 kebangsaan dari tahun 2003 hingga 2004

* Menduduki ranking nombor satu bawah 16 tahun kebangsaan pada 2005

* Menduduki ranking nombor satu kebangsaan pada 2005 hingga 2010

* Layak saingan separuh akhir Sirkit Wanita 10K Solo, Indonesia pada 2008

* Pernah menduduki ranking ke-931 Persatuan Tenis Wanita (WTA) pada 16 November 2009

* Pernah menduduki ranking ke-111 remaja antarabangsa

* Mewakili negara pada saingan Piala Persekutuan pada 2010

* Memenangi emas perseorangan pada Sukan Universiti ASEAN (AUG) Ke-17, Palembang 2014

* Mewakili negara acara perseorangan dan beregu pada Kejohanan Tenis Terbuka Malaysia BMW 2015 di Kelab Golf Diraja Selangor

Berita Harian X